Showing posts with label tazkiyatun nafs. Show all posts
Showing posts with label tazkiyatun nafs. Show all posts

Friday, 29 July 2011

Penyakit apakah ini?

“Bukan urusan saya”

Inilah jawapan yang diberikan oleh seorang ulama besar kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah yang bernama Syeikh Muhammad Sa’ dudin bin Hasan Khan al-Tabrizi (wafat 1008H) apabila ditanya oleh khalifah Usmaniah yang bernama Sultan Ahmad I. Kehebatan beliau membuatkan beliau diberi kepercayaan untuk memangku jawatan sebagai  Mufti Negara yang ke-22 dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Soalan khalifah tersebut berbunyi,

“ Apa kekurangan yang terdapat di Negara ini (sehingga kita mengalami kemunduran dan kekalahan daripada musuh) padahal Allah menjanjikan kememangan bagi umat Islam?”

Jawapan syeikh yang bijaksana ini amat ringkas iaitu,

“Bukan urusan saya.”

Sultan Ahmad amat berang dengan jawapan ini, pelik! Syeikh ini adalah seorang yang hebat, mampu menjawab ratusan permasalahan hukum dan fatwa melalui hafalannya tanpa merujuk kitab terlebih dahulu. Tetapi mengapa apabila ditanya soalan yang begitu serius ini jawapan beliau bagaikan acuh tidak acuh.
Lalu baginda memerintahkan syeikh ini menghadap segera, lalu memarahinya. Baginda bertanya,

“ Mengapa tuan mengabaikan pertanyaanku? Beraninya tuan menjawab ‘bukan urusan saya’ untuk satu masalah yang sangat penting ini?”

Akhirnya, dengan tenang syeikh ini menjelaskan ,

“ Saya tidak mengabaikan pertanyaan tuanku. Sebaliknya saya menjawab pertanyaan tersebut dengan teliti dengan kalimat ‘Bukan urusan saya’. kalimat inilah penyebab utama kemunduran umat Islam. Jika setiap individu, daripada pemerintah hinggalah rakyat bersikap mementingkan diri sendiri, dan berkata ‘bukan urusan saya’ apabila berhadapan dengan masalah umat, maka kemunduran dan kekalahan demi kekalahan akan terus menerus menimpa umat Islam.”

Akhirnya sultan Ahmad pun malu dan meminta maaf pada syeikh tersebut.

Melalui kisah benar diatas, apakah benar jawapan syeikh tersebut? Jika benar, fenomena ‘bukan urusan saya’ ini juga dipanggil sebagai egoism. Inilah hasil daripada ekspresi ketidakpedulian kita pada masalah yang melanda masyarakat.  Melalui fenomena inilah munculnya bibit-bibit perpecahan , bukan setakat perpecahan masyarakat, bangsa, namun perpecahan umat Islam itu sendiri yang seperti mana kita tahu. Umat Islam  adalah saudara seaqidah kita, saudara yang diikat melalui kalimah mengEsakan Allah.

‘Bukan urusan saya’. Ungkapan ini harus dibuang jauh-jauh. Saudara seaqidah kita sangat-sangat memerlukan kita, Palestin, Somalia, Bosnia dan banyak lagi tempat serata dunia hatta tanah air kita sendiri. Ada saudara seaqidah kita yang sedang bergadai nyawa, ada yang ditimpa bencana alam. Ada yang diuji dengan kesusahan, ada yang diuji dengan kemewahan. 

 Melalui  kesempatan ini juga, kami warga Ikram West Midlands ingin mengucapkan:

Selamat tinggal Syaaban, Selamat datang Ramadhan. Semoga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya. Masanya hanya 30 hari namun biarlah kesannya berpanjangan. Amen.

Salam Ramadhan Kareem
Daripada keluarga Ikram West Midlands.


Rujukan : Umar M Noor,Solusi isu 6, hal. 27. Artikel “bukan urusan saya.”


Thursday, 21 April 2011

Sumber senyuman dikala keletihan

Semua mesti sibuk
dengan
Belajar
Belajar = Akademik
Belajar  = Erti hidup
Belajar = Kerana Allah
Kehidupan ini juga satu subjek, subjek teras dimana peperiksaanya adalah setiap masa
Keputusannya di akhirat sana
Cemerlang = Mendapat keredhaanNya.

Jadi, jom luangkan masa seketika baca dan lihat gambar ni.

Thursday, 14 April 2011

[Cerpen] Seribu Erti Hazumi. [Bahagian 2]

Bahagian 1
Membantu mereka yang memerlukan bantuan,
[kredit gambar]

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.”
(Muslim no. 2699)
Kay bersuara lembut.


“Oh dear, I want to go to Nottingham.” 

Nada suaranya lembut juga.  Kelihatannya dia seakan sudah pulih dari terkejut dan sedih. Kay angguk kepala.  Dia mencari-cari nama Nottingham di skrin kecil yang terlekat di dinding. Mujur skrin yang memaparkan informasi platform dan destinasi yang ingin dituju diletakkan juga di sekitar platform. Tak perlulah mereka naik semula ke stesen dan bergantung semata-mata pada skrin paparan di atas.

“Yup..There it is. The next train will depart from this platform to Nottingham in about 10 minutes. Hooray! You will be fine then since you are here and the train are not here yet..” 

Kay bersuara gembira sambil mengunjukkan jari telunjuknya pada skrin.  Perempuan tua itu memandang ke arah yang sama. Smile! Terukir senyuman di wajah perempuan tua itu.  Ada kelegaan dan kesyukuran yang terpancar di wajahnya.  Untung juga dia adalah warga emas.  Polisi negara penjajah ini memihak pada mereka di mana rakyat berusia 60 tahun ke atas mendapat pelepasan percuma untuk menaiki mana-mana tren ke mana-mana destinasi.

“Oh my... I’m glad you are here. Thank you very much.” 

Tanpa diduga,  perempuan tua itu meraih tangan Kay dan mengenggamnya penuh mesra.  Kay tergamam.  Tak disangka,  ucapan itu bakal diterimanya.

“Here. Take this.” 

Sekuntum bunga ros dihulur. Bertambah rasa terkejut di hati Kay.  Namun, pemberian itu diterima juga.  Senyum segaris diukir bahagia.

“Value it with your hearts.  You are a good muslim boy.  May you remains a good muslim just like a flower.  Only dies when the god calls for it.”

 Bulat mata Kay mendengar bait-bait perkataan yang keluar dari mulut warga emas itu. Bagai tidak percaya. Pesanan seumpama itu belum pernah didengar lagi waima dari kalangan ikhwah akhawat sendiri pun.  Semoga islammu kekal sehingga bertemu tuhan..seperti bunga musim bunga yang layu setelah tamatnya sunnatullah.

“Thanks..”

Penuh keharuan.  Kay mengundur diri. Tangannya mengenggam erat kuntuman ros di tangan. Perempuan tua itu senyum. Ketika tren yang ingin dinaikinya menghampiri platform, mata tuanya merenung balik tubuh Kay yang meminta diri terlebih dahulu untuk mngejar trennya pula. 

"May god bless you son."

*********************************************************************************


Bunga bertukar tangan, namun bukan sahaja bunga yang dia dapat,
tetapi apa yang tersirat disebalik sekuntum bunga.
[kredit gambar]






“May you remains a good muslim just like a flower. Only dies when the god calls for it.”


    Ayat terakhir itu terngiang-ngiang di kepala. Bagai masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri dan masuk kembali ke telinga kanan.  Kay hela nafas panjang.  Ada satu rasa yang sedang bertapak di hatinya. Rasa keinsafan.  Keharuan yang datang tanpa diketahui dari mana.  Adakah disebabkan kata-kata tadi?
Sepanjang perjalanan pulang, Kay buntu.  Akhirnya, dek kerana gelisah hati yang ingin didesak pergi, sesampai sahaja dia di Birmingham New Street Station kakinya terus dihalakan untuk mengambil tren ke Selly Oak Station pula. Namun, bukan arah rumahnya yang dituju, tetapi rumah Kahfi, rumah yang didiami oleh beberapa abang seniornya.  Salah seorang dari mereka merupakan naqibnya, Abang Ayid.

“Abang, kenapa saya tak boleh hilangkan perasaan ni?”

Kay memandang tepat wajah Ayid.  Lelaki berwajah putih bersih dengan sedikit janggut di dagu itu senyum nipis. Nama sebenarnya Khalid tetapi dia lebih selesa orang memanggilnya Ayid.

“Apa yang Kay rasa bila dapat bunga ni?” 

soalnya kembali sambil jari-jemarinya membelek kuntuman bunga ros yang Kay letakkan di atas meja. Kay angkat bahu. Perasaannya sukar ditafsirkan.

“Entah. saya rasa tergamam. Terkejut jugak. Tersentak pun ada.”

Kepalanya digaru sedikit. Tak tahu bagaimana hendak digambarkan perasaannya saat itu.

“Hmm..ok. Sekarang bagitahu abang dari mana dan kenapa itu perasaan Kay?”

 Bagai seorang kaunselor Ayid mencungkil satu-persatu isi hati adiknya yang seorang itu. 

“Tergamam. Tak sangka perempuan tua itu akan bagi bunga pada Kay. Rasa terkejut tu mungkin sebab saya tak sangka dalam banyak-banyak cara dia nak berterima kasih ialah dia bagi bunga. Tersentak tu...sebab...”

Sekali lagi Kay garu kepala.

“Sebab dia orang putih. Kay tak sangka dia akan pesan macam tu pada Kay?”

Ayid meneka, menghabiskan kata-kata Kay. Kay tersengih. Tak tahu nak jawab apa sebab dia sebenarnya pun tak pasti.

“Entah. Kay rasa Kay malu sebab orang putih yang pesan macam tu pada Kay.  Kay rasa makcik tu nampak Kay baik masa tu tapi dia tak tahu pun Kay ni macam mana di sebalik Kay yang tolong dia kat train station tu...”

Tanpa berselindung Kay meluahkan rasa hatinya.  Namun, reaksi  Ayid nyata mengejutkan.  Ayid gelak besar! Hahahaha...sampai berair-air matanya. Kay tarik muka. Isy...

“Ermm...ops..afwan..afwan..”

Tersedar muka Kay dah lain macam, Ayid membuang sisa tawanya. Dia menarik bahu Kay dan dipeluknya erat. Telapak tangnnya menepuk-nepuk bahu itu mesra, penuh kasih sayang. Ayid sedar pemuda di sebelahnya insan yang sangat sensitif. Setiap detik dalam hidupnya sangat signifikan dan sentiasa dijadikan panduan dalam hidup.  Maka, menjadi tanggungjawabnya membimbing Kay untuk melalui detik-detik itu sebaiknya agar setiap masa itu memandu Kay ke arah jalan hidup yang betul.

“Kay tahu ada orang yang tahu apa yang Kay buat?  Semua benda yang Kay buat dia tahu?”

Ayat bertukar matang semula. Kay angkat kening.  Tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan Ayid.

“Siapa?Abang Ayid hijack life saya ya?”

 Meluru Kay menyerang Ayid.

“Mana ada! Bukan saya tapi..”

“Tapi..?”

“Allah...”

Pendek jawapan Ayid. Kay terdiam. Tiada sangkalan mahupun bantahan.  Benar, Allah maha melihat.  Tiada yang terlepas dari pandangannya.  Kay gigit bibir.

“Apa kaitannya bang?” 

Lemah dia menyoal. Terasa tak bermaya pula tiba-tiba bila diingatkan tentang hakikat Allah yang maha melihat. Kalau tadi dengan orang tua yang tidak tahu apa yang dia buat di rumah pun dia rasa malu bila dikatakan a good muslim kini rasa malu bertambah-tambah bila Allah tahu dia buat baik pada orang tua tapi dalam masa yang sama masih ada lagi kelalaian dan kesia-siaan yang dia lakukan.

“Kenapa abang cakap macam tu? Sebab,  Allah maha melihat dan dia juga maha penyayang.  Dia tahu hambanya yang seorang ni baik sebenarnya.  Kan?Sebab dia sayangkan hambanya tu, bila dia nampak hambanya buat salah dia bagi teguran cara halus. Dialah yang membuatkan orang tua yang Kay jumpa tu menuturkan kata-kata tu pada Kay, dan kerana Dialah juga yang membuatkan Kay terasa dengan kata-kata itu. Supaya Kay terfikir dan berfikir kenapa Allah mengaturkan pertemuan Kay dan perempuan tu..”

 Lembut dan berhemah Ayid memberi jawapan.  Bicaranya yang sedikit itu perlahan-lahan diserap masuk ke dalam hati. Kay tarik nafas panjang.  Kepalanya disandarkan pada bahu sofa dengan belakang bahunya masih lagi berlapikkan lengan Ayid.

“Abang rasa sangat sweet la..sebab mak cik tu titipkan bunga ros ni sekali. Mentang-mentang musim bunga. Tau tak apa yang abang terfikir.?”

“Apa dia?”

"Abang terfikir yang Allah tegur Kay di musim bunga..dengan bunga ros ni supaya bunga ros ni dapat berikan suntikan anaesthetic pada Kay . Jadi, tak adalah Kay sakit atau terasa hati bila ditegur dan dipesan macam tu..”

Kay sengih. Ehem, macam kenal lah ayat tu.

“Abang,  saya tak adalah pelupa sangat tapi bukan ke ayat pasal suntikan anesthetic ni dialog cerita Full House?” 

 Tersengih-sengih Kay membidas.  Matanya sempat dikenyitkan pada Ayid yang tersipu-sipu. Aduh, kantoi!

“Hehe..people make words. I just apply it in my real world!” 

Ayid senyum disambut dengan senyuman Kay. Dua-dua kelihatan lega terutama sekali Kay. Wajahnya yang agak berserabut selama lebih dua jam dari London Ke Birmingham tadi beransur hilang. Hatinya mengakui kebenaran kata-kata Ayid..tentang teguran Allah padanya di musim bunga...manis sebab dihiasi hadirnya sekuntum bunga ros.
**********************************************************************************

“Ok! No more game, no more drama...no more akademi fantasia!”

Kay bersuara keras, yang hanya ditujukan pada dirinya sendiri. Bagai mendapat nafas baru, dia membuat cita-cita baru. Sesuatu yang ingin dicapai dan dikecapi.
Sedikit keazaman yang dipupuk untuk menjadi insan baru yang lebih syumul cara hidup ad-dinnya. Musim bunga baru tiba dan dia disuntik dengan peristiwa bermakna. Kay sedar, perubahan perlu dilakukan.. .agar dia menjadi bunga islam yang mekar.

“Because i am a muslim boy.  Saya patutnya jadi bunga yang bukan sahaja cantik dipandang tapi harum baunya.”

Empat pasang mata yang lain memandangnya kagum. Tidak disangka, ada cerita di sebalik ada taman dalam hati sahabat yang seorang ini. Ingatkan Selly Oak ni bertamankan Selly Park je.

“Allah is so lovely huh?!” 

Kay senyum.Pandangannya ditebarkan pada bunga-bungaan yang indah menghiasi taman hingga matanya terhenti pada pohon sakura berbunga merah jambu.

Yes, He is! If He’s not, where does these flowers come from?

Semekar bunga di taman..

Sehidup hati manusia..

Berakhir musim bunga..

Yang layu dan gugur hanya bunga..

Sebab itulah sunnah Allah padanya..

Tetapi hati perlu terus mekar kembang..

Sebab masa untuknya belum tiba..

Teruskanlah segar hingga ke syurga..
Rentetan Mabit Musim Bunga 2011
Perubahan itu sukar, namun jangan sukar itu dijadikan ukuran.
mengekalkan perubahan itu memerlukan pengorbanan.
Ganjaran pengorbanan?
Allah sahaja mengetahuiNya.
Wallahualam.





Wednesday, 13 April 2011

[Cerpen] Seribu Erti Hazumi. [Bahagian 1]



Suasana petang di Selly Park

“Kau ni..macam perempuan lah Kay!”


Kay gigit bibir. Kurang ajar punya budak. Suka hati je mainkan jantina aku.

“Suka tengok bulan..suka bunga pulak tu...” 

Berderai ketawa rakan-rakannya petang itu. Di kala itu mereka serumah sedang berkelah di Selly Park, salah satu taman rekreasi yang ada di kawasan perumahan Selly Oak. Hanya sepuluh minit dari rumah mereka. Telatah Kay yang asyik menikmati keindahan landskap di situ mengundang usikan rakan-rakannya. Lebih-lebih lagi dia asyik pula bergambar dengan bunga-bunga di situ.

“Jambu betul gambar kau dengan bunga sakura yang pink ni...ala-ala drama korea...” 


Giliran Hafiz pula bergurau.  Kay sengih, ingatkan nak back up. Sama je dua kali lima dengan yang lain. Macam nilah kawan baik.


“Ok ape..memang orang kata muka aku macam Lee Hyun Ill pun,” balas Kay selamba.
“Ewww” Serentak kawan-kawannya menyahut. Kay senyum lebar. Aku iyakan kata-kata korang dapat eww-eww pula.

“Eh.. tapi Hyun Ill tu pemain badminton la...” 


Sekali lagi berderai ketawa mereka.  Kay garu kepala.  Adoi, tersalah bagi contoh pula.


“Korang tau kenapa aku suka bunga..?” 

Malas melayan usikan, Kay melontarkan soalan.Masing-masing mengangkat kening. Ni sesi kuiz ke?

“Because i am a muslim boy..”
Bunga, membawa seribu erti?
[kredit gambar]

*********************************************************************************
Peak Hour!

   Suasana hingar-bingar di stesen kereta api London Euston. Lautan manusia bersimpang-siur di setiap pelosok.  Semuanya bertolak-tolakan untuk masuk ke dalam tren tanpa mahu menunggu penumpang di dalamnya turun terlebih dahulu.  Huh, manusia.  Di kala keadaan sebegini,  semua melupakan adab sopan. Terbukti salah mereka yang mengatakan manusia dunia barat ini berakhlak terpuji.  Kay, atau nama sebenarnya Khair Al-Amin mengesat peluh di dahi sambil melabuhkan punggung di salah satu kerusi yang ada di bilik menunggu bersebelahan dengan platform 9, di mana kereta api yang ingin dinaikinya akan tiba. Meskipun suhu musim bunga di situ hanya  20 Celcius, kurang 15 Celcius dari kepanasan Malaysia, ia ternyata mampu memercikkan peluh hangat.

    Kay meneguk banana milkshake yang dibeli sebentar tadi buat menemani perjalanan pulangnya ke Birmingham. Ha, terasa ada kedinginan yang mengalir dan menyejukkan tekaknya yang kekeringan. Kay senyum lega. Dia pandang sekeliling. Cermin lutsinar bilik tersebut memberikan pandangan jelas keadaan di luar. Lapisan manusia sedang menanti tren di dua platform yang berbeza.  Satu di paltform 10 dan satu lagi platform 9. Mereka yang berada di platform 9 tentunya akan menaiki tren yang sama dengannya iaitu menuju ke Birmingham New Street.

“No! Wait for me!”

    Suara halus seorang perempuan tua menarik perhatian Kay.  Pantas dia memanjangkan leher meninjau di balik cermin bilik menunggu.  Ada seorang perempuan kuit putih dalam lingkungan 70-an sedang dinafikan dari menaiki tren.  Sekitar platform 10 sudah kosong. Hanya tinggal dia seorang.  Pegawai yang melepaskan tren tadi untuk berlepas enggan mempedulikan perempauan tua itu. Perlahan-lahan ada air mata yang turun dari hujung matanya. Kay rasa kasihan. Dia tahu di waktu puncak sebegitu tidak ada insan yang benar-benar mahu menolong. Mata pantas melirik jam di tangan. Pukul 5:30 petang. Ada kira-kira dua puluh minit lagi sebelum tren yang ingin dinaikinya sampai. Lalu, dia pantas menyarung beg galasnya dan berkejar keluar ke platform 10.

“Excuse me lady. I saw what happened. Let me help you please. Where do you want to go?”

Terkejut. Sepasang mata bening yang masih bersisa air mata merenung anak muda di hadapannya.  Bagai tidak percaya ada orang yang sudi menghulurkan bantuan. Lelaki asing pula tu. Bukan anak muda tempatan.


“The train...the train..” 


Bagai tidak teratur suara yang keluar dari bibir tua itu. Kay tarik nafas. Dia sedar orang tua di hadapannya sedang kalut. Lantas, bahunya diusap lembut, cuba meredakan keresahannya. Bawa bertenang makcik..Perlahan getusan suara itu lahir dari hatinya.

“Calm down, You will be fine. Im here to help you.”  

   Kay melemparkan senyuman manis.  Sedikit kata-kata Kay akhirnya mengendurkan sedikit keresahan di wajah perempuan tua itu.


“Oh yeah..”

   Suara lemah itu menyahut.  Kay menghulurkan tangan ingin membantu menjinjing beg bimbit berwarna biru muda kepunyaan perempuan tua itu.  Agakkannya mungkin itu beg pakaiannya. Masya Allah beratnya! Sejurus selepas beg beralih tangan,  Kay merasakan seolah-seolah ada budak berusia 5 tahun sedang bergayut di tangannya. Ya Allah, macam manalah makcik ni boleh cukup kuat memegang beg seberat ini dalam genggaman tapak tangannya?


“May I know what is your destination?” 


Bersambung....
[hakcipta terpelihara Ikram WM]

Tuesday, 29 March 2011

Zon Merbahaya!

 Bismillah ar Rahman ar Raheem,

Alhamdulillah, another weekend has come. 

For me, it is a relief, yet in d same time, it is time for me to embrace myself in yet another hectic week to come..

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar..

Hurm, oklah.. Harini nak bercerita..

Masa drive kat UK ni, selalu jumpa tanda ni:

AWAS!
Selepas terjumpa tanda tu, mesti akan ada banyak sangat kon-kon warna merah, menunjukkan yang jalan tu sedang diperbaiki.  Bila lalu je tempat tu, mesti teringat perbualan antara Umar al Khattab r.a. dengan Ubayy ibn Ka'ab r.a. 

Umar: Apa itu taqwa wahai Ubayy?
Ubayy: Pernahkah kau melalui jalan yang penuh duri ya Umar?
Umar: Bahkan!
Ubayy: Apa yang engkau lakukan apabila kau melaluinya?
Umar: Aku sangat berhati-hati dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri itu
Ubayy: Wahai Umar, Itulah TAQWA!



 Ok, balik semula kepada cerita driving tadi.  Bila lalu kat kawasan yang penuh kon merah tadi, serta merta hadlaju lebuhraya berubah menjadi kepada 50mph dan ianya mesti disertai kamera yang akan merakamkan purata kelajuan kereta yang melaluinya. Alasannya adalah, sekiranya kita terlampau laju, kita mungkin akan merempuh kon merah tadi dan ianya merupakan "safety hazard" kepada pekerja-pekerja yang sedang bekerja di kawasan itu. Kerana sekiranya kon yang dilanggar pada kelajuan tinggi itu merempuh mereka, di sana ada bahaya kecederaan parah dan yang paling bahaya adalah bahaya kematian.

kon merah, tanda ada yang sedang bekerja

Jadi, punyalah nak elak kena saman [sebab saman kat UK ni mahal], jadi kenalah kurangkan kelajuan and kena sangat berhati-hati di kawasan yang banyak kon merah tadi tu.. So pada waktu tu, mesti kesabaran pemandu pn jadi kurang. Mana taknya, dari 70mph tiba2 kena bawa 50mph or less.. Yelah, kita nak cepat sampai ke destinasi, sebab itu ikut lebuhraya, tiba-tiba kena bawa perlahan pula.. 

Eh eh, lebih2 pulak cerita pasal driving ni.. Ok, dah habes cerita.. Dapat tak point cerita saya?

Dapat tak? =D
Oklah, dapat ke tak dapat, nak cerita jugak sikit sebanyak apa yang saya rasa.  Dalam hidup kita, kita ada zon merbahaya yang tersendiri [i.e. zon banyak kon merah].. Zon merbahaya ni, bagi saya sendiri adalah pabila mula merasa selesa dengan keadaan diri sendiri.. Di mana saya mula terasa diri dah cukup, dah ok, dah tak perlukan dah sesuatu yang lebih.. Walhal, sifat manusia itu memang tidak pernah merasa cukup..

Bagaimana dulu, pada zaman Nabi s.a.w. mula-mula membawa risalah Islam, kita belajar yang orang kafir Quraisy tu terus taknak terima Islam.. Mengapa? Sebab mereka dah rasa selesa dengan kedudukan mereka, kemewahan yang mereka ada, ketiinggian , kemuliaan dan kekuasaan yang mereka ada.. Mereka taknak lepaskan itu semua sebab memang manusia sangat sukakan kemewahan, kesenangan, dapat berehat-rehat tanpa perlu berusaha keras.

Dan orang yang menerima Islam, mereka semuanya orang miskin, orang yang dah biasa hidup susah, yang dah biasa bersusah payah.. Mereka menerima Islam kerana agama Islam itu sendiri secara fitrahnya adalah agama yang sangat cantik.. Ia adalah cara hidup yang membawa kepada kesenangan, kemewahan dan kerehatan yang selama-lamanya.. Itu janji Allah yang mereka sentiasa pegang..

Macam tu jugalah kita.. Kita ada zon selesa kita yang sekali kita dah masuk, sangat perlu mujahadah yang tinggi untuk keluar darinya.. Zon selesa ini adalah SANGAT merabahaya bagi kita.. Kerana ia adalah duri-duri yang berada di atas jalan.. Kalau kita tidak berhati-hati, kita akan amat mudah terlekat padanya dan amat susah untuk kita keluar dari duri itu melainkan mengoyakkan baju yang kita pakai..

Untuk menuju kepada matlamat kita, akan ada banyak sangat duri-duri dalam perjalanan.. Dan amat penting sekali untuk kita sangat berhati2 agar kita dapat melaluinya dengan selamat dan sampai kepada matlamat akhir kita.. Berulang2 kali Allah sebutkan di dalam Al-Quran mengenai kepentingan taqwa dan balasan untuk orang-orang yang bertaqwa.. Dan untuk mendapat balasan itu, seseorang muslim itu perlu menjadi orang yang bertaqwa yakni orang yang telah menempuh pelbagai onak dan duri sepanjang perjalanan menuju kepada-Nya..

Firman Allah:
Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. [Al-A'raf (7): 26]

Masa drive melalui kon tadi tu, amat berhati-hati sebab takut kena saman  oleh sebab ada kamera yang merakam kelajuan kereta pada waktu itu.. Walaupun kamera itu ada jarak-jaraknya, namun disebabkan kamera tersebut merakam purata kelajuan dari A ke B, jadi nak taknak memang kena perlahan ke sepanjang jalan yang penuh kon tu..

Tapi selalu terfikir, kita buat sebab takut kepada kamera yang mungkin tak berfungsi oun waktu kita lalu tu, tapi "kamera" Allah yang sentiasa berfungsi dan merakam setiap perbuatan kita tu kita tak takut pula.. Hurm, macam mana tu? Tak logik kan? Tapi itulah manusia.. Patuh pada benda yang nampak sahaja, yang tidak nampak itu, jarang sekali dipedulikan atau lebih teruk tidak pernah ambil tahu.. Astaghfirullah..

Matlamat kita adalah untuk mencapai redha Allah, untuk mendapat syurga Allah, tapi kenapa kita tak berhati-hati dalam melalui jalan menuju-Nya?

Jom Berfikir,







Thursday, 24 March 2011

Doa Malaikat

Bismillah ar Rahman ar Raheem.

Allah berfirman:

(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan (malaikat) yg berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan (agama)-Mu dan peliharalah mereka dari azab api neraka. Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang yang saleh di antara nenek moyang mereka, isteri-isteri, dan keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (bencana) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (bencana) kejahatan pada hari itu, maka sungguh, Engkau telah menganugerahkan rahmat kepadanya dan demikian itulah kemenangan yang agung."
[Al-Mu'min (40): 7-9]


SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Malaikat mendoakan untuk orang2 yang beriman agar diberi ampunan dan diterima taubat dan dipelihara Allah, dan dimasukkan ke dalam syurga, dan diberi rahmat dan kemenangan yang besar!!

Malaikat yang dekat dengan Allah tu, mendoakan kesejahteraan untuk manusia dengan syarat mereka beriman! [baca: excited]

Mahukah kita menjadi antara golongan yang didoakan oleh Malaikat??

InsyaAllah ingin kongsi lagi satu firman Allah dari Quranul Kareem:

Dan barangsiapa mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan sedangkan dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tidak terhingga.
[Al-Mu'min (40): 40]


Moga kita semua terus berada dalam nikmat Islam dan Iman sehingga kita menemui ajal kita biidznillah..

Monday, 14 March 2011

Jalan ke Syurga

   Sebuah kisah pendek ingin dikongsi bersama, kisah ini sangat klise dan berlaku je dalam kehidupan kita seharian, kisah saya waltu melintas jalan raya, apa la yang saya hairankan sangat sampai ingin berkongsi ya. Begini ceritanya,  petang itu, usai sahaja kuliah, saya bersiap- siap untuk pulang ke rumah.  untuk pulang ke rumah saya perlu menaiki bas dan semasa berjalan ke stesen bas itulah sesuatu telah berlaku.
Birmingham, bandar yang pesat membangun [kredit gambar]

   Semasa saya hendak melintas jalan, saya agak leka membalas mesej yang ada hingglah tanpa saya sedari saya hanya mengikut sahaja pergerakan orang lain melintas jalan keranan pada andaian saya ketika itu adalah waktu yang dibenarkan melintas jalan. Alangkah terkejutnya saya apabila menoleh ke kanan saya hampir dilanggar kereta, ah rupanya lampu isyarat menunjukkan warna hijau yang pastinya anda tahu itu memang masa yang sesuai untuk melintas secara bahaya. Kadangkala dalam hidup ini kita leka dengan sesuatu benda dan hanya mengikut arus tersebut tanpa mengkaji adakah arus itu arus yang haq atau batil?
.
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah…”
[ Al An'am:116]
  “itulah, ikut orang lagi, lain kali jangan leka dan ikutlah peraturan, dan peraturan yang Haq dalam kehidupan kita ni tentulah peraturan daripada Allah”, getus hati kecilku.

      Impak dari peristiwa tersebut, ketika  saya melintas jalan buat kali yang kedua saya melihat lampu isyarat terlebih dahulu. Alhamdulillah, saya berjaya melintas dengan selamat.Begitulah kehidupan ni kan, untuk melakukan sesuatu kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai manual untuk kita bergerak. Analoginya seperti melintas jalan, peraturan sudah ada iaitu warna lampu isyarat tersebut, ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau jikalau kita masih berdegil melintas jalan tanpa memerhatikan kiri dan kanan, peratus untuk sampai ke seberang jalan sangatlah rendah,andai diizinkan Allah, boleh sahaja kita dilanggar kereta ataupun motor dan pastinya kita tiada hak untuk membela diri kerana kita telah melintas diwaktu yang salah. Oleh itu, andai kita tahu hidup ini telah disusun  dengan peraturan yang ditetapkan oleh Allah, maka marilah kita berusaha mengikutinya.

“Maka berpalinglah kamu dari mereka, dan tunggulah,
sesungguhnya mereka (orang derhaka) juga menunggu (kedatangan hari Kiamat).
[As Sajdah:30]
kredit gambar

Saya tersenyum ketika teringat akan peristiwa , rasa marah pada orang yang membuatkan saya hampir dilanggar kereta tadi bersilih kepada rasa malu apabila terkenangkan itu adalah salah saya yang tidak peka pada lampu isyarat dan hanya mengikut orang sahaja, lagi-lagi apabila yang saya ikut tu adalah orang yang salah. Alhamdulillah , Allah selamatkan saya.
Saya pun meneruskan perjalanan ke bus stop. Langkah pulak semakin longlai sebab sudah kepenatan  seharian menghadiri kuliah dan bengkel.

     Tiba di hadapan argos, sebelum melintas jalan lagi saya sudah nampak bus no. 61 yang akan membawa saya pulang ke selly oak.
Apabila  lampu isyarat merah, saya terus berdesup melintas jalan dan berlari-lari anak ke stesen bas  tersebut. Alhamdulillah Allah bagi rezeki, saya sempat menaiki bus no. 61 yang di target  dari tadi, hehe. Bergaya dan pantas kan. Seepas saya bergerak pantas lebiih dari biasa tadi, sempat saya berfikir, teringat kisah seorang pemuda yang disebut dalam surah Yasin,

“Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas-gegas,
lalu berkata: Wahai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu, ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu,
dan mereka adalah orang yg mendapat petunjuk”
[Yasin:20,21]

    Bergegas bukan? mengapa ya? Kerana peluang. Kita tidak tahu berapa banyak peluang yang akan ada dalam hidup kita sekiranya kita hanya membiarkan peluang itu lalu dengan gahnya dihadapan kita. Kalau saya pula tidak tahulah bas no. 61 ni akan dating selang berapa minit lagi kalau saya terlepas bas tadi. Mungkin terpaksa menunggu hampir satu jam.
     
      dan juga ayat Allah supaya bersegera
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Rabbmu
dan kepada syurgaNya yang bidangnya seluas langit dan bumi
yang disediakan untuk orang-orang yg bertakwa.”
[Ali imran:133]
 Ayat- ayat ini mengingatkan saya supaya sentiasa pro-aktif walaupun kita kena ikut segala peraturan, kena fastabiqul khairat la katakana macam kisah Abu Bakar dan Umar. Sentiasa pro aktif dan bersegera melakukan kebaikan sekiranya ada peluang, insyaAllah saham syurga.
“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah
dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah di jalanNya,
supaya kamu beroleh kejayaan.”
[al maidah:35]

    Ringkas je kan cerita saya ni, tapi cukup untuk buat saya berfikir akan peraturan dan cara hidup, hamba-hamba Allah yang mampu ikut peratutan ataupun tidak, bersegera dalam melakukan kebaikan , jangan sia-siakan peluang, dan juga sifat pro-aktif yang perlu ada dalam diri kita semasa mengikut segala manual hidup ni. Sepetang yang meletihkan ini mampu buat saya tersenyum. Apabila seorang abid melihat kehidupan seharian melalui mata hati,lalu dikaitkan dengan ai-Quran dan sunnah terlalu banyak pengajaran yang boleh dikaut. Bukankanh sebaik-baik guru adalah pengalaman dakam mengharungi jalan menuju ke Syurga yang abadi.
kredit gambar
Jalan ke syurga bukanlah jalan yang mudah, jalan yang penuh dengan cabaran dan rintangan,
bukan semua orang mampu mengharunginya.
Bagaimana ingin selamat sampai ke syurga itu?
Lihatlah pada apa Rasulullah telah tinggalkan kepada kita iaitu
Al-Quran dan Sunnah.


Dikemaskini melalui blog MSMWESTMIDLANDS, entri asal disini.

Tuesday, 8 March 2011

Ujian dan Dugaan

Bismillah ar- Rahman ar – Raheem,

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang,

Ujian itu sinonim dengan kehidupan, andai tiada ujian, tiadalah kehidupan. Ujian itu luas, ada yang diberi ujian melalui nikmat ada pula yang diberi ujian melalui keperitan, kepayahan dalam menjalani kehidupan.

exam di dunia, sangatla berserabut kepala ni kan,
tetapi , apabila dapat keputusan yang cemerlang, maka hilanglah penat lelah yang ada.
Begitulah juga ujian dari Allah yang Maha Esa seandainya kita dapat mengharunginya,
pasti ada ganjaran disebaliknya.=]
kredit gambar

Firman Allah SWT:

Setiap yg bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dgn keburukan dan kebaikan sbg cobaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami. [Al-Anbiya':35]

Mengapa aku diuji? Acapkali soalan ini menjelma tatkala merasa diri diuji olehNya. Allah itu Maha Penyayang, lalu dengan penuh kasih sayang Allah ceritakan pada hamba-hambaNya mengapa mereka diuji melalui kalam suci al-Quran dan hadis yang berkaitan, mari kita selongkar apakah yang Allah mahu kita lihat melalui mata  hati.

1) Apakah manusia mengira bahawa mreka akn dibiarkan hanya dengan mengatakan , “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?[Al-Ankabut:2]

Ujian itu diturunkan untuk Allah menguji hamba-hambaNya yang beriman. Pastilah tidak cukup andai iman itu hanya diucap melalui lidah yang tidak bertulang ini andai tiada amalinya, bagaikan pasangan kekasih, mahukah pasangan kekasih menerima cinta yang hanya melalui kata- kata tetapi perbuatan tidak mencerminkannya? wah, cinta Allah itu melebihi segalanya untuk kita raih, maka bersedialah!

2) Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun, [Al-Mulk:2]

Hidup ini juga umpama pencapaian kita di universiti ataupun dimana-mana sahaja kolej, sekolah yang ada persaingannya, pasti ada ujian untuk kita melihat dimanakah tahap kecemerlanagan kita, maka analoginya kehidupan ini juga Allah susun begitu, ujian dan dugaan itu umpama peperiksaan untuk melihat antara hamba-hambaNya, siapakah yang paling cemerlang?. Ujian juga merupakan galakan untul kita fastabiqul khairat yang membawa maksud berlumba-lumba dalam kebaikan.

4) Dan tidak ada kekuasaan (Iblis) terhadap mereka, melainkan hanya Kami dapat membezakan siapa yang beriman kepada adanya akhirat dan siapa yg masih ragu-ragu tentang (akhirat) itu. Dan Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu. [Saba':21]  

Ujian juga merupakan salah  satu medium untuk Allah membezakan siapakah dari kalangan hamba-hambaNya yang beriman ataupun ragu-ragu akan hari akhirat. Hamba- hamba Allah yang sabar dan bersyukur dalam menghadapi ujian juga akan terpelihara dari godaan syaitan yang  sudah berjanji akan menyesatkan umat manusia dari umat nabi Adam hinggalah kita, umat nabi Muhammad umat akhir zaman.

5) Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yg berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar. [Al-Imran:142]
Harga syurga itu sangatlah mahal dan kita tidak akan mampu masuk syurga dengan hanya amalan-amalan kita, tetapi rahmat Allah yang Maha Pengasih menentukan segalanya. Allah menurunkan ujian untuk menilai hamba-hambaNya yang manakah sabar, sanggup berjihad, tenang dan bersyukur apabila dicuit sekelumit ujian. Apabila diuji, apakah mereka ini melakukan segala perbuatan hanya kerana Allah swt? ataupun berpaling jauh dari jalanNya? 

Melalui ayat-ayat Quran ini, dapat kita lihat Allah menurunkan ujian untuk melihat hamba-hambaNya, adakah hamba-hambaNya sabar, terus berjihad dan melakukan kebaikan, percaya adanya syurga & neraka, hari pembalasan ataupun memalingkan diri dari mengimani Allah swt.

Doa, sabar dan tawakkal pada Allah apabila ujian tiba,
sentiasa motivasikan diri dengan kisah- kisah dalam Quran akan ujian dan
dugaan yang telah menimpa mereka yang terdahulu.
Acapkali juga kita dengar bahawa makin banyak ujian, makin Allah sayang pada hambaNya, makin Allah ingin mendengar rintihan melalui doanya, makin Allah rindu pada esak tangisnya yang hanya pada Allah swt.

Mari kita lihat hadis pula untuk menyelongkar apakah itu ujian dari Allah.

1) Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka dia diuji (dicoba dengan suatu musibah). (HR. Bukhari)

2) Tiada seorang mukmin ditimpa rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Bukhari)


3) Sa’ad bin Abi Waqqash berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah Saw, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cobaannya?” Nabi Saw menjawab, “Para nabi kemudian yang meniru (menyerupai) mereka dan yang meniru (menyerupai) mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau agamnya tipis (lemah) dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa. (HR. Bukhari)

ujian itu tanda Allah sayang pada hambaNya=]
kredit gamba
Melalui hadis- hadis ini dapatlah kita lihat bahawa Allah tidak menurunkan ujian pada hamba-hambaNya tanpa melihat pada kemampuan hamba-hambaNya, Allah juga menurunkan ujian kerana kasih sayangNya. Allah ingin mengampuni dosa-dosa hamba-hambaNya, memberi kebaikan pada kita melalui ujian.

Hati ini mudah berbolak balik apabila ditimpa ujian, maka marilah kita bersama- sama memotivasikan & menguatkan keimanan kita melalui ayat-ayat Quran dan hadis –hadis yang telah diwariskan kepada kita. Betapa indahnya ujian itu andai disulami dengan kecintaan pada Allah dan rasul. Kisah-kisah para nabi, para sahabat, para tabi’in dalam mengharungi ujian keranaNya juga sangat berguna di kala kita merasa sunyi, keseorangan dalam menghadapi ujian dan rintangan, sesungguhnya Allah bersama kita, terpulanglah pada kita sama ada merasai kebersamaan Allah ataupun tidak. Allah bersama kita.


Dikemaskini melalui entri post terdahulu,dari blog rasmi  MSMWESTMIDLANDS. Entri asal, klik disini.