Monday 10 October 2011

Tak Kenal, Maka Tak Cinta

KYS 2011
1 Oktober 2011
University Of Birmingham
"Harapnya ini kali terakhir untuk kita gunakan perkataan 'senior' atau menggelar hubungan antara kita 'senior-junior'. Lepas ini kita boleh jadi kawan, abang, kakak dan adik sebagai misalan."

Bagi saya, kata-kata ini amat benar. Kata-kata ini (lebih kurang) disampaikan dalam program Know Your Seniors sulung pada tahun 2010 oleh saudara Fahmi ketika dia menjadi panelis dalam forum tersebut. Program tahun ini pula, saya diminta memberi sedikit ucapan alu-aluan.

Tapi, saya bukanlah seorang yang pandai berucap di hadapan, malahan hampir tidak pernah saya ke depan pun! Entah apa yang saya perlu sampaikan di hadapan orang ramai. Ilham dari Allah, tergetis kata-kata ini dalam cepu fikir saya. Saya sempat menambah:
Memberi sedikit ucapan alu-aluan

"Supaya tidak ada jurang antara kita."

Masih mengekalkan format program pada tahun lepas, slot forum perkongsian tentang kehidupan seorang pelajar di United Kingdom tahun ini diisi oleh tiga panelis. Muhammad Hafiezul Hafizz bin Hussin, Ahmad Shahrul Kamal bin Haji Shahid, dan Nazatul Amira binti Hamzah. Sudah tentunya mereka bukan saja-saja dipilih, tetapi kasad maksud pilihan itu adalah kerana mereka ada pencapaian yang cemerlang, malah baik sikap, tinggi matlamat. Walaupun dua orang panelis lelaki sudah saya kenal selama dua tahun, saya percaya masih banyak lagi yang boleh saya cicip dari mereka.


Antara isi yang dibincangkan - tentang belajar, cara dan adab berkawan atau bergaul, isu bahasa dan slanga, sehinggalah kepada aspek menguruskan kewangan. Saya secara peribadi baru saja tahu tentang Kamal - bagaimana dia sangat teliti dalam menyimpan wang, hingga dijadikan belanja untuk dia mengerjakan umrah! Walaupun saya sudah melangkah ke tahun ketiga, saya masih belum berjaya dari sudut tabungan - kemungkinan juga faktor bidang dan pengangkutan ke universiti menghalang saya untuk menyimpan lebih banyak seperti dia, tetapi sekarang sepatutnya ia tidak jadi menjadi alasan.

Saudara Hafizin selaku pengerusi majlis
Saya juga tertarik dengan cerita dari panelis Nazatul Amira, tentang bertanya kepada pensyarah. Katanya, apabila tidak tahu, segera bertanya, dan tanyalah sebanyak-banyaknya. Dia dan kawannya pernah bertanya kepada pensyarah mereka sehingga pensyarah itu naik rimas dan berkata: "Please take them away from me!" Sampai begitu sekali - dan begitulah sepatutnya. tak semena-mena ini mengingatkan saya pada sepotong ayat dalam Al-Quran dalam surah an-Nahlu ayat 43:

"...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." 

Paling istimewa adalah slot terakhir dalam forum, apabila mereka menghuraikan sedikit mengenai fiqh pelajar yang biasa diamalkan di luar negara khususnya. Persoalan seperti menjamakkan solat, memakai khuf untuk berwuduk, bersolat di tempat awam dan pakaian solat untuk muslimat adalah beberapa persoalan yang sangat biasa diamalkan di sini. dalam slot ini saya juga belajar sesuatu: tak sangka juga, khuf boleh ditempah secara online di eBay!

Barisan ahli panel yang tidak lokek berkongsi pengalaman
Dari kiri: saudara Hafizin, saudara Hafiz, saudara Kamal dan Saudari Amira

Suasana menjadi gamat apabila diserikan dengan jenaka spontan oleh moderator forum, Hafizin Tajudin. Kemudian ada soalan kuiz diselitkan di antara soalan-soalan untuk panelis. Soalan kuiz yang terakhir masih saya ingat, direka spontan oleh Hafizin: Siapa perdana menteri UK? Rupanya tak ramai yang tahu siapa perdana menteri UK - saya sendiri bila duduk di UK barulah sibuk nak ambil tahu!

Seperti tahun lepas juga, tetamu diminta berkumpul mengikut bidang masing-masing. Tujuannya untuk berkongsi dan bertanya tentang bidang masing-masing dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. 

Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya turunkan juga sedikit petikan ayat tadabbur di awal majlis, yang dibaca oleh Najmi:

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: 'Sungguh, aku termasuk dari orang-orang muslim (yang berserah diri)'? Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia." (Fussilat : 33-34)

Sampaikanlah yang baik dan benar, kongsikanlah ilmu yang bermanfaat, buat bekal pahala di akhirat. Insya Allah :) Dalam kekurangan majlis kali ini, mohon diambil yang bermanfaat, tegurlah mana yang kurang tepat.


Selamat Datang ke Birmingham!
Kini kita bersama-sama
Mengorak langkah, melakar kehidupan
Untuk dijadikan salah satu episod hidup kita
sebagai seorang pengembara=)



R

No comments: