Monday 29 August 2011

Madrasah Ramadhan. Menanti hari konvokesyen...

Dimanakah peringkat kita?


Alhamdulillah,
Masih berpeluang melatih diri  di Madrasah Ramadhan sesi 1432H. Hanya 29 hari sahaja untuk sesi tahun ini.  InsyaAllah. Petang ini  pihak yang berkenaan akan mencerap anak bulan dan pada malam ini juga, penyimpan  mohor diraja akan mengumumkan bilakah umat Islam di Malaysia akan menyambut  1Syawal atau hari konvokesyen  Madrasah Ramadhan.

Madrasah Ramadhan, ganjarannya adalah taqwa. Namun begitu, untuk mencapai taqwa yang dijanjikan Allah, terdapat beberapa KPI(key perfomance indicator)yang Allah telah tentukan. Ulama telah menyenaraikan beberapa peringkat puasa. Dimanakah peringkat kita?


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah:183)
Inilah peringkat-peringkat puasa yang akan menentukan, kelas manakah penuntut Madrasah Ramadhan akan ditempatkan. 
Peringkat pertama : 
Puasa golongan awam, mereka berpuasa sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tidak melakukan persetubuhan. Mereka dalam golongan ini masih lagi melakukan dosa seperti dosa mengumpat, melihat perkara haram dan sebagainya.

Peringkat kedua:
Golongan puasa Khawas, pausa mereka agak kukuh berbanding puasa peringkat pertama. Mereka  adalah insan yang melalui peringkat pertama setelah melalui proses mujahadah yang rapi. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan pahala. Hasil dari proses mujahadah, mereka juga berusaha menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan pahala puasa.
Peringkat ketiga:
Golongan Khawas al- Khawas. Agak ekslusif. Mereka ini secara zahirnya boleh dikelaskan sebagai penerima ijazah kelas pertama. Puasa ini adalah puasa golongan ulama al- amilin, solihin dan muqarrabin. Mereka  berpuasa bukan lagi kerana dosa dan pahala, tetapi kerana ingin mendekati Allah swt. Jadi, sepanjang berpuasa mereka sentiasa ingat Allah dan hasilnya tiada masa lagi untuk melakukan dosa.
Namun, untuk mencapai peringkat ini, mereka perlu melalui peringkat pertama dan kedua. Oleh itu, semuanya bergantung pada iman dan kesungguhan masing-masing dalam mencapai KPI yang telah ditentukan oleh Allah swt.
Setelah melihat KPI yang telah ditentukan, ayuh kita semak semula diri kita. Dimanakah peringkat kita, adakah semakin meningkat, ataupun sama sahaja seperti tahun sebelumnya. Jika sama sahaja, apakah sebabnya?
Apakah kerana kesungguhan kita untuk berubah? ataupun kualiti ibadah kita. Asalkan sah, cukuplah.
Apa yang sedihnya, apakah tahun depan kita masih diizinkan Allah untuk menjalani latihan di Madrasah Ramadhan? 
KPI  ini, tidaklah untuk menjatuhkan motivasi kita, namun penilaian inilah yang mencerminkan prestasi kita. Menjadi inspirasi pada kita semua untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Tentunya kita semua tidak mahu berada di puasa peringkat pertama selama-lamanya.
 Inilah sunatullah, masa tetap berlalu. 
Tidak mampu diberhentikan atau dicepatkan walau sesaat.
 Madrasah Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Kami, keluarga IKRAM WM 
mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin. 
Taqabballahu minna wa minkum solehal a'mal
Salam Aidilfitri
Ikram West Midlands

Sunday 28 August 2011

21082011 - Apakah Sejarah Sudah Dilupakan??

Salaam Alayk~

Apa special-nya 21 Ogos??

Mungkin anda yang tertanya-tanya 21 Ogos??

Banyak perkara yang berlaku pada tarikh 21 Ogos. Namun, tarikh 21 Ogos 1969 merupakan satu satu tarikh yang meninggalkan coretan hitam di dalam sejarah umat Islam. Pada tarikh tersebut, seorang warga Australia bernama Michael Dennis Rohan telah menyalakan api sekaligus membakar sebahagian besar masjid Al-Aqsa. Namun, usaha untuk memusnahkan masjid Al-Aqsa ini berjaya diselamatkan apabila ummat Islam bertindak pantas untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Persoalannya, apa yang anda lakukan pada tarikh 21 Ogos setiap tahun?

Alhamdulillah.. pada 21 Ogos yang lalu, ana berkesempatan untuk menghadiri sebuah Charity Iftar for Palestine yang dianjurakan oleh Interpal (sebuah NGO yang ditubuhkan untuk menyampaikan isu berkaitan Palestin) bertempat di Muath Trust, Bordesley Centre, Birmingham. Sebuah majlis yang sederhana, tapi cukup untuk menyampaikan maksud dan memenuhi objektif penganjuran. Antara aktiviti yang turut diadakan semasa majlis tersebut adalah penyampaian ringkas mengenai situasi Palestin, auction for Palestine, persembahan nasyid dari kumpulan Fursan dan pelbagai aktiviti yang menarik!

Auction for Palestine - lebih dari £1000 berjaya dikutip dari sumbangan
para hadirin.

Dalam sesi penyampaian ringkas, ana sangat tertarik dengan sebuah hadith yang dikongsikan oleh Syeikh Shihab. Hadith tersebut berbunyi,

Abdullah Ibnu Umar r.a. pernah meriwayatkan bahawa,

Beliau bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, khabarkan kepada kami hokum menziarahi Baitul Maqdis,”. Rasulullah saw menjawab, “ziarahlah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mampu (untuk berziarah dan bersolat), maka kirimlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid)”.
[Hadith riwayat Bukhari]


Dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Maymunah binti Saad ra. bahawa,

Beliau bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasululluh saw, khabarkan kepada kami mengenai Baitul Maqdis,”. Baginda saw menjawab, “Ziarahlah untuk bersolat(di sana)”. Kemudian beliau bertanya lagi, “Jika sebahagian dari kami tidak dapat menziarahinya, apa yang kami patut lakukan?”. Baginda bersabda, “Jika kamu tidak mampu berziarah untuk bersolat, maka hantarkanlah minyak untuk digunakan bagi menyalakan lampu-lampu, akan dikira sebagai dia telah bersolat di dalamnya”.

[Hadith riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud dan Tabarani]

Connect : Don't let their call go unanswered

Melalui 2 hadith di atas, dapat kita fahami betapa dekatnya masjid Al-Aqsa dengan ummat Islam. Menyedari hal ini, apakah yang telah kita lakukan setakat ini dalam memenuhi hak kita terhadap masjid Al-Aqsa? Rasulullah saw bukan sahaja meminta kita untuk menziarahi Baitul Maqdis, akan tetapi menjadi keutamaan kita untuk menjaga kebajikannya. Jika difikirkan, kita sebenarnya berhutang dengan jumlah yang besar kepada rakyat Palestin yang bersungguh-sungguh menjaga dan mempertahankan tanah suci ummat Islam tersebut.


Baitul Maqdis yang juga terletak di dalam wilayah Palestin merupakan sebuah tempat yang istimewa di dalam hati ummat Islam. Tanah ini merekodkan pelbagai sejarah dalam peradaban Islam di muka bumi ini.

Apakah sudah cukup dengan apa yang kita lakukan selama ini?

p/s : Eh?? Dah bayar hutang?

Sunday 14 August 2011

90% cinta.

Nabi Muhammad saw. Dakwah baginda penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan menyantuni mad’unya sepenuh hati walaubagaimanapun sifat dan sikap mad’unya. Abu Bakar yang lemah lembut, Umar yang tegas, Uthman yang pemalu dan ramai lagi sahabat-sahabat baginda yang berbeza perwatakannya, namun bersatu dalam tujuan yang sama. Dengan akhlak baginda yang indah inilah membuatkan para sahabat sangat mencintai baginda.

Ada satu kisah yang sangat menyentuh perasaan akan cinta sejati terhadap baginda. Mari kita telusuri kisah ini.
Suatu ketika, Umar sedang berjalan bersama Nabi saw. Saat itu Nabi saw memegang tangan Umar dan berjalan, baginda ingin melunakkan hati Umar al Khattab. Umar merasa hairan akan perbuatan baginda, lantas beliau berkata,

“ Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu melainkan diriku.”

Mendengar kata-kata Umar, Rasulullah ingin memberi pengajaran  kepada Umar dan untuk kita semua akan cinta sejati terhadap baginda. Maka Nabi saw. bersabda;

“ Tidak (tidak sempurna imanmu), demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sampai aku lebih engkau cintai berbanding dirimu sendiri”

Lalu, umar berkata kepadanya,

“ sungguh, sekarang demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”

Maka Baginda berkata,

“sekarang (telah sempurna imanmu), wahai Umar.” [1]

Perhatikan kisah di atas, bagaimana Nabi tidak redha dengan cinta  Umar yang hanya 90%. Itulah cinta Umar , dia jujur dan berterus terang dengan apa yang dikatakannya. Bukan mudah untuk mencintai Allah dan RasulNya, namun setelah baginda memberitahu pada beliau dan kita semua apakah itu cinta terhadapNya, Umar pantas berkata, dia mencintai Baginda melebihi dirinya sendiri. Namun cinta ini tidak akan terlaksana dengan semudah lisan sahaja tanpa cinta itu wujud dalam hati dan teraplikasi dalam amalan.

Mengapa perlu mencintai Baginda melebihi diri sendiri?

Melalui kisah di atas, dalam masa yang singkat Umar terus mengubah cintanya yang hanya 90% kepada peratus yang melebihi dirinya sendiri.

Abdullah b Umar, anak beliau pernah bertanya kepada Umar sendiri tentang rahsia perubahan ayahnya yang cepat dan bagaimana ianya boleh berlaku. Lantas Umar menjawab;

“ Aku bertanya kepada diriku sendiri, kepada siapa  yang ia lebih perlukan, kepada engkau (diri Umar) ataupun  kepada Rasulullah? Maka aku mendapati bahawa aku dahulu dalam kesesatan, jika Allah tidak memberi aku petunjuk kepadaku melalui  Rasulullah, pastilah aku sesat sampai mati. Kemudian aku mengingat kejadian hari kiamat, dan bahawasanya aku tidak akan masuk syurga dengan amalanku, tetapi dengan cintaku kepada Rasulullah. Dengannya aku tahu, aku lebih banyak memerlukan Rasulullah daripada diriku sendiri, maka aku lebih mencintainya melebihi diriku sendiri.”

Begitulah perbualan antara Umar dan putra beliau. Melalui apa yang Umar fikirkan melalui cintanya, kita dapat melihat bahawa Umar ini seorang yang sering memuhasabah diri, berdialog dengan diri akan nasibnya di dunia dan akhirat kelak.

Akhir sekali, di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah saw. Terdapat beberapa faktor yang mampu membantu kita mencintai baginda, secara ringkasnya;
1-  Memperbanyak mengucapkan salam dan selawat kepada Baginda.
2-  Membaca, menghayati dan mempelajari sejarah Nabi saw.
3-  Mengikuti amalan sunnahnya
4- Menziarahi kotanya, Madinah al-Munawwarah.

Masjid Nabawi, Madinah.

 Salam Ramadan, sepuluh  malam fasa kedua kini bersama kita. Fasa ini adalah fasa yang disebut Maghfirah  iaitu fasa pengampunan.


Glosari
Mad'u : Objek dakwah, yang  di dakwah.
Maghfirah: pengampunan

1 Shahih Al-Bukhari, Kitab al Iman wa an nudzur, hadis no. 6142

Rujukan: Amru Khalid, Belajar Hidup Dari Hidup Rasulullah saw.