Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Wednesday, 18 May 2011

[Reviu Buku] The Ideal Muslimah


Tajuk : The Ideal Muslimah
Penulis: Dr. Muhammad Ali Al- Hashimi
Tahun: 2005
Harga: £16( Kedai WM)
Bil. Mukasurat: 538




The Ideal Muslimah
Sekali lalu saya lihat buku ini, tebal.  Kulit buku pun tebal, bahasa inggeris pula tu.  Soalan tipikal datang, apakah mampu saya habiskan buku yang setebal ini? Akhirnya secara perlahan-lahan saya memulakan penerokaan ilmu melalui buku ini. Setelah menyelak helaian demi helaian, saya semakin pantas meneroka buku ini.



The Ideal Muslimah.
Setelah diteliti cara penulisan, gaya bahasanya membuatkan saya agak senang untuk meneruskan pembacaan merentasi helaian demi helaian, tajuk demi tajuk dan bab demi bab. Gaya penulisan penulis tidak ubah seperti  seorang ayah memberikan nasihat kepada anak perempuan yang sangat dikasihi. Penuh dengan kasih sayang, ayat Quran dan hadis yang bertepatan, kisah para sahabat dan sahabiah dijadikan teladan, sunnah nabi Muhammad dijadikan ikutan dan juga kata-kata bijak pandai menjadi sandaran.

Apa yang saya boleh dapat melalui buku ini?

Buku ini banyak panduan untuk menjadi seorang wanita yang mengabdikan diri pada Allah dan pada masa yang sama menjaga hubungan dan berbakti kepada manusia.  Buku ini telah dibahagikan kepada sepuluh bab. Setiap bab akan dipecahkan kepada tajuk-tajuk yang bertemakan bab tersebut dan membincangkannya  dengan teliti.

Antara tajuk –tajuk yang diketengahkan adalah:
1)      
  1.  The Muslim woman and her Lord
  2.    The Muslim woman and Her Own Self
  3.    The Muslim Woman and Her Parents
  4.    The Muslim Woman And Her Husband
  5.    The Muslim Woman and Her child
  6.     The Muslim Woman and Her sons and daughters in law
  7.     The Muslim Woman and Her Relatives
  8.    The Muslim Woman and Her neighbours
  9.     The Muslim woman and Her  friends and sisters in Islam
  10.    The Muslim woman and Her community or society.

    Melalui susunuan tajuk , kita dapat melihat bagaimana penulis menyentuh satu persatu kepentingan wanita dengan persekitarannya dan  dirinya sendiri.  Sebagai contoh dalam tajuk The muslim Woman and Her Parents, terlalu banyak yang dipelajari, contohnya bagaimana untuk menghormati ibu bapa, berbakti dengan ibu bapa dengan lebih baik. Sedikit yang dapat saya garap melalui buku ini,

Abdullah ibn Mas’ood said:

“ I asked the Prophet, ‘Which deed is most likely by Allah?’  ‘He said, ‘Prayer offered on time’. I asked him, ‘Then what?’ He said, ‘Kindness and respect toward parents.’ I asked him, ‘Then what?’ He said, ‘Jihad for the sake of Allah.’’’ [1]

       Melalui hadis ini, kita dapat melihat dimana keutamaan berbakti pada ibu bapa kita, betapa utamanya mereka kerana ibadah berbakti kepada mereka berdua diletakkan ditangga kedua selepas menyembah Allah. Selain dari hadis, ayat Quran dan kisah para sahabat juga menguatkan satu persatu nilai yang penulis ingin ketengahkan.   Selain itu, mengapa buku ini juga adalah kerana doa. Buku ini juga  dengan doa yang dipetik dari al-Quran.

      Buku ini merupakan buku yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat terutama sekali wanita. Sesuai. Pada saya buku ini mempunyai garis panduan yang baik dalam memimpin  wanita muslimah untuk mengabdikan diri pada Allah tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai anak, isteri, ibu, sanak –saudara dan juga jiran tetangga.

1 Bukhari dan Muslim,  Dr. Muhammad Ali al- Hashimi, The Ideal Muslimah, hal. 163

Tuesday, 12 April 2011

[reviu buku] Sinergi: Merengkuh Hidup Bertarbiah

Judul: Sinergi
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2010
Harga: RM23.00
Bil.mukasurat: 500

Novel kelima Hilal Asyraf kali ini berkonsepkan slice of life komuniti pelajar Melayu di Jordan. Cerita dibawa dari pelbagai sudut pandang ketiga. Memandangkan latarnya sangat benar dan bukanlah fiksi, naskhah ini secara tidak langsung saya pandang juga sebagai semi-fiksyen, kerana penulis menceritakan pengalaman dan berkongsi suasana yang dialaminya sendiri, sebagai salah seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Bukan setakat latar tempat, latar masyarakat, nama-nama yang terlibat juga ada yang benar. Saya menyedari ini kerana banyak di antara nama itu disebutkan di dalam laman sesawangnya.

Sinopsis

Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi. Dua sahabat akrab ini memberi kesan harmoni kepada masyarakat sekeliling mereka, apatah lagi pelajar Melayu yang tinggal di Irbid, Jordan. Namun ujian datang menguji kelangsungan ukhuwwah mereka. Disaster Five, lima pelajar bermasalah hadir dan memanipulasi konflik dua sahabat ini untuk memporak-perandakan semua. Rancangan tersebut diperhebat apabila hadir pihak ketiga bergelar Secret, yang mendendami Irfan atas kematian abangnya. Irfan dan Rasyid pelu mencari jalan untuk menawan hati mereka semula supaya kembali ke arah kebenaran.

Tarbiah Sepanjang Tahun, Oh Bukan, Sepanjang Hidup!

Pembawaan kisah kehidupan pelajar di bumi asing hampir setahun bermula Ramadhan bukan sahaja menelusuri tarbiyyah manusia sepanjang tahun, tetapi sepanjang hidup. Melalui Ramadhan contohnya pembaca diperkenalkan keutamaan taqwa; Iduladha pada mustahaknya pengorbanan dan cinta. Permasalahan yang selalu melayang dalam fikiran remaja khususnya banyak dibincangkan dalam novel ini. Ilmu itu pula, menariknya, disampaikan melalui medium yang bervariasi, dari ayat-ayat Al-Quran sehinggalah bingkisan sirah. Tambah telus bila pengarang bermain dengan analogi, permainan emosi, hati juga psikologi.

Penulis mengajak kita berfikir pada setiap kata-kata yang dilontarkan. Setiap adunan tazkirah dan nasihat adalah bertujuan membangunkan hati-hati yang masih nyedar. Membuatkan setiap apa yang diselitkan dalam program-program seperti usrah dan introspeksi menjadi penting, dan penulis menyuruh kita menyedari itu secara halus. Kalau tidak bangkit 'disimbah air' kesedaran juga, kita masih perlu baiki diri!

Tentang Dakwah

Sinergi merupakan satu buku panduan yang cantik dalam menyampaikan mesej dakwah yang indah lagi halus. Kemunculan Disaster Five, lima orang pelajar dengan bermacam-macam ragam merupakan simbolik kepada mad'u atau objek dakwah yang perlbagai. Setiap individu yang didekati dalam menyampaikan dakwah mempunyai latarbelakang berbeza, masa silam, kelebihan, juga kekurangan yang tidak sama. Tentunya, cara menyentuh hati-hati setiap satu dari ahli Disaster Five ini juga tidak sama. Harith digoncangkan hatinya dengan kekuatan fizikal. Yusuf disuguhi dengan jasa, begitu contohnya.

Aspek lain dalam dakwah adalah seputar usaha. Dakwah tidak dipandang pada hasilnya dahulu, tetapi yang lebih didahulukan sepatutnya usaha yang telah dikerahkan. Sekalipun para mad'u tidak meyahut seruan dai'e, tanggungjawab yang kita pikul itu sudah kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. Hasilnya adalah di dalam tangan Allah jua. Hal ini ditonjolkan dalam usaha Irfan yang tidak putus asa mendekati ahli-ahli Disaster Five.

Dalam menyelami tugas dai'e rasa tanggungjawab perlu dihayati terlebih dahulu. Betapa tugas sebagai da'ie ini bukan mudah. Masalah saudara-mara kita, saudara seagama kita perlu difahami seintim mungkin, bukannya memerhati dari permukaan, tetapi menggulatinya dari dasar. Pengalaman ini telah diceritakan melalui Asid yang resah berfikir mengenai tanggungjawabnya kepada mereka yang masih belum merengkuh hidup bertarbiyyah. Maeve Binchy, dalam novelnya Nights of Rain and Stars, memberi solusi tepat dalam menyelesaikan sesuatu masalah, katanya: Don't just look on it, but be a part of it as well. Dengan itu barulah kita boleh memahami situasi yang melanda.

Selain itu, dinisbahkan juga metod dakwah kepada dua: Dakwah fardiyyah untuk anggota-anggota Disaster Five, dan dakwah berskala besar untuk sesama warga PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid). Uslub yang dipertontonkan pada pembaca semuanya bertunjangkan apa yang dibawa oleh baginda Rasul dan para sahabat, lalu diperhalusi lagi dengan seni dakwah Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat sefikrahnya Ikhwanul Muslimin. Berhikmah, dan tidak putus asa.

Kenapa Sinergi?

Pengarang dengan suka memperkenalkan kepada kita jalur konsep ukhuwwah dengan bancuhan urnanya yang tersendiri. Dalam Sinergi, konsep tersebut merujuk kepada formula 1+1=3, tidak semestinya dua jawapannya. Formula ini mengajar pembaca betapa kesatuan dua individu bakal melahirkan sesuatu yang luarbiasa, kerana tanda campur itu merupakan iman. Gugusan iman yang menyatukan dua saudara ini akan menggerakkan mereka menggenggam tali Allah.

Hablum min an-naas dalam novel ini begitu signifikan sifat dan nilainya, begitu juga seperti yang diutarakan dalam novel-novelnya yang terdahulu. Penekanan cara dan sebab melalui persoalan kenapa dan bagaimana yang sering disuakan kepada pembaca menerusi watak pelajar-pelajar sanfur (gelaran pelajar baru di sana) mengajar kita sebenar letak duduk perkara.

Ukhuwwah dengan sahabat bukan sahaja menuntut kita menggaluri haknya sebagai sahabat. Malah penulis menggarisi adab-adab dan tingkatan ukhuwwah yang perlu dikenalpasti oleh setiap manusia yang punya dan ingin mempunyai sahabat persis Asid dan Irfan, yang karibnya hanya kerana Pencipta.

Watak & Cerminan Diri

Mungkin bagi kita, watak Irfan dirasakan hampir sempurna, hampir tiada cacat cela pada perkataan dan perbuatannya. Tetapi di mana salahnya watak sebegitu? Irfan adalah seorang watak contoh, watak idaman setiap manusia. Pembaca disuluh dengan pemikiran watak ini supaya kita dapat mencontohinya. Sekiranya kalian pernah membaca Ayat-Ayat Cinta karangan Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy), persoalan watak sempurna ini pernah dibangkitkan melalui watak Fahri. 

Watak kurang sempurna masih ada, tentunya dinisbahkan pada komuniti pelajar Melayu di Irbid yakni warga PERMAI sendiri, yang sekejap baik lakunya dan sekejap lagi kurang teliti. Setelah ditegur barulah insaf kembali.

Watak 'kembar' atau sahabat akrab Asid dan Irfan pula menggambarkan kepada pembaca mengenali dua sisi diri: satu menuntut kebaikan dan satu lagi keburukan. Asid bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, tetapi dia kurang stabil emosi dan fikirannya berbanding watak Irfan. Dua watak berbeza ini bukan sahaja mencerminkan sifat dua sahabat, malah seharusnya diimplementasikan dalam figura sendiri.

Dalam hati kita, akan ada emosi yang mengganggu. Hati juga dijamu dengan jalan keburukan dan ketaqwaan. tetapi yang beruntung adalah orang yang memilih jalan kesucian. Ini dibuktikan dalam Al-Quran surah Asy-Syams ayat 8-10, dan tercermin pula pada watak Asid yang berjaya mengelakkan diri dari kefasadan.

Pun begitu, di sebalik kekuatan novel ini, sedikit kekurangan yang boleh diperbaiki ialah rincian yang disertakan dalam buku ini. Kadang-kadang maklumat yang disampaikan agak deskriptif dan teknikal. Watak-watak sampingan yakni pelajar-pelajar Melayu yang disebut namanya di sana-sini juga boleh dikurangkan. Ketika saya membaca novel ini, pembaca boleh terkeliru dengan nama-nama yang banyak. Setiap satunya pula diperincikan dengan jurusan dan tahun pembelajarannya, tambah mengelirukan kadangkala.

Pada awal bab contohnya, pembaca terus diperkenalkan kepada watak yang agak banyak, setiap satunya belum cukup 'dekat' dengan pembaca. Watak-watak utama seperti Asid, Irfan, Syafiq, Erman dan Baha contohnya perlu difokuskan terlebih awal sebelum watak-watak pelajar lain dibabitkan. Setelah pembaca mampu mengikat diri mereka dengan watak utama ini, barulah watak sampingan itu di selitkan sedikit demi sedikit. Atau mungkin juga penulis secara tidak langsung ingin mengatakan bahawa setiap watak itu penting? Hanya penulis saja mampu menjawabnya.

Perkara-perkara kecil juga boleh diperbaiki, antaranya Yusuf, Wafiq dan Harith yang sekejap bertukar ganti dari kata ganti 'saya' kepada 'aku' ketika mereka meluah rasa tentang masa silam mereka, punca mereka memberontak sebegitu rupa pada Irfan, Asid dan rakan-rakan. Dengan penelitian yang lebih, seni penceritaannya pasti lebih sempurna.

Novel ini mengingatkan kita peri pentingnya hidup di bawah wuwungan Allah, dan bagaimana hebatnya jika merengkuh diri kepada sahabat bukan kerana materi, tetapi berpaksi imani. Jika kalian dahagakan curahan tarbiah dari sebuah buku, rengkuhlah Sinergi, nescaya hati akan terisi, Insya Allah.

Friday, 11 March 2011

[reviu buku] Hari- Hari Dalam Hidupku

Penulis : Zainab Al-Ghazali Al- Jubaili

Penterjemah:  Hj. Tahir Daeng Mengati & Mohd. Yamin As-Surur

Mukasurat : 366

Penerbit: Pustaka Salam Sdn. Bhd.


Hari- hari dalam hidupku merupakan kisah benar yang telah ditulis oleh Zainab al-Ghazali al- Jubaili. Apa yang beliau coret merupakan segala pahit, manis liku-liku kehidupan  yang telah beliau  lalui sepanjang tempoh perjuangan beliau menegakkan kebenaran. Berlatarbelakangkan zaman kebangkitan Ikhwanul Muslimin iaitu ketika era pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser.  Beliau yang merupakan salah seorang pemimpin wanita Ikhwanul Muslimin pernah menghadapi beberapa cubaan untuk menjatuhkan beliau termasuk cubaan membunuh, setelah semua perancangan khianat ini tidak berjaya, akhirnya beliau menerima perintah  daripada pihak kerajaan, iaitu:

“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali  al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan keatas seorang lelaki.”

Bayangkan bagaimana perasaan seorang wanita mampu berhadapan dengan seksaan yang pelbagai, dari dipukul dengan cemeti hinggalah direndam didalam penjara berair. Beliau bukan sahaja menghadapi ujian fizikal, bahkan ujian mental apabila beliau sering ditawarkan tawaran untuk menyokong gerakan taghut  dan meninggalkan perjuangan beliau sebagai ketua muslimat Ikhwanul Muslimin. Suka untuk saya garapkan salah satu kepahitan yang telah beliau rasai, peristiwa ini berlaku di bilik tahanan nombor 24 dimana beliau telah dikunci di dalam sebuah bilik yang penuh dengan anjing yang beliau sendiri tidak tahu berapa jumlahnya. Pergantungannya ketika itu hanya pada Allah swt.

“ku baca kalimah demi kalimah. Sedangkan anjing-anjing itu tetap berusaha mencakar-cakar tubuhku. Aku merasakan salakannya memenuhi di atas kepala, di bahu, di punggung, di dada, dan di seluruh tubuhku.’’


“aku menyangka pakaian putih yang aku pakai sudah tentu berlumuran darah. Aku juga yakin bahawa anjing-anjing itu sungguh-sungguh telah mengoyakkan tubuhku. Tetapi aneh! Pakaianku seakan-akan tidak terusik, dan tidak ada bekas cakaran anjing-anjing di tubuhku.’’

Ketika saya membaca kisah ini, air mata saya hampir mengalir kerana betapa berkuasanya Allah swt melindungi siapa yang Dia kehendaki, siapa yang menaruh keyakinan hanya padaNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.  Betapa kentalnya seorang wanita apabila hidup dan matinya hanya kerana Allah swt. Bergaya bukan, membebaskan diri daripada menghambakan diri kepada manusia yang lemah lagi hina lalu mengalihkan seluruh jiwa dan raga kepada Yang Maha Kekal, Yang Maha berkuasa iaitu Allah yang Maha Esa. Buku ini sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat kerana apa yang dikisahkan adalah kisah benar dan kita masih melihat impaknya sehingga kini, tanpa pertolongan Allah swt apakah Ikhwanul Muslimin mampu mengegar dunia dimasa kini? Tanpa pendukung yang yakin pada Allah seperti ini, mampukah Ikhwanul Muslimin menelusuri zaman, membina tampuk perjuangan lantas memarakkan semangat revolusi yang berlaku kini?.  Bukan ikhwanul Muslimin sahaja, tetapi siapa- siapa pun mampu menjadi hebat sebegini andai seluruh hidup dan matinya diserahkan kepada Allah swt. 

Selain itu juga, jalan cerita yang penuh onak dan duri-duri dunia disulami dengan semangat Zainab membuatkan saya bangga dan kagum atas kekuatan zahir dan batin yang beliau miliki, bagaimana beliau boleh memeperoleh kekuatan ini walaupun ditawarkan dengan jawatan yang tinggi, kehidupan yang mewah oleh anjing-anjing Jamal Abdul Nasser. Apabila anda membaca buku ini, tahulah anda dimana kekuatan yang diperoleh beliau dalam mengharungi badai kehidupan yang tidak pernah henti dari memukul dirinya.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (9:111)

Beliau dibebaskan pada tahun 1971. Semangat, kekuatan dan keyakinan yang mantap kepada pertolongan Allah swt dalam meghadapi segala jenis penyeksaan menjadikan beliau teladan (qudwah) kepada generasi pejuang  dalam menegakkan kebenaran di muka bumi ini sehingga hari kiamat.

Anda juga boleh mendapatkan kisah ini dalam bahasa inggeris, judul buku tersebut ialah The Return Of Pharaoh.

Ingin mendapatkan kisah ini dalam bahasa inggeris, klik disini.

Bahasa Melayu: Tiada stok.

Thursday, 10 March 2011

[reviu buku] Israel Is Not Real!

Judul: Israel Is Not Real: Negara Palsu di Tanah Rampasan
Penulis: Anwar M. Aris
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 152
Harga: RM18.00

Tatkala bom dan ledakan fosforus putih menyelubungi Gaza seperti cerawat-cerawat dari langit pada hujung 2008, media dari pelbagai negara terus mewara-warakan tragedi ini sebagai 'konflik Israel-Palestin' yang tak berpenghujung. "Konflik", bukankah itu satu propaganda dunia!? Tidak sepatutnya wujud perkataan itu dalam kamus umat Palestin. Dan kita terus-terusan juga menggunakan istilah itu apabila menceritakan krisis yang melanda umat Gaza. Sedar atau tidak, kata-kata itu melambangkan yang kita telahpun mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Sedangkan, Israel hanyalah perampas tanah orang. Tanah suci umat Islam umumnya; umat Islam Palestin khususnya. Penulis mencanangkan idea ini untuk mengingatkan kita letak duduk perkara sebenar, dan peranan media kini dalam memutarbelit isu. Mungkin nampak remeh, tetapi sedarlah ini satu penghinaan!

Buku ini menelusuri perjalanan umat Yahudi dalam membentuk sebuah negara sendiri. Bermula dengan idea yang dikemukakan oleh seorang lelaki Yahudi bernama Theodore Herzl, idea pembentukan ini diteruskan tahun demi tahun walaupun dia telah mati. Setelah beberapa lama berusaha, akhirnya atas bantuan England, mereka berjaya masuk ke bumi Palestin dan mengganyang negara tersebut. Orang-orang Islam di Palestin terpaksa menjadi pelarian. Dan dari situ bermulalah projek 'pemenjaraan' orang Islam di tanah mereka sendiri. Penjara terbesar di dunia!

Menggamit semula tragedi bersejarah itu, sejujurnya tindakan dan usaha-usaha negara-negara jiran seperti Mesir, Jordan, Syria dan lain-lain untuk menentang pembentukan Israel ketika itu wajar sekali dipuji. Mereka sedaya upaya menentang Israel dengan segala kelengkapan perang yang ada. Perang 6 hari, Perang Abu-Ageila, dan pelbagai lagi perang, kecil ataupun besar berlarutan demi mempertahankan negara umat Islam. Semangat yang kuat dan mendalam akhirnya membawa kepada pembentukan Hizbullah yang membawa gelombang baru penentangan Israel.

Tetapi, sekarang fenomenanya adalah sangat berlainan. Pengkhianatan demi pengkhianatan berlaku. Awal 2009 melihat Mesir tidak mahu membuka sempadan mereka demi menyelamatkan warga Palestin yang tercedera. Lebih menyedihkan, Presiden Mesir Hosni Mobarak sendiri mahukan Israel meledak Gaza. Januari tahun yang sama, Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz As-Syaikh mengharamkan pengecaman ke atas Israel. Orang Arab sendiri, umat Islam khususnya, langsung tidak memberi sokongan kepada Palestin malah lebih teruk lagi menyokong Israel?

Saya masih ingat lagi, isi sebuah buku yang saya baca lama dulu, tajuknya Gerakan Freemasonry: Musuh dalam Menghancurkan Islam oleh Hj. Nik Azran Muhamed dan Hj. Mohd Mahadi Isa. Ketika pemimpin Hamas Syeikh Ahmad Yassin masih hidup, dia melontarkan teguran sinis dalam sebuah amanatnya-- teguran khusus terhadap orang-orang Arab yang hanya berdiam diri, dan bersikap endah tak endah akan isu Palestin ini. Beliau berkata,

"...sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini). Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali mereka menggerakkan (kerusi roda)ku. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah? Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kaliandiam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa??" (hal. 19-26, Gerakan Freemasonry)

Harus diingat, biarpun 'cili' ini khusus untuk 'dimakan' bangsa Arab, kita sebagai umat Islam wajar 'terasa pedasnya' yang tanah suci ketiga kita dirampas sewenang-wenangnya. 


Buku ini juga antara lain memuatkan prakata oleh Dr. Syamsuddin Arif yang menceritakan pengalamannya sedari dalam kapal terbang dari Frankfurt ke Tel Aviv sehinggalah jejak-jejaknya di bandar tersebut. Buku ini terbahagi kepada 3 episod, episod pertama mengenai tangga-tangga menuju penubuhan Israel melalui usaha Founding Father Theodore Herzl, episod 2 ketika berlangsungnya pelbagai perang sekitar Tanah Arab setelah Israel menjejakkan kakinya di Palestin, dan episod akhir mengandungi isu-isu semasa berkenaan reaksi masyarakat dunia terhadap tragedi yang melanda Palestin.

Terkenang pula lawatan saya ke Muzium Negara satu masa dulu, yang mengadakan pameran khas kemerdekaan mengenai Rentetan Darurat di Tanah Melayu bermula 1948. Ketika itu masayarakat Malaya dibunuh, tempat tinggal dihancurkan, dan bas dan keretapi dibakar dan dimusnah. Dan saya teringat...

...seperti itu juga, bermula tahun yang sama kita diisytihar darurat, Yahudi yang jahat itu membina negara haramnya di Palestin!

Tunjukkan solidariti kita, laungkan bahawa Israel IsNOTReal!

Thursday, 3 March 2011

[reviu buku] 65 Kisah Sahabat

Penulis: Dr. Abdul Rahman Ra'fat al-Basha
Dijual di kedai Ikram WM
harga: £5 sejilid.

Assalamualaikum
Alhamdulillah, baru –baru ini Allah telah beri kesempatan untuk saya membaca  buku 65 Kisah Sahabat, buku ini mempunyai dua jilid, iaitu jilid pertama dan kedua. Kisah –kisah sahabat yang diketengahkan sangat menarik kerana keluhuran sikap , keimanan dan ketaqwaan mereka. Seperti yang kita tahu, golongan ini adalah ‘core group’ pada proses dakwah yang berlaku suatu ketika dahulu, kecekalan dan ketabahan mereka dalam meyebarkan Islam memberi motivasi pada pembaca, menanam rasa ingin mencontohi mereka dan membakar semangat untuk menruskan usaha-usaha murni mereka dalam menyebarkan Islam. Cara penulis menceritakan kisah para sahabat ini juga sangat menarik kerana jalan ceritanya pendek, mudah difahami dan mempunyai nilai moral yang tinggi. Antara kisah- kisah sahabat yang dimuatkan dalam dua jilid buku ini ialah : Abu Zarr Al Ghiffari, Ikrimah bin Abu Jahal, Abu Ayyub al- Anshori dan banyak lagi. 

Disini saya memetik salah satu bahagian dari kisah sahabat- sahabat yang ada, iaitu sahabat Rasulullah yang bernama Abu Darda’. Pada suatu hari, ada seorang pemuda meminta nasihat daripada beliau, lalu beliau pun memberi nasihat pada pemuda tersebut, nasihat tersebut ialah:

1)WAHAI ANAKKU! INGATLAH ALLAH KETIKA SENANG, NESCAYA DIA AKAN MENGINGATIMU SEWAKTU KAMU SUSAH.

2)WAHAI ANAKKU! JADILAH SEORANG YANG BERILMU ATAU SEORANG YANG BELAJAR ATAUPUN SEORANG YANG MENDENGAR ILMU. JANGAN KAMU JADI ORANG YANG KEEMPAT(IAITU ORANG YG JAHIL),KERANA KAMU AKAN BINASA..

3)WAHAI ANAKKU, JADIKANLAH MASJID SEBAGAI RUMAHMU, SESUNGGUHNYA SAYA TELAH MENDENGAR RASULALLAH S.A.W BERSABDA:
"MASJID-MASJID ITU ADALAH RUMAH SETIAP ORANG YG BERTAQWA'' ALLLAH S.W.T TELAH MEMBERI JAMINAN KELAPANGAN,KERAHMATAN DAN DAPAT MELINTASI TITIAN SIRAT MENUJU KEREDHAANYA KEPADA SESIAPA YANG MENJADIKAN MASJID SEBAGAI RUMAH MEREKA.


Pada saya buku ini perlu dimiliki oleh setiap orang kerana isi kandungannya yang mantap, nilai moralnya yang tinggi, mudah dibawa kemana-mana dan sesuai dijadikan sebagai buku silibus usrah.

Bagaimana untuk mendapatkan buku ini? jangan risau, kami pihak IKRAM WM mempunyai stok buku ini dan menjualnya dengan harga yang berpatutan, berminat? Sila klik pada tab Kedai IKRAM WM atapun pada link ini. Semoga kita bersama- sama mendapat faedah  di dunia dan juga akhirat.

Wednesday, 16 February 2011

[ reviu buku] Syamail Muhammad S.A.W


Alhamdulillah,kita masih diberi peluang untuk bernafas dan menjalani kehidupan kita di bumi Allah.
Sedikit perkongsian - apa yang menariknya buku di atas?

Apa yang menariknya buku ini ialah, buku ini mengenai kehidupan peribadi Rasulullah dari segi lahir dan batin,sebanyak 56 keperibadian Baginda dimuatkan dalam buku ini. Buku ini menceritakan peribadi baginda melalui 5 aspek iaitu,

FIZIKAL- Tanda kenabian, rambut, uban, celak, pakaian, aksesori, kasut, sandal dan sebagainya.

PERILAKU- cara berjalan, duduk, bersandar, tidur, makan, minum dan buah-buahan.

IBADAH- Wuduk, doa, wangi-wangian,puasa dan membaca Quran.

PERHUBUNGAN DAN AKHLAK- berbicara, ketawa, bergurau dan bersyair

PENGHIDUPAN - Nama-nama Rasulullah, penghidupan, usia, kewafatan, warisan dan mimpi melihat Rasulullah.

Banyak yang diceritakan dalam buku ini melalui hadis-hadis yang diriwayatkan oleh insan-insan yang dekat dengan Baginda antaranya Anas b Malik (khadam baginda), Ummu Salamah, Aisyah r.a dan ramai lagi.

Sedikit bingkisan hadis mengenai keperibadian baginda yang saya ambil secara rawak, (sebab semua menarik). :)

Abdullah bin Harits bin Jaza’ r.a meriwayatkan
Maksudnya: "Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih tersenyum daripada Rasulullah saw."
(riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Aisyah meriwayatkan,
Maksudnya: "Sebisa mungkin, Rasulullah mendahulukan anggota sebelah kanan, ketika menyisir rambut, menggunakan sandal dan ketika bersuci"
(riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dan Ahmad)

Jabir bin Abdullah meriwayatkan,
Maksudnya: "Nabi saw.mengenakan cincin di jari tangan kanan beliau."
(riwayat Tirmidzi dan Abu Syaikh)

Apa yang menariknya buku ini ialah, buku ini sesuai untuk semua lapisan umur dan sesuai untuk semua peringkat masyarakat. Buku ini sesuai dijadikan bahan tazkirah pendek, salah satu hidangan ringan ketika minum petang dan topik perbincangan di waktu lapang :). Bagi yang mempunyai anak, buku ini sesuai untuk menggantikan buku Cinderella, Snow White sebagai bedtime story, insyaAllah, memupuk anak-anak kecil mencintai Baginda bak kata pepatah melayu, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Bagi yang mempunyai sahabat yang kurang rajin membaca (rasanya kita semua rajin kan, he he), bolehla membacakan salah satu hadis untuk diperdengarkan oleh sahabat tersebut, sebelum beliau tidur juga.

Nampaklah sedikit comel buku ini bukan?

Secara kesimpulannya, buku ini memang diwujudkan di muka bumi ini untuk kita mendekatkan diri kepada Rasulullah saw yang kita rasa semakin jauh kerana kita tidak dapat membayangkan keperibadian baginda. Disamping itu juga, buku ini boleh menjadi contoh teladan pada kita dan akhir sekali menjadi penawar rindu pada kita semua selaku umat akhir zaman yang sangat-sangat ingin mencintai Rasulullah saw. Berkesempatan pulang ke Malaysia musim panas nanti, rajin-rajinlah mencari buku ini. Terbitan Telaga Biru. Selamat membaca!

dikemaskini dari msmwestmidlands.wordpress.com (Post asal di sini)