Tuesday 13 December 2011

Demi Masa

Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3) 
( Al-Asr: 1-3)


Inilah surah yang sering kita ulang, sering kita baca. Allah tujukan surah ini untuk manusia sebagai peringatan dan juga amaran, dan siapa kita? Kitalah manusia tersebut.

Tidak ramai yang merasakan masa adalah antara kurniaan yang paling berharga dalam kehidupan, lantas terpacullah perkataan, ‘bosan, boring, sepi, kosong’, mungkin tidak tahu hendak berbuat apa dengan masa yang ada.

Sama ada kita sedar atau tidak, Allah sering mengingatkan kita melalui kalamNya akan akhirat. Iaitu satu masa yang tdak terbayang kerana masa itu infiniti, tiada penghujung. Rasulullah saw juga sering mengingatkan para sahabat supaya berfikir lebih jauh, sangat jauh iaitu akhirat.
Rasululah menyampaikan kepentingan akhirat dan masa melalui hadis baginda;  

“ sesiapa yang menyebut subhanallah, walhamdulillah, wala ilahaillallah, wallahuakbar, akan ditanamkannya sebatang pokok di syurga baginya”(Al- Tirmidzi).

Oleh itu, marilah kita berfikir, berapa banyak pokok yang kita boleh tanam apabila kita menggunakan masa sebaiknya dengan mengingati Allah s.w.t.

Ibn Al- Jawzi menegaskan akan kepentingan masa dan kesannya kepada kehidupan kita melalui bukunya yang bertajuk, “ Sincere Counsel to The Students of Sacred Knowledge,” beliau menulis;

“ Ketahuilah anakku, bahawa hari adalah masa dan masa adalah setiap helaan nafas yang kau hirup. Setiapnya adalah ‘peti kekayaan’, oleh itu hendaklah kamu berhati-hati daripada menghembuskan nafasmu tanpa ada apa-apa kebaikan. Kamu pasti tidak mahu apabila mendapati ‘peti kekayaanmu’ kosong di hari pembalasan kelak, lalu kamu menyesal”.[1]

Oleh itu, marilah kita manfaatkan setiap detik yang kita ada dengan sebaiknya, tempat yang paling jauh adalah masa yang lampau.

[kredit gambar]



Rujukan:

[1] Ibn al-jawzi, Sincere Counsel to The Students of  Sacred Knowledge, hal. 49, Dar-as-sunnah Pub., 2011. Terjemahan.




Tuesday 22 November 2011

Teaser: Antara Semalam dan Hari Ini


Berminat? Daftar di sini terlebih dahulu: Borang Pendaftaran

Maklumat lanjut menyusul kemudian :)

Sunday 20 November 2011

Pertandingan Poster Islami

 Bakat Terpendam?
Bakat yang sudah lama tidak digilap?

Ayuh! JOM! Sertai kami dalam Pertandingan Poster Islami.




terbuka kepada semua warganegara Malaysia di UK & Ireland.
penyertaan percuma.

hadiah menarik disediakan :
Johan 100 euro
Naib Johan 50 euro
Tempat ketiga 20 euro
(setiap pemenang akan dihubungi untuk penyampaian hadiah)

serlahkan bakat dan kemahiran anda!

hantarkan poster islami anda beserta borang kepada 
ikramuke.media@gmail.com
 sebelum 

18 Disember 2011

penyertaan akan dipamerkan di website 
ikramuke.org 
dan 
Perhimpunan Musim Sejuk Disember 2011


Sila rujuk syarat-syarat dan borang penyertaan di bawah.

Sebarang pertanyaan, hubungi urusetia di 
ikramuke.media@gmail.com



SYARAT-SYARAT PENYERTAAN
  1. Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berada di UK & Ireland.
  2. Penyertaan adalah percuma.
  3. Setiap penyertaan hendaklah disertakan borang softcopy yang dilengkapi dengan nama, alamat, email dan no telefon untuk dihubungi.
  4. Poster yang dihantar mestilah merupakan poster terkini, mempunyai mesej, nilai-nilai dan konsep berunsurkan Islam.
  5. Karya poster juga mestilah mengandungi captions yang diletakkan di atas poster. Peserta bebas untuk memilih salah satu daripada captions ini :
  • Jangan memandang remeh dosa-dosa ‘kecil’, kerana gunung-ganang itu terbina daripada batu-batu kelikir.
  • “Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu saudaranya yang muslim, lalu berjabat tangan keduanya, gugurlah dosa-dosa keduanya sebagaimana gugurnya daun-daun kering di hari angin kencang. Sungguh diampuni dosa mereka berdua, meski sebanyak buih di lautan.” (Hadith Riwayat Thabrani)
  • “Jika kalian bertawakkal kepada Allah dengan sungguh-sungguh, nescaya Allah akan memberikan rezekikepadamu seperti Allah memberi rezeki kepada burung, ia pergi pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
  • "Perkara yang paling aku sesal sekali dalam sehari ialah apabila terbenamnya matahari, umurku berkurang tetapi amalku tidak bertambah.” – Abdullah ibn Mas'ud
  • “Katakanlah, seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah pasti akan kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (al-Kahfi: ayat 109)
  • “Jadilah kamu seumpama pohon, apabila manusia melemparkan dengan batu, ia menghadiahkan dengan buah.” – Hasan al-Banna
  • “Bertasbihlah memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.”(an-Nasr : ayat 3)

  1. Suntingan atau ubahsuai  seperti pengubahan brightness, croppingsofteningsharpening, teknik cantuman gambar (collage technique), super imposetrick photographs dan manipulasi terhadap foto dan tulisan menggunakan sebarang perisian komputer adalah dibenarkan.
  2. Penyertaan dibatalkan serta merta sekiranya gambar yang dihantar pernah memenangi atau menyertai pertandingan-pertandingan poster/fotografi yang lain.
  3. Hanya gambar digital sahaja dibenarkan.
  4. Peserta perlu menghantar gambar digital format JPEG berukuran sederhana tidak kurang dari 2MB.
  5. Setiap peserta boleh menghantar seberapa banyak poster dalam setiap penyertaan tetapi hanya satu (1) hadiah sahaja boleh dimenangi bagi setiap penyertaan tersebut.
  6. Setiap poster yang dikemukakan untuk pertandingan ini tidak akan dikembalikan dan akan menjadi hak milik mutlak penganjur, serta boleh digunakan untuk sebarang tujuan tanpa bayaran kepada peserta. Kredit akan diberikan kepada peserta. 

KRITERIA PENGHAKIMAN
1.  Penilaian dan penghakiman adalah berasaskan pematuhan syarat-syarat pertandingan seperti yang digariskan.
2.  Penilaian dan penghakiman terhadap karya poster adalah lebih tertumpu pada ’tema’ dan ’kreativiti’. Kualiti foto juga akan diambil kira dalam pemberian markah.
3. Keputusan panel hakim adalah muktamad dan tiada bantahan akan diterima.

TARIKH TUTUP PENYERTAAN 
Semua penyertaan berserta borang softcopy yang telah lengkap diisi mestilah dihantarkan ke alamat emailikramuke.media@gmail.com sebelum 18 Disember 2011.

HADIAH
Hadiah disediakan untuk Johan, Naib Johan, Tempat Ketiga
  • Johan                                     :Wang Tunai 100 euro
  • Naib Johan                              :Wang tunai  50 euro
  • Tempat Ketiga                         :Wang tunai  20 euro 
KEPUTUSAN PERTANDINGAN
1. Keputusan akan diumumkan di Perhimpunan Musim Sejuk dan laman web www.ikramuke.org
2. Penyampaian hadiah dan pertunjukan slideshow foto-foto penyertaan akan diadakan semasa Perhimpunan Musim Sejuk di Lake District dan Loch LomondUnited Kingdom, sekiranya peserta hadir, atau jika tidak, akan dihubungi bagi tujuan penyampaian hadiah.
PERTANYAAN LANJUT
Sebarang pertanyaan atau kemusykilan, anda boleh berhubung dengan urusetia pertandingan di email : ikramuke.media@gmail.com

Monday 7 November 2011

[cerpen] Bulan Terang Cahaya Pejuang

Kedah, Malaysia.
Beep! Beep! Beep!
Rendah bunyi isyarat yang datang dari jam tangannya beserta dengan cahaya hijau yang berkelip-kelip. Khair Al-Amin menjeling sekilas. Keningnya terangkat. Sudah lama dia tidak menghadapi situasi sebegitu. Pandangannya dialihkan pula ke hadapan, menghadap wajah-wajah pelajarnya yang sejak sejam yang lalu tekun mendengar kuliahnya. Mereka semuanya merupakan para penuntut di Kolej Komuniti Asia Tenggara dia mana dia merupakan pensyarah kimia di situ. Nafas panjangnya terhela. Hendak tak hendak kuliahnya perlu ditamatkan sekarang juga.
“Insya-Allah saya rasa sampai di sini sahaja kita belajar hari ini. Moga-moga ilmu yang kamu semua dapat hari ini dapat dihadam dengan baik dan kekal bermanfaat pada kamu semua.” Lembut dan teratur kata-kata akhir yang dituturkan Khair Al-Amin. Senyuman mesra dilemparkan pada mereka sambil tangan kanannya membetulkan tali leher di kolar kemeja putihnya.
“Jazakallah khair Encik Amin.” Bergema dewan kuliah itu dengan gabungan suara para pelajarnya yang menyahut kata-katanya dengan ucapan tersebut. Ucapan yang bermaksud semoga Allah memulangkan kebaikan kepada kamu. Itulah yang pertama-tama sekali diajarkannya pada para pelajarnya. Satu doa yang lebih baik diucapkan dari sekadar mengucapkan terima kasih. Pelajar-pelajarnya mula berkemas. Dia pula menutup buku nota pengajarannya. Sekilas dia memandang pada jam tangannya yang masih berkelip-kelip dan berbunyi perlahan. Bunyinya semakin tenggelam dengan hingar-bingar para pelajar yang berpusu-pusu untuk keluar dari dewan.
“Assalamualaikum.” Sempat dia memberi salam sebelum keluar melalui pintu yang dikhaskan untuk laluan pensyarah. Mujur ada laluan tersebut. Tak perlulah dia berebut dengan pelajar-pelajarnya yang menggunakan pintu keluar utama dewan.
Sebaik menjauh dari kawasan yang dipenuhi pelajar-pelajar, Khair Al-Amin pantas menekan punat biru yang berada di tepi jam tangannya.
“Kay 03 melapor diri,”suaranya perlahan tetapi cukup jelas untuk didengari oleh dirinya dan si pemanggil. Seketika kemudian terdengar sahutan di hujung talian. Khair Al-Amin mendekatkan lengan kirinya ke telinga. Arahan yang diberikan didengar dengan penuh teliti.
“Okay. Saya datang sekarang.” Dia mematikan perhubungan lalu mempercepat langkah. Kereta Proton Waja warna hitam dihampiri di tempat meletak kereta. Kunci ditolak masuk dan pintu dibuka. Pantas dia meloloskan diri ke dalam kereta.
Seketika kemudian, keretanya itu telah pun memecut laju di atas jalan raya. Destinasi yang dituju pastinya berkait rapat dengan panggilan yang baru diterimanya itu. Khair Al-Amin cuba fokus pada pemanduannya di atas jalan raya. Dia sedikit gelisah sebenarnya. Sudah lama mereka tidak diarahkan untuk berkumpul seperti hari ini. Mereka yang dimaksudkan ialah barisan komander elit Kesatuan Cahaya yakni termasuk dirinya. Mereka adalah barisan pertahanan yang ditubuhkan oleh  para pejuang kebenaran dengan tujuan menyatukan semua negara-negara islam di bawah satu kerajaan iaitu Kesatuan Cahaya. Ini termasuklah Malaysia, Indonesia, Mesir dan bumi barakah Palestin.
Segala-galanya bermula dengan tarbiyah. Mendidik diri menjadi abid dan khalifah Allah di muka bumi. Dari beberapa individu, mereka bergerak mengembangkan fikrah tersebut sehinggalah mereka berjaya mengislahkan satu negara menjadi daulah islamiyah. Negara tersebut tentunya Malaysia. Dari situ, mereka mula meluaskan islam, bersatu dengan daulah-daulah yang lain. Sebahagian dari mereka dipilih untuk menjalani latihan komander bagi menambahkan bilangan komander elit yang telah sedia ada.
Krisis ekonomi barat dan rusuhan yang berlaku di Eropah sepuluh tahun dahulu nyata telah memberi mereka peluang untuk merealisasikan impian tersebut setelah bertahun-tahun mereka berusaha. Israel laknatullah dan sekutu-sekutunya berjaya ditumbangkan. Bermula dengan memerdekakan Palestin, mereka mula menaungi negara-negara islam yang lain. Islam merdeka dan kebenaran berjaya ditegakkan. Kesatuan Cahaya berjaya ditubuhkan
.Dari masa ke masa, bilangan komander elit semakin bertambah. Semuanya telah melalui sistem tarbiyah islamiah dan menjadi rijal-rijal yang mempunyai semangat juang yang tinggi sekiranya dipanggil mempertahankan islam. Semuanya mengejar syahid. Mereka bersepah di serata negara-negara yang bernaung di bawah Kesatuan Cahaya.  Menjalani kehidupan seperti orang biasa, menjadi pensyarah, doktor, penulis, seorang bapa mahupun seorang anak. Namun mereka bukan orang biasa. Bila-bila masa mereka akan bertukar menjadi komander sekiranya diperlukan.
Di bawah kerajaan Kesatuan Cahaya, misi terakhir yang mereka lancarkan adalah dua tahun lepas di Pulau Batu Putih di selatan Malaysia. Lawan mereka ialah serpihan-serpihan pejuang kebatilan yang menggelarkan diri mereka Kesatuan Gelap. Mereka berusaha mengumpulkan saki-baki mereka di situ dan menyusun semula gerakan mereka. Namun setelah Kesatuan Gelap tewas dalam pertarungan tersebut, mereka tiba-tiba senyap.
“Mereka dah kembalikah?” Khair Al-Amin mendesis. Dia gigit bibir. Nyata dia tidak senang sekiranya khabar kemunculan semula Kesatuan Gelap adalah benar.
“Assalamualaikum Kay 03, anta dah bertolakkah? “ Satu suara berupa soalan muncul dari radio keretanya, mencantas awangannya. Khair Al-Amin pantas menekan butang berwarna merah yang terlakar di atasnya simbol mikrofon.
“Waalaikummussalam Mint 05. Ya, ana dalam perjalanan sekarang. Ada dapat apa-apa arahan barukah?”
“Baguslah kalau macam tu. Arahan baru diterima. Ahli skuad diminta berkumpul di Masjid Kristal, Kuala Terengganu selewat-lewatnya sebelum maghrib,“ balas rakan seperbualannya di hujung sana yang digelar Mint 05. Mendengarkan arahan tersebut, Khair Al-Amin mengerutkan dahinya.
“Boleh ana tanya kenapa kita berkumpul di sana? Bukankah kita sepatutnya menuju ke Pejabat Gerakan di Tokyo, Jepun? Ana sudah mengarah ke lapangan terbang ni.”
“Dah lupakah akhi? Bukankah kita ni abid1 Allah. Nak buat apa-apa kita perlukan pertolongan dari Yang Maha Esa. Kita ada misi ni. Maka, Dia yang kita perlu menghadap dulu. Baru ada kekuatan nak jumpa musuh. Kan itu pesan Qiyadah kita,” sahut Mint 05. Khair Al-Amin tersengih, sedar akan keterlupaannya. Bukankah ayatullah pertama yang sering diulang-ulang oleh para pemimpinnya ialah ayat dari surah al-hajj yang bermaksud beribadahlah kepada Allah sebelum kamu pergi berjihad2.
“Maaf. Ana ni dah makin tua. Tetapi insya-Allah lepas ni ana tak akan lupa pesan Qiyadah lagi.,” jawab Khair Al-Amin pula.
“Baiklah. Ana jumpa anta di sana je la ye. Anta jangan lambat pula.” Mint 05 meminta izin untuk menghabiskan perbualan. Khair Al-Amin mengangguk meskipun dia tahu Mint 05 tidak dapat melihatnya.
“Baik. Sami’tu waatha’tu.” Ringkas dia menjawab dalam bahasa arab yang bermaksud saya dengar dan saya patuh. Ucapan seperti itu memang biasa diucapkan sebegitu di kalangan mereka memandangkan mereka memang sudah dibiasakan untuk menggunakan perkataan bahasa arab ketika berbual sesama mereka. Rasa seronok pula dapat menggunakan bahasa Quran dalam perbualan harian.
Khair Al-Amin memanjangkan tangan untuk menekan punat biru berlambangkan bumi pula. Skrin GPS muncul. Khair Al-Amin memasukkan koordinat destinasi yang ingin ditujunya. Tidak sampai sesaat, penunjuk arah tersebut mula berfungsi mengikut kemahuannya.. Khair Al Amin tenang memandu. Dia mendongak sekejap ke langit. Cuaca cerah.
Insya-Allah aku akan tiba dengan selamat, bisik hatinya. Amin.
*************************
Seoul, Korea Selatan.
“Anta tak tidur lagi?” Wiridnya terhenti. Jari-jemarinya yang galak membilang buah tasbih terhenti. Dia menoleh pada empunya suara. Wajah Laksamana Aqmin singgah di mata. Sahabatnya itu sedang elok bersila di sebelah kirinya. Dia memerhati sekeliling. Barat Hutan X tempat mereka berkubu kelihatan damai. Tidak kelihatan ahli-ahli skuad yang lain  berkeliaran kecuali mereka yang ditugaskan untuk berkawal. Barangkali mereka juga sedang bermunajat pada Allah dalam khemah masing-masing. Hanya dia yang memilih untuk bertafakur di luar khemah bertemankan angin malam.
“Ana sukar nak lelapkan mata.  Esok kita ada pertarungan yang mesti kita menangi.  Ana risau. ” Lirih suara Khair Al-Amin menjawab.  Dia gusar memikirkan hari esok. Sudah dua tahun mereka hidup normal, mempunyai kerjaya yang tetap dan menggunakan peluang-peluang yang terhidang di depan mata untuk mentarbiyah masyarakat sekeliling agar tunduk dan patuh pada ajaran islam. Itulah perkara yang sangat dicintainya dan menjadi kesukaannya melihat tamadun islam berkembang pesat di seluruh Kesatuan Cahaya. Tak perlu ke medan perang lagi untuk mengembangkan wilayah islam tersebut sebaliknya islam menjadi ustaziatul alam. Kini manusia pula yang mencari islam. Namun, dua hari lepas kebiasaan mereka itu terpaksa ditinggalkan demi menyumbang tenaga dalam usaha menyelamatkan Khalifah Kesatuan Cahaya, Khalifah Aslam Amirul Ummah yang ditawan oleh Kesatuan Gelap.
Khair Al-Amin mengetap bibir geram. Kesatuan Gelap benar-benar mencabar mereka. Meskipun mereka hanya golongan kecil jika hendak dibandingkan dengan Kesatuan Cahaya ternyata mereka masih berkuasa. Mungkin dua tahun ini digunakan untuk membina kekuatan mereka semula. Khair Al-Amin mengeluh kecil. Hatinya tertanya-tanya apakah akan tiba masanya bila Kesatuan Gelap berputus asa dengan usaha mereka untuk kembali menawan dunia?
“Tiada apa yang perlu anta risau sekiranya anta berpegang dengan prinsip hidup menang mati syahid akhi.” Selamba Laksamana Aqmin menuturkan kata-kata. Dia nampak tidak gentar langsung untuk menghadapi hari esok. Spontan, Khair Al-Amin tersengih. Dia mengakui kebenaran dalam kata-kata Laksamana Aqmin ataupun lebih dikenali sebagai Mint 05.
“Benar.” Pendek jawapan yang diberikan oleh Khair Al-Amin sedang senyuman tak lekang di bibirnya. Hatinya jadi lapang mendengarkan kata-kata Laksamana Aqmin. Dia tunduk merenung buah tasbihnya sebelum dia mendongak ke langit. Bintang-bintang diperhatikan dan bulan direnung dalam.
“Anta masih ingat kali pertama kita bertemu dalam misi pertama di Istanbul? Tika itu kita berada di pihak yang mengalami kekalahan. Semua ahli skuad jadi lemah dan tak bersemangat. Anta masih ingat bagaimana kita berjaya bangkit kembali dan mencapai kemenangan?” Laksamana Aqmin melontarkan soalan yang membuatkan Khair Al-Amin mengerutkan dahi. Dia cuba meneroka kotak ingatannya untuk mengingati misi mereka di Istanbul, Turki. Lima tahun lepas, mereka ke sana untuk mematahkan serangan Kesatuan Gelap yang merancang untuk memusnahkan Pusat Kajian dan Bekalan Senjata Utama mereka. Senjata-senjata berjaya dirampas termasuklah senjata canggih yang mereka sendiri tidak pernah gunakan. Mereka hampir tewas namun ada sesuatu yang mengubahnya.
“Memo?” Sepatah perkataan terpacul keluar dari mulutnya. Kalau ingatannya tak salah, Khalifah Aslam telah mengirimkan satu nota pendek kepada mereka semua. Sebaik mereka selesai membaca isi kandungan nota tersebut, semuanya kembali bersemangat. Laksamana Aqmin senyum sambil menganggukkan kepalanya.
“Amirul Ummah menyoal kita dengan dua soalan. Yang pertama, adakah anta percaya jika anta menolong agama Allah, Allah akan menolong anta3?” Aqmin membacakan semula patah-patah kata yang terkandung dalam memo tersebut yang sudah pun tersemat kemas dalam ingatannya. Dia berhenti seketika, memberi peluang pada Khair Al-Amin untuk menyambung.
“Yang kedua Amirul Ummah bertanya adakah anta percaya sekiranya anta bertakwa kepada Allah, Allah akan mengukuhkan kaki anta dan menunjukkan jalan keluar yang anta tak pernah sangka selama ini4?” Khair Al-Amin pula pantas melengkapkannya.  Matanya bersinar.
“Ana percaya akhi.” Penuh tegas Khair memberikan jawapan. Terpancar keyakinan di wajahnya. Seolah-olah ada satu kuasa baru yang meresap masuk ke dalam tubuhnya dan menggantikan kegusaran yang bersarang di hatinya.
“Ana juga percaya ya akhi.” Laksamana Aqmin pula bersuara. Mereka berdua berpandangan. Mana mungkin mereka tidak percaya jika Allah telah menjanjikan sebegitu di dalam kitabullah Alquran. Mana mungkin mereka mendustakan perkara itu.
“Jikalau anta percaya maka jadilah seperti bulan. Yang menerima dan memantulkan cahaya. Yang ditarbiyah dan mentarbiyah. Yang mendapat dan memberi. Yang bertakwa dan menampilkan ketakwaannya. Meski ada gerhana namun tidak binasa. Sungguh, bulan terang itu cahaya pejuang.” Hampir serentak suara mereka mengulang ayat-ayat akhir dalam memo tulisan Khalifah Aslam Amirul Ummah bersama-sama.
Mereka berbalas senyum. Pesanan Khalifah Aslam itu sangat istimewa. Allah menyalurkan kekuatan-Nya pada mereka melalui pemimpin mereka itu. Terasa seperti mereka sedang menerima amanat secara langsung dari Yang Maha Esa. Tidak hairanlah sesiapa sahaja yang membaca memo tersebut dapat meningkatkan semula semangat mereka. Seterusnya menjadi daya tolak untuk mereka memenangi pertempuran itu.
Misi di Istanbul itu memang suatu kenangan yang manis dan tak patut dilupakan oleh mereka yang terlibat. Mereka berdua senyap sekejap, melayari kenangan tersebut. Seketika kemudian barulah Laksamana Aqmin bersuara.
“Baiklah akhi. Anta teruskanlah bermunajat pada Yang Berkuasa ya. Cari kekuatan sebanyak-banyaknya untuk hari esok. Moga Allah redha dengan perjuangan kita.” Laksamana Aqmin bersuara tenang. Dia bingkas bangun dari duduknya di sisi Khair Al-Amin. Tanpa berlengah, dia berpaling untuk pulang ke khemahnya pula. Dia juga berhasrat untuk mencari kekuatan dari Yang Maha Pemberi Kekuatan. Khair Al-Amin hanya melihat sahabatnya itu berlalu.
“Jazakallah khair akhi,”ucap Khair Al-Amin perlahan. Dia tersenyum melihat kelibat Laksamana Aqmin yang semakin jauh. Laksamana Aqmin itu sahabatnya di jalan tarbiyah. Meski dia bermaustautin di Malaysia sedangkan Laksamana Aqmin memilih untuk menetap di United Kingdom, hubungan mereka tidak pernah terputus. Mereka seringkali berhubung sejak pertama kali bertemu apabila sama-sama dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai komander elit dalam Unit Pertahanan Kesatuan Cahaya. Mereka sama-sama juga dinaikkan pangkat dan menjawat jawatan Ketua Platun. Dia dikenali sebagai Mint 05 ketua kepada skuad kelima manakala Khair Al-Amin memakai kod nama Kay 03 dengan mengetuai pasukan ketiga. Misi kali ini mereka menggabungkan pasukan pertama hingga kelima dengan persepakatan melantik Laksamana Aqmin sebagai ketua.
“Anta memang panglima perang yang hebat akhi,”bisiknya dalam senyuman. Dia kemudian memejamkan mata, cuba fokus pada peribadatannya.
Ya Allah…Ya Allah…Ya Allah.
*************************
“Gempur!” Khair Al-Amin melaung dengan sekuat hati. Dia menarik penutup mukanya ke bawah agar seluruh wajahnya terlindung. Tanpa berlengah dia dahulu yang maju ke hadapan. Tembakan dilepaskan bertubi-tubi pada setiap musuh yang berjaya dikesan oleh deria penglihatannya. Semuanya mati serta-merta memandangkan dia merupakan penembak pantas dan tepat. Apatah lagi dia menggunakan raifal HK 416 KOMANDO yang mempunyai kuasa tembakan yang amat jitu.
            “Allahuakbar!” Sahabat-sahabatnya menyahut seruan tadi dengan takbir. Mereka tanpa gentar turut mengikut jejak langkah Khair Al-Amin. Kubu musuh yang terletak di barat daya Hutan X digempur. Sebaik sahaja mereka berjaya meruntuhkan tembok batu setinggi 10 kaki yang mengelilingi kubu tersebut menggunakan bahan letupan C4, mereka terus menyerbu masuk. Musuh ternyata kelam-kabut dan tidak menjangka serangan tersebut. Sememangnya komander elit Kesatuan Cahaya telah dilatih agar bergerak tanpa dapat dikesan oleh pihak musuh.
            “Kay 03 pukul empat!” Sepantas kilat dia memusingkan tubuh dan menembak ke arah tenggara. Tembakannya tepat mengena dada lawan. Lelaki yang cuba menyerang hendap dirinya itu terkulai layu. Khair Al-Amin merenung dingin mayat di hadapannya. Kalau dikutkan dia tidak ingin membunuh namun dia terpaksa melakukannya atas permuafakatan mereka sebelum menyerang. Berdasarkan pengalaman lalu, Kesatuan Gelap tidak pernah serik meskipun sudah berkali-kali peluang diberikan. Maka, mereka sepakat untuk menghabisi kesemua pejuang Kesatuan Gelap dan menawan mereka yang ingin menyerah diri.
            “Mara ke hadapan,” Arahan yang diberikan oleh Laksamana Aqmin disahut pantas. Semuanya melangkah berhati-hati menuju ke satu bangunan berbentuk kubah di tengah-tengah kubu. Sesuai dengan nama Kesatuan Gelap, suasana di dalam kubah tersebut suram dan hanya ada sedikit cahaya yang berjaya menyelinap masuk ke dalam bangunan. Dengan penuh hati-hati dia melangkah ke dalam. Pinggangnya diraba. Pistol HK USP TACTICAL 9 masih tersisip kemas di situ. Sementara raifal HK 416 KOMANDO yang digunakannya sebentar tadi masih setia di kedua-dua belah tapak tangannya.
            “Amirul Ummah!” Dia terjerit kecil apabila melihat satu susuk tubuh terikat di atas kerusi di tengah-tengah ruang lapang dalam kubah tersebut. Pantas dia berlari mendapatkan lelaki itu namun tidak sampai beberapa ela dari situ, dia terhenti.
Visualnya menangkap satu figura hitam yang sedang berdiri di belakang kerusi tersebut. Dalam samar kegelapan dia melihat ada satu objek yang bersinar. Khair Al-Amin membesarkan mata. Pisau!
            “Setapak lagi kau melangkah ke hadapan, nyawanya akan melayang,” Keras ugutan yang dilemparkan susuk tubuh itu. Khair Al-Amin telan liur. Melalui pengamatannya yang terhad dek kegelapan di situ, dia dapat melihat pisau tersebut berada betul-betul di leher Khalifah Aslam. Amirul Ummah itu kelihatan tidak bermaya, mungkin sudah puas dikerjakan sepanjang dia dalam tawanan. Dia hanya memandang tindak-tanduk Khair Al-Amin dengan mata yang kuyu.
            “Kau Leopard kan?” Khair Al Amin meneka. Lelaki itu kalau tidak silap merupakan panglima tentera Kesatuan Gelap yang berjaya melarikan diri dalam pertempuran dua tahun lepas. Khair Al-Amin mengkakukan dirinya di situ. Dia melilau, cuba mencari peluang untuk bertindak.
            “Hahahaha. Barisan komander Kesatuan Cahaya! Tak sangka kau semua masih ingat pada aku lagi.” Lelaki bernama Leopard itu bersuara sinis. Khair Al-Amin angkat bahu. Masakan dia tak ingat. Di tangan lelaki itu, sepuluh komander elit Kesatuan Cahaya terkorban.
            “Apa yang kau nak Leopard? Apa yang kau mahu dari khalifah kami itu?” Khair Al-Amin bersuara lantang.
            “Nyawanya komander.” Leopard menjawab pendek. Suaranya kasar dan keras. Khair Al-Amin dapat merasakan mata musuhnya itu mencerlung ke arahnya. Dia berusaha menenangkan dirinya meski dia sedar akan bahayanya keadaaan tersebut terutama sekali buat khalifah Aslam. Silap percaturan Amirul Ummah akan terbunuh.
            “Jadi mengapa kau tak bunuh Amirul Ummah awal-awal? Kenapa perlu culik dia dan umpan kami semua ke sini?” Khair cuba bermain psikologi, melengah-lengahkan masa untuk merangka sesuatu. Dia tersentak apabila Leopard meledakkan tawanya.
            “Bodoh! Cuba kau lihat sekeliling,”arah lelaki itu. Khair Al-Amin berpusing ke belakang. Terbeliak matanya melihatkan komander-komander elit yang lain telah pun tertawan. Pistol di tangannya terlepas.
Rupa-rupanya sebaik sahaja mereka melangkah ke dalam kubah, tentera pejuang Kesatuan Gelap menghampiri setiap komander Kesatuan Cahaya dan mengacukan senapang ke belakang mereka. Mereka tidak dapat menolong satu sama lain kerana mereka diserang serentak. Hanya Khair yang terselamat memandangkan dia meluru ke hadapan dan terpisah sedikit dari komander-komander yang lain.
            “Tak guna!” Tercetus keluhan kasar dari mulut Khair Al-Amin. Dengan keadaan sekarang, dia tiak mampu berbuat apa-apa. Dia kecewa. Kelalaiannya dan keghairahannya mara ke hadapan tadi membuatkan dia tidak sedar komander-komander yang lain diserang hendap. Kini dia hanya mampu melihat para sahabatnya berlutut di atas lantai dengan tangan diletakkan di belakang kepala. Di belakang setiap seorang dari mereka ada muncung senapang yang diacukan oleh pejuang-pejuang Kesatuan Gelap.
            “Hari ini dapatlah aku menghapuskan pemimpin Kesatuan Cahaya. Komander-komandernya yang kononnya ampuh dengan tarbiyah dan keimanan pada Tuhan yang entah wujud entah tidak itu pun akan aku habisi,” Leopard bersuara lantang. Hatinya puas apabila rancangannya hampir berjaya. Khair Al-Amin mengetap bibir.
            Allah, bantu kami. Hasbunallah wanikma’wakil, rintihnya dalam hati. Dalam keadaan sekarang, hanya Allah swt yang mampu membantunya.
            “Kau boleh bunuh kami hari ini. Namun begitu, ingatlah! Kesatuan Cahaya bukan mentadbir ummah tetapi kami membina ummah. Kami membina legasi yang akan menggantikan kami. Riwayat kami mungkin berakhir tetapi islam akan tetap utuh. Akan lahir lebih ramai pemimpin sehebat Amirul Ummah dan akan tampil komander-komander pejuang kebenaran yang lebih hebat dari kami.” Penuh keyakinan Khair Al-Amin bersuara. Dia merenung garang wajah Leopard yang berubah sedikit air mukanya. Lelaki itu mendengus.
            “Usah cakap lagi. Matilah kau semua!” Leopard menjerit sepenuh tenaga memberi arahan pada anak-anak buahnya agar menembak serentak sementara dia bersedia untuk menyelar leher Khalifah Aslam. Khair Al-Amin menutup mata. Air matanya menitis. Dia tidak sanggup menyaksikan pertumpahan darah yang bakal berlaku.
Dum! Dum! Dum!
            Allah, mereka telah pergi.
Khair Al-Amin terjelepuk ke lantai. Tubuhnya terasa longlai mendengar bunyi-bunyi tembakan yang dilepaskan. Terasa ada percikan darah yang menimpa tubuhnya. Panas. Dia pasrah. Tiada apa yang dia dapat lakukan lagi.
Giliran aku pula selepas ini. Berikan aku syahid ya Allah, pohonnya dalam hati.
“Kay 03.”
            Bahunya ditepuk. Khair Al-Amin tersentak. Hanya komander Kesatuan Cahaya yang mengetahui kod namanya. Apakah yang berlaku? Dia buka mata. Sebaik dia mendongak, dia dapat melihat musuh-musuh mereka bergelimpangan jatuh ke lantai termasuk Leopard.  Dan jeritan Allahuakbar berkumandang di udara. Dia terkebil-kebil memerhati sekeliling, mencari penjelasan.
            “Kita menang!” Suara Laksamana Aqmin mencecah ke telinganya. Khair Al-Amin  mengelipkan matanya berulang kali. Biar benar! Bukankah tadi nyawa sahabat-sahabatnya itu dalam genggaman lawan?
            “Sniper.” Pendek Laksamana Aqmin menerangkan bagaikan tahu persoalan yang sedang bermain di fikiran sahabatnya itu. Ada senyuman lebar yang meniti di bibirnya. Bulat mata Khair Al-Amin mendengar penjelasan tersebut.
            “Subhanallah. Ana terlupa kita ada pasukan penembak jarak jauh. Inikah strategi anta?” Laksamana Aqmin hanya mengangguk. Dari awal lagi dia telah mengarahkan sekumpulan penembak tepat bersedia dari jarak 500 meter dari kubu musuh. Dengan bantuan teknologi yang terdapat pada Remington M700, tembakan tepat dapat dilakukan dari jarak jauh. Dia berpaling menghadap anak buahnya yang lain.
            “Bawa Khalifah Aslam pulang. Kita akan bertolak balik ke pusat gerakan di Tokyo dahulu. Bersedia selepas maghrib semua.” Ringkas dia memberi arahan. Anak-anak buahnya mengangguk tanda patuh pada arahan tersebut.
            “Sami’na waatha’na.” Kami dengar dan kami patuh. Laksamana Aqmin berpaling semula pada sahabatnya.
            “Mari ana tolong anta bangun.” Dia menghulurkan tangan untuk membantu Khair Al-Amin berdiri. Khair Al-Amin senyum segaris.
            “Akhi,”panggil Khair Al Amin perlahan sebaik sahaja dia berdiri. Sahabatnya itu mengalihkan mata memandang tepat wajah Khair Al-Amin. .Dia tidak bersuara tetapi hanya menanti Khair Al-Amin bersuara.
            “Anta percaya petolongan Allah dan kemenangan itu dekat bagi orang yang beriman5?”
            Laksamana Aqmin tersenyum. Soalan cepumas yang jawapannya bersandarkan pada keimanan dan akidah. Dan tentu jawapan dari dirinya ialah,
            “Ana percaya akhi sebagaimana anta juga percaya.” Khair Al-Amin tersenyum. Betul, dia juga percaya.
            Mereka percaya semua janji Allah itu. Dan mereka tahu kerana kepercayaan itulah, mereka mencapai kejayaan hari itu. Allahuakbar.
            “Mari pulang,”ajak Laksamana Aqmin. Khair Al-Amin mengangguk setuju.
            “Mari.”
            Mereka berjalan beriringan meninggalkan medan pertempuran tersebut. Satu pertempuran yang telah berakhir dengan kemenangan yang berpihak pada kebenaran.
*************************
Kedah, Malaysia.
Assalamualaikum akhi,
Apa khabar diri, iman dan amal? Ana di sini sihat alhamdulillah. Kembali sibuk mendidik para pemuda yang dahagakan ilmu. Anta doakan ana ya.Moga-moga mereka yang ana didik ni akan menjadi para pelapis yang akan mendukung dakwah kita. Insya-Allah merekalah yang bakal memimpin ummah suatu hari nanti. Sedar tak sedar kita ni dah tua rupanya.
            Akhi,
Anta akan datang ke Konvensyen Kesatuan Cahaya di Tokyo nanti kan? Tak sabar nak jumpa anta dan sahabat-sahabat kita yang lain.
            Wassalam.
            Khair Al-Amin.
            Malaysia.
            Khair Al Amin menekan butang hantar. Emel itu diutus buat Laksamana Aqmin yang berada di Birmngham, United Kingdom. Rasa rindu pada sahabat yang seorang itu mendorongnya berbuat begitu. Setelah berpisah sebaik melapor diri di ibu pejabat gerakan komander di Tokyo sebulan yang lalu, mereka sudah tidak bertemu lagi. Keharmonian dan kerukunan kerajaan Kesatuan Cahaya kembali stabil dengan kembalinya Khalifah Aslam Amirul Ummah memegang tampuk pemerintahan. Dia pula kembali kepada tugasnya sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Asia Tenggara yang terletak di Utara Semenanjung Malaysia. Sementara Laksamana Aqmin kembali menabur bakti sebagai doktor di salah sebuaah hospital terkemuka di London.
            Peristiwa di hutan X menjadi rahsia kerajaan Kesatuan Cahaya. Malah, laporan berita hanya menyiarkan Khalifah Aslam berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas hilang selama lima hari. Dia dilaporkan dibawa lari oleh beberapa penjenayah yang tamakkan wang dan tidak berbahaya. Namun, tiada laporan terperinci yang diberikan. Khair Al-Amin bersetuju dengan tindakan kerajaan Kesatuan Cahaya merahsiakan perkara sebenar. Ia penting bagi mengelakkan rakyat mengetahui penglibatan Kesatuan Gelap dalam hal tersebut seterusnya menjadi panik dan menimbulkan huru-hara di serata wilayah. Seboleh mungkin mereka cuba menjaga kemakmuran yang telah sekian lama mereka kecapi itu.
            “Encik Amin.” Panggilan seseorang dari arah belakang menarik perhatiannya. Dia berpaling dan melihat seorang pelajar lelaki menghampiri mejanya. Spontan, ada senyuman yang tersungging di bibirnya.
            “Iman, ada apa ni?”Dia bertanya lembut. Pelajar bernama Iman itu tersengih.
            “Encik, saya terkesan sangat dengan memo yang encik berikan pada kami sebelum peperiksaan tempoh hari. Saya rasa terinspirasi untuk buat yang terbaik. Rasa macam Allah sedang memberi motivasi pada saya untuk buat sehabis daya. Rasa dekat sangat dengan Dia encik,”ujar Iman. Nada suaranya tampak bersungguh-sungguh.
            Khair Al-Amin tambah lebar senyumannya. Dia menggamit pelajar itu untuk duduk di kerusi yang bertentangan dengannya.
            “Macamana keputusan kamu?”
            “Alhamdulillah lulus encik.”Anak didiknya itu bersuara gembira.
            “Alhamdulillah.” Khair Al-Amin turut mengucap syukur. Sebagai pendidik, memang menjadi harapannya untuk melihat pelajar-pelajarnya berjaya. Wajah Iman dipandang gembira. Dia ingin bertanya lebih lanjut namun Iman lebih cepat memintas.
            “Sebenarnya saya dah putus asa encik. Rasa susah sangat nak lekat kat kepala bila belajar topik-topik yang susah…” Iman mula membuka cerita. Khair Al-Amin mengangkat kening.
            “Jadi, apa yang berlaku?” Dia bagaikan tidak sabar untuk mengetahui cerita selebihnya.
            “Memo enciklah! Sebaik sahaja saya baca perenggan yang tulis jadilah seperti bulan. Yang menerima dan memantulkan cahaya. Yang ditarbiyah dan mentarbiyah. Yang mendapat dan memberi. Yang bertakwa dan menampilkan ketakwaannya. Meski ada gerhana namun tidak binasa. Sungguh, bulan terang itu cahaya pejuang. Habis baca perenggan ni, entah kenapa saya jadi sangat bersemangat. Seolah-olah ada satu nafas baru yang mengalir dalam badan saya,” terang Iman bersungguh-sungguh.
            “Bagaimana tulisan saya itu mampu buat kamu rasa macam tu Iman?” Sengaja dia menyoal untuk mengetahui bagaimana anak didiknya itu mentakrifkan tulisan yang terdapat pada memo tersebut. Dia dapat lihat pemuda itu mengeluarkan sekeping kertas biru yang berlipat dari dompetnya.  Dia kenal kertas itu. Itulah memo yang diberikan kepada semua pelajarnya sehari sebelum mereka menghadapi peperiksaan. Iman membuka lipatan kertas itu dan merenung isi kandungannya sebentar.
            “Saya setuju bila kami diibaratkan sebagai bulan. Kami menerima ilmu dan kami perlu mengamalkannya. Kami dibentuk untuk mendidik diri kami sendiri agar menjadi orang yang bertakwa. Dengan ketakwaan yang kami tampilkan, tak mustahil setiap halangan mampu kami tangani. Itulah kuasa kami. Daya tolak untuk kami berjuang di medan perang. Err, maksud saya medan pepeperiksaan.” Panjang lebar dia berkongsi buah fikiran dengan Khair Al-Amin. Dari ekor mata, dia dapat melihat Khair Al-Amin tersenyum senang.
            “Madah indah itu bukan setakat di medan peperiksaan, Iman. Tetapi ia berguna sepanjang zaman. Bila kamu dah kerja atau kamu dah berkeluarga, pesanan dan mesejnya tetap segar untuk kamu aplikasikan dalam kehidupan.” Berhikmah Khair Al-Amin menyusun kata dan memberi nasihat. Dia tidak mahu anak muridnya setakat faham mesej itu sebagai inspirasi untuk menghadapi peperiksaan. Hakikatnya dia ingin mereka faham, mereka adalah bulan walau di mana mereka berada. Asalkan keimanan mereka kepada Allah tetap teguh, mereka akan tetap bercahaya. Biarpun gerhana datang menyinggah. Dan gerhana dalam kehidupan bukan setakat peperiksaan sahaja malah akan ada lebih banyak rintangan dalam kehidupan yang bakal mereka tempuh. Kala saat itu tiba nanti, dia mahu mereka tetap jadi seperti bulan.
            “Saya faham. Insya-Allah encik, saya akan berusaha menjadi di kalangan orang-orang yang bertakwa agar saya tetap menjadi seperti bulan walaupun saya dah habis belajar.” Pantas Iman memberi janji, lebih kepada janji untuk dirinya sendiri. Khair Al-Amin mengangguk. Jam tangan di pergelangan tangan kirinya dipandang sekilas. Sudah tengahari rupanya.
            “Hah, ni kamu dah makan belum?” Iman tersengih sebelum menggelengkan kepalanya.
            “Jom! Saya belanja bagi meraikan kejayaan kamu lulus dalam peperiksaan,”ajak Khair Al-Amin. Dia rasa senang apabila mengetahui pelajarnya yang seorang itu mampu menggunapakai mesej yang terselindung di sebalik nota bermadah indah kirimannya walaupun sekadar untuk menghadapi peperiksaan. Ternyata, jika kita jadikan diri kita seorang pejuang dalam kehidupan, yang mengabdikan diri dan bertakwa kepada Allah, pesanan warisan dari Khalifah Aslam Amirul Ummah itu mampu diaplikasikan sesuai dengan kehidupan masing-masing.
“Kalau encik belanja saya okay saja.” Iman pula dengan senang hati menurut. Mereka sama-sama mengatur langkah ke kafeteria yang berdekatan untuk menjamu selera. Khair Al-Amin tersenyum.
“Saya belanja kamu bayar okay?” Sepantas kilat Iman menoleh pada pensyarahnya. Mana ada duit!
“Encikkk!”
TAMAT
1. (51:56)
2.(22:77-78), (2:153)
3.(47:7)
4.(65:2-3)
5.(2:214)