Showing posts with label Palestin. Show all posts
Showing posts with label Palestin. Show all posts

Sunday, 28 August 2011

21082011 - Apakah Sejarah Sudah Dilupakan??

Salaam Alayk~

Apa special-nya 21 Ogos??

Mungkin anda yang tertanya-tanya 21 Ogos??

Banyak perkara yang berlaku pada tarikh 21 Ogos. Namun, tarikh 21 Ogos 1969 merupakan satu satu tarikh yang meninggalkan coretan hitam di dalam sejarah umat Islam. Pada tarikh tersebut, seorang warga Australia bernama Michael Dennis Rohan telah menyalakan api sekaligus membakar sebahagian besar masjid Al-Aqsa. Namun, usaha untuk memusnahkan masjid Al-Aqsa ini berjaya diselamatkan apabila ummat Islam bertindak pantas untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Persoalannya, apa yang anda lakukan pada tarikh 21 Ogos setiap tahun?

Alhamdulillah.. pada 21 Ogos yang lalu, ana berkesempatan untuk menghadiri sebuah Charity Iftar for Palestine yang dianjurakan oleh Interpal (sebuah NGO yang ditubuhkan untuk menyampaikan isu berkaitan Palestin) bertempat di Muath Trust, Bordesley Centre, Birmingham. Sebuah majlis yang sederhana, tapi cukup untuk menyampaikan maksud dan memenuhi objektif penganjuran. Antara aktiviti yang turut diadakan semasa majlis tersebut adalah penyampaian ringkas mengenai situasi Palestin, auction for Palestine, persembahan nasyid dari kumpulan Fursan dan pelbagai aktiviti yang menarik!

Auction for Palestine - lebih dari £1000 berjaya dikutip dari sumbangan
para hadirin.

Dalam sesi penyampaian ringkas, ana sangat tertarik dengan sebuah hadith yang dikongsikan oleh Syeikh Shihab. Hadith tersebut berbunyi,

Abdullah Ibnu Umar r.a. pernah meriwayatkan bahawa,

Beliau bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, khabarkan kepada kami hokum menziarahi Baitul Maqdis,”. Rasulullah saw menjawab, “ziarahlah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mampu (untuk berziarah dan bersolat), maka kirimlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid)”.
[Hadith riwayat Bukhari]


Dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Maymunah binti Saad ra. bahawa,

Beliau bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasululluh saw, khabarkan kepada kami mengenai Baitul Maqdis,”. Baginda saw menjawab, “Ziarahlah untuk bersolat(di sana)”. Kemudian beliau bertanya lagi, “Jika sebahagian dari kami tidak dapat menziarahinya, apa yang kami patut lakukan?”. Baginda bersabda, “Jika kamu tidak mampu berziarah untuk bersolat, maka hantarkanlah minyak untuk digunakan bagi menyalakan lampu-lampu, akan dikira sebagai dia telah bersolat di dalamnya”.

[Hadith riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud dan Tabarani]

Connect : Don't let their call go unanswered

Melalui 2 hadith di atas, dapat kita fahami betapa dekatnya masjid Al-Aqsa dengan ummat Islam. Menyedari hal ini, apakah yang telah kita lakukan setakat ini dalam memenuhi hak kita terhadap masjid Al-Aqsa? Rasulullah saw bukan sahaja meminta kita untuk menziarahi Baitul Maqdis, akan tetapi menjadi keutamaan kita untuk menjaga kebajikannya. Jika difikirkan, kita sebenarnya berhutang dengan jumlah yang besar kepada rakyat Palestin yang bersungguh-sungguh menjaga dan mempertahankan tanah suci ummat Islam tersebut.


Baitul Maqdis yang juga terletak di dalam wilayah Palestin merupakan sebuah tempat yang istimewa di dalam hati ummat Islam. Tanah ini merekodkan pelbagai sejarah dalam peradaban Islam di muka bumi ini.

Apakah sudah cukup dengan apa yang kita lakukan selama ini?

p/s : Eh?? Dah bayar hutang?

Sunday, 10 April 2011

Sekitar Misi Kasih Palestin 2011

     Alhamdulillah, hampir sebulan masa berlalu meninggalkan tarikh bersejarah iaitu 18 Mac 2011. Tarikh ini merupakan tarikh berlangsungnya Misi Kasih Palestin yang merupakan aktiviti sulung IKRAMWM.
   
Segalanya berjalan lancar, kami berasa sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh warga West Midlands dari segenap lapisan masyarakat tidak kiralah mereka pra-siswazah, pasca siswazah mahupun adik-adik kecil. Selain warga WM, terdapat juga mereka yang datang dari Cardiff, London, Guilford dan beberapa lagi lokaliti lain diserata UK datang untuk mengimarahkan lagi majlis ini.
Bacaan doa oleh saudara Naufal Jailani

   Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Naufal Jailani, kemudian ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Mas'ul Ikram WM sesi 10/11 iaitu saudara Wan Anuar Fahmi Wan Mohamad.


Ucapan alu-aluan oleh Mas'ul Ikram WM 


   Forum yang bertajuk Palestin dan kita menjadi medium penyampaian informasi kepada para hadirin yang hadir. Pelbagai maklumat, fakta dan sejarah yang ditimba, rasanya memang tidak sia-sia bertandang ke majlis ini. Bagi menjayakan forum Palestin dan kita, seramai tiga orang ahli panel yang telah diundang. Ahli panel tersebut ialah  Ustaz Shamsul Maarif Hj Ismail merupakan YDP IKRAM Selangor, Ustaz Mohd Asri bin Abdullah  merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia- JAKIM sejak 1999 dan juga  Puan Dina Imam Supaat  merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia-USIM. 

Ahli panel.
Dari kiri: Puan Dina, Ustaz Asri dan Ustaz Shamsul.




Menjawab pelbagai persoalan mengenai isu mengenai Palestin bumi anbia.


Palestin dan kita, menyingkap pelbagai persoalan tentang sejarah Palestin, isu ini dimata dunia dan juga apa peranan kita dalam usaha memerangi krisis kemanusiaan ini. Forum yang berlangsung hampir satu jam setengah ini diserikan dengan persembahan anak-anak pasca siswazah di sekitar WM sendiri, aksi mereka yang comel dan juga suara mereka yang bersemangat membuatkan mereka yang hadir terpukau. 


Persembahan nyanyian.
Membuatkan mata yang mengantuk menjadi celik. Hebat.



Sebelum memulakan persembahan, wah bersemangat sungguh adik-adik Tunas Taqwa ni.


Turut menyanyi bersama adik-adik comel ini.
Lagu yang penuh dengan mesej perjuangan Palestin.

    
       Face painting, jaulan amal dan juga Carboot sale  yang diadakan merupakan antara salah satu medium untuk mereka yang hadir menginfakkan wang. Acara face- painting telah dikendalikan oleh Puan Ainol dan juga beberapa orang pembantu yang lain.  Lihatlah hasil face painting yang dihasilkan.


Wah, siapa mereka ni?



Riang sungguh dengan ikan dolphin.:)


    Diakhir majlis, salah seorang wakil Beirut telah diundang untuk menceritakan pengalaman berharga beliau. Oh, ya, pelancaran blog IKRAMWM juga turut menutup tirai majlis ini. Diharap MKP banyak memberi manfaat kepada mereka yang hadir dan menjadi pembakar semangat kita semua dalam terus istiqamah mempertahankan tanah suci umat Islam yang merupakan bumi anbia, bumi Isra'.


   Jutaan terima kasih dari kami, IKRAM WM pada semua yang menjayakan majlis ini secara langsung dan tidak langsung. Semoga majlis seumpama ini dapat diadakan lagi dengan jayanya. 

Monday, 21 March 2011

Video "Hope" Misi Kasih Palestin

Tunjukkan kebersamaan kita dengan pemuda-pemudi dan anak-anak Palestin!


Pengarah / Lakonlayar / Sinematografi: Ahmad Shahrul Kamal

 

Sunday, 20 March 2011

Pounds For Lives

Assalamualaikum wrm,

Alhamdulillah, Misi Kasih Palestin telah diadakan pada 18 Mac 2011. Seiring dengan majlis tersebut, kami 

Ikram Westmidlands telah melancarkan tabung Pounds For Lives bagi mengumpul dana untuk membantu 

saudara seaqidah kita di Bumi Al-Quds.




Donation for Palestine. 

account number: 11452274

 Sort Code: 40-31-20

Tuesday, 15 March 2011

Mawar Kita (Mengenangmu Al-Quds)


Judul lagu: (Mawar Kita) وردتنا
Nyanyian: Muhammad & Deema Bashar

وردتنا تبدو ذابلةً
Mawar kita, kelihatan sudah layu
وارى في عين
يها الحزن
Aku melihat kesedihan pada dua matanya
والبهجة عنها راحلةً
Kecantikannya semakin sirna
لا لا لا يا نور العين
Tidak…wahai cahaya mataku


ذابلة كزهور بلادي ..دامعة كعيون القدسِ
Layunya seperti bunga-bunga tanahairku, menangis seperti menangisnya al-Quds
والاحزان تلف فؤادي واقاوم في نفسي اليأسِ
Kesedihan itu meruntuhkan hatiku, aku menongkah rasa putus asa di jiwaku
يا اختي ربي يحميكي يا حلم الفجر المنتظر
Wahai adikku, Tuhan pasti melindungimu..wahai kelembutan fajar yang dinantikan
هذا نبض العزة فيكي يا جيلا يحترف النصر
Wahai pewaris, degupan kemegahan padamu pasti akan membawa kemenangan


لكن وجه القدس حزين
Tetapi wajah al-Quds itu kelihatan dukacita
  الام الميلاد القادم
Dengan keperitan untuk bangkit kembali
 وارى فجر القدس سجين (سليم)*
Dan aku melihat fajar al-Quds yang terpenjara (mendamaikan)* 
بعد الظلمة فجر باسم
Berlalunya kezaliman, fajar pasti akan tersenyum


وربيع بلادكي قد آنَ
Dan musim bunga tanah airmu telah tiba
نفدي بلادك بكل دمانا
Tebuslah tanah airmu dengan setiap titis darah
وغدا نعلنها اعلانا القدس الحرة عربية
Esok kita akan mengisytiharkan, al-Quds bebas
القدس الحرة عربية
 
Al-Quds pembebas tanah Arab
اسلامية ..اسلامية.. القدس عروس عربية 
Al-Quds adalah permata Arab dan Islam
القدس الحرة عربية
Al-Quds pembebas tanah Arab
 
*Untuk ulangan rangkap tersebut perkataan ‘sajin’ (terpenjara) ditukar kepada ‘salim’ (mendamaikan)
 
kredit untuk lirik & terjemahan: Umar Hakimin & Syahmi Yahya 
Sedikit terjemahan bebas dari penulis. Jika terdapat kesalahan mohon diperbetulkan
sumber gambar di sini
  

Monday, 14 March 2011

Nahdhah di Palestin (Episod 2)

baca Episod 1 di sini.

1982: Sabra dan Chatila berdarah!

Tidak dapat aku lupa raut wajah datukku semasa menceritakan kisahnya di kem pelarian Jalazone. Dialah bapa kepada ibuku yang kini telah syahid mempertahan agamanya di bumi bertuah Palestin. Aku juga mahu jadi pejuang sepertinya inshaAllah!


Mahu dengar lagi ceritaku? Bagiku lebih tragis, namun perjuangannya sama, dalangnya sama, mangsanya sama, cuma lokasinya sahaja yang berbeza. Pernah dengar Sabra dan Chatila? Ya, inilah kem pelarian Jaddi, datukku di sebelah ayah. Dia lahir di pelabuhan Haifa di Utara Palestin, namun pada tanggal 29 Februari 1948, dia terpaksa berhijrah ke bumi orang apabila tentera Zionis mengebom perkampungan Muslim di situ, meninggalkan hanya rumah-rumah penduduk haram Israel! Jaddi dipaksa oleh ibu dan ayahnya (moyangku) supaya meninggalkan mereka dan adik kecilnya yang baru sebulan dilahirkan. Jarak yang jauh ke bumi Lubnan tidak memungkinkan mereka ke sana. Hanya seorang adik lelakinya sempat dibawa bersamanya berjalan menuju Lubnan ketika itu, mengikuti gerombolan penduduk Haifa yang lain untuk mencari tempat perlindungan.

Kem ini juga kemudiannya menjadi tempat kelahiran ayahku. Tatkala peristiwa berdarah 1982, ayahku berumur 17 tahun, dan aku masih ingat ceritanya kepadaku saat dia terperangkap dalam tragedi sadis itu.

“Pada September 1982, tentera Israel telah berjaya menembusi Lubnan. Selepas berhasil menawan kawasan di Barat Beirut, mereka menutup semua laluan keluar-masuk kesemua kem pelarian rakyat Palestin di situ. Pada malamnya, perancangan kejam kebinatangan mereka bermula. Seangkatan binatang bertopengkan manusia dikerahkan masuk ke kem kami. Mereka adalah Phalange, proksi kuat tentera Israel di Lubnan yang direkrut daripada komuniti Kristian Maronite. Mereka telah dibayar, dilatih dan dibekalkan senjata oleh kerajaan haram Israel!

“Kem kami pada waktu itu hanyalah dihuni oleh mereka yang tidak bersenjata, majoritinya adalah kanak-kanak dan wanita. Tetapi apabila Phalange itu masuk menceroboh kem kami, semua yang bergerak akan menjadi sasaran tembakan atau pembunuhan yang amat kejam, tidak kira bersenjata atau tidak, kanak-kanakmahupun wanita. Lebih teruk lagi, mereka menyiksa ‘mangsa’ sebelum dibunuh! Ayah masih ingat, ada di kalangan kawan sebaya ayah yang dibelasah sepuasnya, diikat dengan wayar elektrik dan dikorek mata mereka, sementara wanita dan kanak-kanak perempuan diperkosa di khalayak, dan anak-anak kecil diletupkan hidup-hidup!”

Ya Allah. Tak sanggup aku bayangkan suasana ketika itu. Mendengar kisah ngeri daripada ayahku itu sudah cukup membuatkanku tidak henti menitiskan air mata. Aku harus kuat!

Lebih teruk lagi kata ayahku, tentera Israel yang menyaksikan dari luar kem membantu operasi ‘pemburuan’ pada malam itu dengan menembak ke udara mercun cahaya untuk menerangi kem Sabra dan Chatila. Pembunuhan terus berlaku sepanjang malam itu. Matlamatnya hanyalah untuk membunuh sebanyak mungkin rakyat Palestin yang ada di dalam kem itu. Sejurus selepas itu, jentolak besar dibawa masuk ke kawasan kem bagi meruntuh dan ‘melenyapkan’ rumah yang di dalamnya dilonggokkan tubuh tidak bersalah anak-anak Palestin. Tujuannya tidak lain untuk menghapus bukti kekejaman mereka! Namun beberapa ketika selepas malam berdarah itu, sebuah kubur besar telah ditemui di kem itu, yang menempatkan 1000 batang tubuh tidak bernyawa yang dibunuh tanpa belas! Namun lagi, apa yang dibuat dunia? Sudah didakwakah si pembunuh itu? Sudah terbelakah nasib mereka yang tinggal?!

“Ayah telah ditembak tiga kali. Oleh sebab dihempap beberapa mayat yang mati ditembak, ayah pengsan. Mungkin binatang-binatang itu sangka bahawa ayah sudah mati. Tetapi hakikatnya, lebih 2000 orang telah syahid pada malam itu, bersama dengan seluruh ahli keluarga ayah, termasuk datukmu (Jaddi).”
Moga roh Jaddi tenang bersama syuhada’ yang lain…
 
1987: Intifadha Pertama!

Apabila Jaddi meninggalkan Haifa bersama adik lelakinya, kedua-dua orang tuanya (moyangku) telah berangkat ke Gaza. Mak cikku yang kini di sana masih ingat pengalamannya ketika kebangkitan pertama rakyat Palestin pada 1987. Itulah intifadha pertama kami anak bumi bertuah Palestin!

“Disebabkan pencerobohan di Tebing Barat dan Gaza pada 1967, kami anak Palestin makin tertekan. Saban hari ada sahaja pencabulan hak kemanusiaan berlaku. Bukan sahaja tanah dirampas dan ditukar milik, malah lebih teruk lagi, penindasan dan kekejaman terus berlaku dan semakin dahsyat!

“Kami terus dimalukan dan hak kami terus dicabul! Pembunuhan beramai-ramai, penahanan secara pukal anak-anak muda kami, dan juga perobohan rumah-rumah kami, semuanya terus berlaku di depan mata kami tanpa kamimampu bebrbuat apa-apa!

“Mak cik masih ingat, pada 8 Disember 1987, sebuah trak milik tentera Israel telah merempuh sekumpulan pekerja Palestin dari kem Jabalya di Gaza, lalu membunuh empat orang, sementara tujuh lagi cedera. Memang jelas bahawa insiden itu disengajakan! Lantas keesokan harinya, rusuhan berlaku di kem pelarian Jabalya. Akibatnya, tiga lagi anak muda ditembak syahid!

Menurut mak cikku, selepas peristiwa inilah berlakunya kebangkitan menyeluruh rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalam, menentang pemerintahan kebinatangan Israel. Kebangkitan ini diberi jolokan “peperangan batu” kerana pada masa itu hanya batulah yang menjadi senjata para mujahid dalam menghadapi larasan senjata dan tangki-tangki kebal tentera Zionis.


Seakan-akan mereka yang benar, tentera Zionis itu pula kononnya bangkit ‘mempertahankan diri’. Jentikan dibalas penumbuk! Sekatan jalan semakin diperbanyak, keluar-masuk duit daripada tanah dudukan (Occupied Territorist) mereka disekat, sekolah dan university dipaksa tutup, penahanan beramai-ramai dibuat dan tembakan rambang dilakukan tanpa belas kasihan dan simpati! Hasilnya, lebih 1000 lagi anak Palestin syahid dibunuh!

Apalah nasib kami ini. Dengarnya ada persetujuan damai antara pemimpin kami dan mereka, namun keadaan tetap sama, malah semakin memarah!

“Hoi binatang, kami manusia!”

Bersambung…

Bagaimana terjadinya Intifadha Kedua pada tahun 2000?

Apakah yang berlaku sewaktu pembinaan tembok penjara di Gaza pada 2008?

Sunday, 13 March 2011

Al-Aqsa, Sepanjang Pemenjaraanmu

Detik 1897 merupakan detik bersejarah yang berharga buat rejim Zionis. Namun bagi penduduk Palestin, tercatat di sayap sejarah sebuah permulaan untuk kisah ratusan tahun bersalut duka, suram, tangisan dan nista. Theodor Herzl, bapa gerakan Zionisme moden dengan gah mengatakan “Sekiranya aku dapat mengawal Jerusalem (Baitul Maqdis), akanku robohkan semua tempat suci kecuali tempat-tempat suci Yahudi.”
 

Maka banyaklah pendukung Zionisme menyahut seruan ideologi serta aspirasi Theodor Herzl itu. Sebelum kelahiran ‘negara’ Israel lagi (pada 1948), tangan-tangan kezaliman sudah berani meragut kehormatan al-Aqsa.


Tanggal 1929, pendatang asing Yahudi cuba mempelopori bahagian Barat kawasan al-Aqsa, dan penduduk Palestin lantas bangun menentang. Angin demonstrasi dengan laju meniup semangat ke kawasan berkenaan, lamanya bertahan selama dua minggu. Setahun kemudian, British menubuhkan badan bebas bagi menyiasat isu berkenaan. Kesimpulan dari sisasatan itu menyebelahi pihak Palestin. Badan bebas tersebut juga mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang objek penyembahan yang diletakkan berhampiran masjid al-Aqsa oleh Yahudi tidak boleh dijadikan bukti pemilikan Yahudi ke atas tempat suci itu.

1967: Apabila Israel memulakan pendudukannya di Jerusalem, Israel bukan sahaja mengawal sebahagian dinding al-Aqsa, tetapi berjaya menerobos pemilikan ke atas seluruh kawasannya. Demi memanifestasikan keunggulan Israel, seorang rabbi bernama Shlomo Goren memasuki kawasan masjid dan menyalakan api permusuhan antara pengawal keselamatan Palestin dan Israel. Hal ini disusuli kemudian dengan amaran daripada ketua rabbi Israel pada waktu itu, Isser Yehuda Unterman dan Yitzak Nissim terhadap Shlomo Goren atau mana-mana orang Yahudi sekalipun. “Sejak berabad lama kami memberikan amaran supaya tidak memasuki mana-mana kawasan Temple Mount (al-Aqsa).” [Pada masa itu, Yahudi Orthodoks masih berpegang dengan pengharaman orang Yahudi daripada memasuki al-Aqsa.]

1969: Yahudi menyerang Al-Aqsa. Seluruh bahagian sayap kanan terbakar termasuklah Mimbar Nuradeen yang membawa bersama sejarah silam yang bermakna buat umat Islam, yakni saat di mana Salahuddin al-Ayubi mendirikan serta menegakkan mimbar itu di sana. Individu yang terlibat dibiarkan terlepas dari sebarang perbicaraan setelah dikenakan sekadar tindakan psikiatri kaunseling.

1970: Ahli-ahli ‘Temple Mount Faithful’ memecah masuk al-Aqsa dengan tujuan memusnahkan bangunan di dalamnya. Walaupun dihentikan oleh saudara-saudara Muslim yang berada di masjid ketika itu, namun hasilnya tetap juga dipatahkan oleh tentera Israel yang datang kemudian, membawa senjata lalu melepaskan tembakan.

1976: Mahkamah-mahkamah Israel meluluskan fasal yang mengizinkan Yahudi beribadah di dalam masjidil Aqsa. Setelah mendapat tentangan hebat dari pihak muslimun Palestin, undang-undang ditarik balik.

1979: Ekstremis Yahudi menyekat salah satu pintu masuk ke a-Aqsa sebelum bermulanya solat Jumaat. Setiap muslim yang cuba masuk disambut dengan hunusan senjata.

1980-an: Bermula dari tahun 80-an, pengaiban serta usaha-usaha mensabotaj digalaksuburkan. Bulan Ogos 1981, sebuah helicopter Israel berlegar-legar di ruang udara Masjidil Aqsa bagi mengelakkan orang-orang Palestin mendengar azan dari dalam masjid.

1981: Azan dilarang dilaungkan dari menara mengadap dinding Barat al-Aqsa. Terowong-terowong perhubungan yang digali secara intensif di bawah halaman al-Aqsa dijumpai. Semuanya berpotensi menggugat kestabilan dasar bawahan bangunan masjid tersebut.

1982: Sebuah bungkusan berisi bom palsu yang ditulis di atasnya segala jenis ancaman yang ditandatangani oleh ekstremis Yahudi ditemui di salah sebuah pintu pagar masjid.

Seorang bekas pegawai tentera Israel menembak mati dua orang rakyat Palestin di perkarangan masjidil Aqsa serta meninggalkan bekas-bekas ledakan peluru ke dinding dalam dan dinding luar Kubah Batu (Dome of the Rock).

Seorang rakyat Israel ditahan akibat cuba meledakkan bom di Al-Aqsa. Kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang tindakan diambil.

Beberapa orang Yahudi cuba memasuki al-Aqsa bersama beberapa helai risalah yang menghasut Yahudi untuk mengambil alih masjid.

1983: Tabung Temple Mount ditubuhkan di Israel, Eropah dan Amerika demi mengumpul wang untuk membina semula Jewish Temple di Masjidil Aqsa. Bahan letupan ditemui di pintu masuk ke al-Aqsa dan empat orang askar bersenjata Israel cuba memasuki kawasan masjid. Enam bulan kemudian, mereka dibicarakan di mahkamah Israel tetapi dibebaskan kemudiannya.

1984: Segolongan Yahudi yang fanatik cuba memanjat dinding-dinding al-Aqsa dengan tangga. Mereka beroperasi di tengah malam, membawa bersama beberapa senjata berpeluru.

Askar-askar bersenjata Israel mula berkawal di luar pagar al-Aqsa. Kelakuan dan kehadiran mereka mencemar kesucian masjid.

1988: Tentera Israel menyerbu al-Aqsa, menembak gas pemedih mata ke arah orang-orang muslim yang beribadat di dalamnya. 

Lebih banyak terowong bawah tanah dijumpai dan ini mencetuskan lebih banyak kemarahan dan protes oleh saudara-saudara di Palestin.

1990: Tanggal 8 Oktober. Pasukan bersenjata Israel berhadapan dengan rakyat Palestin yang hanya bersenjatakan batu. Tembakan secara rawak dibuat dan kira-kira 22 orang rakyat Palestin terbunuh manakala ratusan lagi cedera parah.

1996: Israel membuka semula terowong bawah tanah di bawah al-Aqsa, menyebabkan konfrontasi dan lebih 70 kematian rakyat Palestin.

Terowong-terowong menyebabkan retakan yang berbahaya pada al-Aqsa.

Ahli-ahli arkeologi percaya bahawa terowong-terowong itu telah melemahkan struktur bangunan di dalam masjid, hingga ke tahap hanya satu gegaran kecil boleh meruntuhkan seluruh masjid.

1997: Rejim Zionis cuba meletakkan batu seberat 4.5 tan di presint al-Aqsa sebagai lambang perletakan asas kuil mereka. Tetapi mereka berjaya dihalang oleh orang-orang Muslim di sana.

September 2000


 
Ariel Sharon menyerbu ke dalam al-Aqsa dengan dikelilingi oleh kawalan keselamatan. Orang Palestin beramai-ramai bergegas mengelilingi tempat kejadian untuk cuba menghalaunya keluar dari tempat suci umat Islam tersebut. Tentera lantas membunuh dan menyebabkan kecederaan parah ke atas semua yang terlibat dalam mempertahankan masjid itu. Ini menjurus kepada kejadian Intifada al-Aqsa.

Sejak 2000, serangan ke atas al-Aqsa dan orang Palestin bertambah meruncing. Penduduk Palestin berumur bawah 45 tahun dihalang bersolat di masjidil Aqsa.

2004: Pasukan tentera Israel meneruskan kezaliman serta menindas umat Islam Palestin terus menerus dengan melontar gas pemedih mata, bom bingit sertabom tangan (grenade) bila mereka hendak menunaikan solat Jumaat. Al-Aqsa seolah-olah menjadi hak Israel.

2008: Penggalian terowong-terowong bawah tanah masih disambung. Tanah runtuh pernah berlaku berdekatan dinding bahagian barat masjid. Bukaan sepanjang 2 meter dan selebar 1.5 meter dikesan akibat tanah runtuh itu. 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB telah banyak kali meluluskan resolusi mengutuk dan mengecam Israel atas penaklukan Baitul Maqdis Timur serta pengawalan tentera di Tebing Barat. Israel mengendahkan PBB.

Ancaman terhadap al-Aqsa berterusan di saat anda membaca artikel ini dan akan berterusan pada masa hadapan. Bilakah penghujungnya? Apa sumbangan kita sebagai umat Islam dan sebagai manusia?

 

Thursday, 10 March 2011

[reviu buku] Israel Is Not Real!

Judul: Israel Is Not Real: Negara Palsu di Tanah Rampasan
Penulis: Anwar M. Aris
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 152
Harga: RM18.00

Tatkala bom dan ledakan fosforus putih menyelubungi Gaza seperti cerawat-cerawat dari langit pada hujung 2008, media dari pelbagai negara terus mewara-warakan tragedi ini sebagai 'konflik Israel-Palestin' yang tak berpenghujung. "Konflik", bukankah itu satu propaganda dunia!? Tidak sepatutnya wujud perkataan itu dalam kamus umat Palestin. Dan kita terus-terusan juga menggunakan istilah itu apabila menceritakan krisis yang melanda umat Gaza. Sedar atau tidak, kata-kata itu melambangkan yang kita telahpun mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Sedangkan, Israel hanyalah perampas tanah orang. Tanah suci umat Islam umumnya; umat Islam Palestin khususnya. Penulis mencanangkan idea ini untuk mengingatkan kita letak duduk perkara sebenar, dan peranan media kini dalam memutarbelit isu. Mungkin nampak remeh, tetapi sedarlah ini satu penghinaan!

Buku ini menelusuri perjalanan umat Yahudi dalam membentuk sebuah negara sendiri. Bermula dengan idea yang dikemukakan oleh seorang lelaki Yahudi bernama Theodore Herzl, idea pembentukan ini diteruskan tahun demi tahun walaupun dia telah mati. Setelah beberapa lama berusaha, akhirnya atas bantuan England, mereka berjaya masuk ke bumi Palestin dan mengganyang negara tersebut. Orang-orang Islam di Palestin terpaksa menjadi pelarian. Dan dari situ bermulalah projek 'pemenjaraan' orang Islam di tanah mereka sendiri. Penjara terbesar di dunia!

Menggamit semula tragedi bersejarah itu, sejujurnya tindakan dan usaha-usaha negara-negara jiran seperti Mesir, Jordan, Syria dan lain-lain untuk menentang pembentukan Israel ketika itu wajar sekali dipuji. Mereka sedaya upaya menentang Israel dengan segala kelengkapan perang yang ada. Perang 6 hari, Perang Abu-Ageila, dan pelbagai lagi perang, kecil ataupun besar berlarutan demi mempertahankan negara umat Islam. Semangat yang kuat dan mendalam akhirnya membawa kepada pembentukan Hizbullah yang membawa gelombang baru penentangan Israel.

Tetapi, sekarang fenomenanya adalah sangat berlainan. Pengkhianatan demi pengkhianatan berlaku. Awal 2009 melihat Mesir tidak mahu membuka sempadan mereka demi menyelamatkan warga Palestin yang tercedera. Lebih menyedihkan, Presiden Mesir Hosni Mobarak sendiri mahukan Israel meledak Gaza. Januari tahun yang sama, Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz As-Syaikh mengharamkan pengecaman ke atas Israel. Orang Arab sendiri, umat Islam khususnya, langsung tidak memberi sokongan kepada Palestin malah lebih teruk lagi menyokong Israel?

Saya masih ingat lagi, isi sebuah buku yang saya baca lama dulu, tajuknya Gerakan Freemasonry: Musuh dalam Menghancurkan Islam oleh Hj. Nik Azran Muhamed dan Hj. Mohd Mahadi Isa. Ketika pemimpin Hamas Syeikh Ahmad Yassin masih hidup, dia melontarkan teguran sinis dalam sebuah amanatnya-- teguran khusus terhadap orang-orang Arab yang hanya berdiam diri, dan bersikap endah tak endah akan isu Palestin ini. Beliau berkata,

"...sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini). Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali mereka menggerakkan (kerusi roda)ku. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah? Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kaliandiam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa??" (hal. 19-26, Gerakan Freemasonry)

Harus diingat, biarpun 'cili' ini khusus untuk 'dimakan' bangsa Arab, kita sebagai umat Islam wajar 'terasa pedasnya' yang tanah suci ketiga kita dirampas sewenang-wenangnya. 


Buku ini juga antara lain memuatkan prakata oleh Dr. Syamsuddin Arif yang menceritakan pengalamannya sedari dalam kapal terbang dari Frankfurt ke Tel Aviv sehinggalah jejak-jejaknya di bandar tersebut. Buku ini terbahagi kepada 3 episod, episod pertama mengenai tangga-tangga menuju penubuhan Israel melalui usaha Founding Father Theodore Herzl, episod 2 ketika berlangsungnya pelbagai perang sekitar Tanah Arab setelah Israel menjejakkan kakinya di Palestin, dan episod akhir mengandungi isu-isu semasa berkenaan reaksi masyarakat dunia terhadap tragedi yang melanda Palestin.

Terkenang pula lawatan saya ke Muzium Negara satu masa dulu, yang mengadakan pameran khas kemerdekaan mengenai Rentetan Darurat di Tanah Melayu bermula 1948. Ketika itu masayarakat Malaya dibunuh, tempat tinggal dihancurkan, dan bas dan keretapi dibakar dan dimusnah. Dan saya teringat...

...seperti itu juga, bermula tahun yang sama kita diisytihar darurat, Yahudi yang jahat itu membina negara haramnya di Palestin!

Tunjukkan solidariti kita, laungkan bahawa Israel IsNOTReal!

Palestin: Apartheid di Era Baru (Bhg. Akhir)

Baca Bahagian 1 di sini.

Perampasan Sumber Air: Pendatang Haram yang Biadab


Penempatan haram Israel merangkumi 40 peratus kawasan wilayah jajahan Israel termasuklah kawasan tanah subur dan sumber perairan. Sumber air dari tanah yang selayaknya dimiliki rakyat Palestin itu telah dialihkan untuk kegunaan penduduk penempatan haram Israel sahaja. Purata air yang diperolehi oleh seorang rakyat Palestin di Tebing Barat hanyalah 83 meter padu air setahun, berbanding penduduk penempatan haram Israel yang mendapat purata air sebanyak 1,450 meter padu air setahun. Malah ada penempatan haram Israel yang mengambil kesempatan menjual kembali air yang dicuri ke kampung-kampung rakyat Palestin! Maka tidak hairanlah apabila Avraham Katz-Oz yang merupakan perunding Israel untuk isu air memberitahu “Tidak ada sebab mengapa rakyat Palestin harus menuntut bahawa hanya kerana mereka duduk di atas tanah itu, mereka berhak ke atas sumber air di situ.” Kompeni besar Israel seperti Carmel Agrexco mengaut keuntungan besar daripada hasil tanaman penduduk penempatan haram Israel yang memerlukan pengairan yang intensif, justeru sekaligus mengeringkan lagi sumber air rakyat Palestin.

Diskriminasi rakyat Palestin di Israel: Dipijak di Tanah Sendiri


20% populasi negara haram Israel adalah penduduk asal Palestin yang masih bertahan sejak 1948. Meskipun diberikan status warganegara Israel, mereka tidak menikmati hak yang sama seperti rakyat Israel berbangsa Yahudi. Undang-undang Israel membolehkan pertukaran hak milik pelarian Palestin kepada kerajaan Israel dan Jewish National Fund (JNF), sehinggakan 90% tanah milik rakyat Palestin telah berkurang kepada 4% pada masa kini. Pertambahan populasi rakyat Palestin di Israel dianggap suatu ancaman, dan ‘pemindahan’ atau ‘pembersihan etnik’ dibincangkan secara meluas di media, universiti-universiti dan di Knesset (dewan perwakilan Israel). Diskriminasi di bidang pekerjaan menyebabkan rakyat Palestin merangkumi hanya 3.7% jawatan kerajaan dan 1% jawatan di fakulti university, 42% hidup di bawah garisan kemiskinan. Sebanyak 100 perkampungan Palestin tidak diiktiraf oleh kerajaan Israel walaupun membayar cukai, menyebabkan ketiadaan servis dan infrastruktur yang mencukupi seperti perkhidmatan pendidikan untuk kanak-kanak Palestin.

Antara Afrika Selatan dan Palestin: Wujudkah lagi Harapan?

[kredit gambar]                                                                

Sistem apartheid di Afrika Selatan oleh bangsa kulit putih dan di tanah Palestin oleh rejim Zionis mempunyai banyak persamaan; kedua-duanya dibina di atas sebuah negara yang ‘asing’, menggunakan hujah-hujah keagamaan sebagai alasan pencerobohan negara dan pemisahan bangsa, melakukan pencabulan berterusan ke atas undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB, menggunakan kuasa ketenteraan, serta mengamalkan sikap acuh dan sombong terhadap musuh politik dengan melabelkan mereka sebagai ‘pengganas’. Bagaimanapun, rejim apartheid di Afrika Selatan hanya bertujuan mengawal populasi kulit hitam, sedangkan rejim apartheid Zionis di Palestin bertujuan untuk menghapuskan populasi Palestin secara keseluruhannya.

Amerika Syarikat dan United Kingdom di bawah pimpinan Reagan dan Thatcher menyokong kerajaan apartheid di Afrika Selatan. Pada 1986, Thatcher mengisytiharkan parti ANC di bawah pimpinan Nelson Mandela sebagai parti pengganas, dan menidakkan peluang ANC untuk membina kerajaan di Afrika Selatan. Meskipun dengan sokongan dua kuasa besar dunia, sistem apartheid akhirnya berjaya ditumbangkan dan ANC diiktiraf sebagai parti kerajaan pada tahun 1990-an. Kejayaan ini tidak akan terlaksana tanpa campur tangan komuniti antarabangsa yang berusaha bersungguh-sungguh menentang diskriminasi dan penindasan di Afrika Selatan melalui pelbagai cara seperti sekatan ekonomi, pemboikotan, tunjuk perasaan dan sebagainya.


Justeru adakah harapan untuk kita menyaksikan tumbangnya rejim Zionis dan sistem apartheidnya di bumi Palestin? Seharusnya kita percaya bahawa Allah telah menjanjikan kemenangan kepada rakyat Palestin. Sepertimana tumbangnya apartheid di Afrika Selatan kerana kebersatuan masyarakat seluruh dunia, sebegitulah perlunya umat Islam seluruh dunia untuk bersatu menumbangkan rejim Zionis, kerana kitalah penegak kebenaran dan penentang kebatilan. 

Allahu Akbar!

Diringkaskan dan diterjemahkan daripada risalah terbitan Palestine Solidarity Campaign berjudul ‘Palestine: The New Apartheid’ dengan bantuan beberapa rujukan lain.

Tuesday, 8 March 2011

Boleh Beri Saya Air Minuman Itu?

“Erm, pakcik, boleh beri saya 2 botol air Ribena?” kata Aiman, seorang budak berumur 7 tahun kepada Pak Sarip, seorang tauke kedai runcit.

"Jangankan 2 botol, 10 botol pon boleh nak." jawab Pak Sarip tersenyum. Aiman membalas senyuman itu dengan penuh keriangan..=)

********


Itulah situasi yang seringkali kita lalui di Malaysia mahupun di UK, Alhamdulillah amat mudah untuk kita mendapatkan keperluan harian seperti air dan sebagainya. Namun, sedarkah kita, jauh beribu-ribu kilometer disana, terdapat golongan-golongan manusia yang amat susah untuk mendapatkan keperluan harian mereka. Kita lihat saudara-saudara kita di Palestin, jangankan air Ribena, hendak mendapatkan bekalan air kosong pun amat payah..

Sudah bertahun lamanya, Israel telah bertungkus lumus pagi dan petang, siang dan malam, berusaha untuk mengawal (baca: menyekat) punca-punca bekalan air di kawasan penduduk Palestin dan menghalang penduduk Palestin dari menggunakan air dari punca-punca tersebut.

Dalam mana ketika penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza menderita mengalami krisis sekatan bekalan air bersih yang amat-amat kritikal, penduduk haram Israel di Tebing Barat pula sedang asyik bersuka-ria bermandi-manda di kolam-kolam renang mewah tanpa perasaan segan silu.

Analoginya mudah, cuba anda bayangkan anda sedang berada direstoran mamak di Malaysia (UK if you like). Anda datang ke situ, duduk dan menempah Nasi Ayam Rose beserta  Tembikai Laici Ais..Sudah tentu anda berharap agar makanan anda segera sampai kerana sudah hampir 2 hari anda tidak menjamah nasi dek kerana sibuk dengan assignment dan sebagainya. 

Namun, harapan hanya tinggal harapan..Setelah 2 jam menunggu, makanan tidak pun sampai. Usahkan makanan, kelibat sudu dan garfu pun tidak kelihatan.Lebih meng"gembira"kan lagi, anda dapat lihat orang yang disebelah anda yang baru saja duduk tak sampai 10 minit sudah pun mula menjamah Nasi Ayam Rose kegemaran anda.

"Wah, ini sudah lebih..Saya lebih “berhak” untuk dapatkan makanan tu sebab saya yang datang dulu!" getus hati kecil kita.

Nah..Apa perasaan anda ketika itu? Tepuk dada tanyalah hati..=)

Yaa para pembaca sekalian.. Begitulah perasaan penduduk-penduduk dibumi Palestina yang ditindas dibumi mereka sendiri..Ya! Di BUMI SENDIRI!..

Persoalannya sekarang,WHO’s IN CONTROL? WHO? Palestinian or Israeli??

Setelah wilayah Palestin diduduki pada tahun 1967, Israel telah menggunakan perintah tentera untuk mengisytiharkan semua sumber air di kawasan itu milik umum ..Tanah sepanjang sungai Jordan juga dinyatakan sebagai “Zon Tentera Tertutup” dan semua petani Palestin dikeluarkan dan dilarang bertani di daerah tersebut ..

Israel juga telah memperkenalkan sebuah sistem yang menghalang warga Palestin dari memanfaatkan sepenuhnya sumber air mereka untuk kegunaan dan keperluan asas  mereka. Syarikat air Israel ‘Merkorot’ menguasai sebahagian besar bekalan air Palestin .. Syarikat ini membekalkan penduduk Palestin dengan air yang awalnya dicuri dari sumber-sumber  air dari tanah Palestin, dan kemudiannya  mereka mengenakan bayaran untuk air itu.Dengan cara ini, warga Palestin sebenarnya membayar Israel untuk menggunakan sumber air yang sebenarnya merupakan hak mereka!

Merkorot bertanggung jawab untuk membekalkan kira-kira setengah keperluan bekalan air penduduk Palestin pada musim panas dan syarikat ini bertindak mengurangkan jumlah air yang disediakan hingga 25% untuk mengimbangi permintaan yang lebih tinggi di Israel dan penempatan di kawasan-kawasan tanah rampasan.

Penduduk Palestin juga dilarang oleh Israel untuk menggali perigi sewenang-wenangnya dan kedalaman perigi yang dibenarkan untuk digali telah diberi had, dan had ini biasanya satu perempat kedalaman perigi Israel..
Hah,ini baru satu krisis,yakni krisis air..Belum lagi kita lihat krisis-krisis lain yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Palestin.


Mungkin bagi kita,krisis ini merupakan krisis yang klise atau biasa-biasa saja..Dan mungkin juga kita terlepas pandang dek kesibukan kita melayari kehidupan seharian kita dan kita tidak merasa apakah pentingnya isu palestin ni..Jika sebelum ini kita merasakan begitu dan sekarang ini kita mulai sedar,ayuh,jangan biarkan kesedaran yang mula berputik itu layu begitu sahaja..Sama-sama kita mula membajai tunas-tunas kefahaman kita berkenaan isu Palestin kerana Isu Palestin bukan hanya isu penduduk Palestin TETAPI ia adalah isu saudara kita dan isu UMAT ISLAM secara keseluruhannya.

Sama-sama kita mendoakan saudara-saudara kita disana agar mereka terus sabar dan teguh dalam perjuangan mereka mempertahankan Bumi Palestina seterusnya membantu mereka dengan segala kemampuan yang kita ada kerana Allah berfirman didalam kitabNya;

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (As-Saff:10-11)

Setiap penny yang kita sumbangkan amatlah berharga demi membayar pengorbanan yang telah mereka lakukan..Semoga Allah mengganjari segala sumbangan dan usaha kita dengan ganjaran yang sebaik-baiknya yakni syurga InsyaAllah.

Wallahualam.

P/s: Jom daftar MKP!(^_^) Klik sini

Sumber gambar di sini, sini dan sini.