Wednesday, 16 February 2011

[ reviu buku] Syamail Muhammad S.A.W


Alhamdulillah,kita masih diberi peluang untuk bernafas dan menjalani kehidupan kita di bumi Allah.
Sedikit perkongsian - apa yang menariknya buku di atas?

Apa yang menariknya buku ini ialah, buku ini mengenai kehidupan peribadi Rasulullah dari segi lahir dan batin,sebanyak 56 keperibadian Baginda dimuatkan dalam buku ini. Buku ini menceritakan peribadi baginda melalui 5 aspek iaitu,

FIZIKAL- Tanda kenabian, rambut, uban, celak, pakaian, aksesori, kasut, sandal dan sebagainya.

PERILAKU- cara berjalan, duduk, bersandar, tidur, makan, minum dan buah-buahan.

IBADAH- Wuduk, doa, wangi-wangian,puasa dan membaca Quran.

PERHUBUNGAN DAN AKHLAK- berbicara, ketawa, bergurau dan bersyair

PENGHIDUPAN - Nama-nama Rasulullah, penghidupan, usia, kewafatan, warisan dan mimpi melihat Rasulullah.

Banyak yang diceritakan dalam buku ini melalui hadis-hadis yang diriwayatkan oleh insan-insan yang dekat dengan Baginda antaranya Anas b Malik (khadam baginda), Ummu Salamah, Aisyah r.a dan ramai lagi.

Sedikit bingkisan hadis mengenai keperibadian baginda yang saya ambil secara rawak, (sebab semua menarik). :)

Abdullah bin Harits bin Jaza’ r.a meriwayatkan
Maksudnya: "Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih tersenyum daripada Rasulullah saw."
(riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Aisyah meriwayatkan,
Maksudnya: "Sebisa mungkin, Rasulullah mendahulukan anggota sebelah kanan, ketika menyisir rambut, menggunakan sandal dan ketika bersuci"
(riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dan Ahmad)

Jabir bin Abdullah meriwayatkan,
Maksudnya: "Nabi saw.mengenakan cincin di jari tangan kanan beliau."
(riwayat Tirmidzi dan Abu Syaikh)

Apa yang menariknya buku ini ialah, buku ini sesuai untuk semua lapisan umur dan sesuai untuk semua peringkat masyarakat. Buku ini sesuai dijadikan bahan tazkirah pendek, salah satu hidangan ringan ketika minum petang dan topik perbincangan di waktu lapang :). Bagi yang mempunyai anak, buku ini sesuai untuk menggantikan buku Cinderella, Snow White sebagai bedtime story, insyaAllah, memupuk anak-anak kecil mencintai Baginda bak kata pepatah melayu, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Bagi yang mempunyai sahabat yang kurang rajin membaca (rasanya kita semua rajin kan, he he), bolehla membacakan salah satu hadis untuk diperdengarkan oleh sahabat tersebut, sebelum beliau tidur juga.

Nampaklah sedikit comel buku ini bukan?

Secara kesimpulannya, buku ini memang diwujudkan di muka bumi ini untuk kita mendekatkan diri kepada Rasulullah saw yang kita rasa semakin jauh kerana kita tidak dapat membayangkan keperibadian baginda. Disamping itu juga, buku ini boleh menjadi contoh teladan pada kita dan akhir sekali menjadi penawar rindu pada kita semua selaku umat akhir zaman yang sangat-sangat ingin mencintai Rasulullah saw. Berkesempatan pulang ke Malaysia musim panas nanti, rajin-rajinlah mencari buku ini. Terbitan Telaga Biru. Selamat membaca!

dikemaskini dari msmwestmidlands.wordpress.com (Post asal di sini)

No comments: