Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Tuesday, 4 October 2011

Air Teh Itu Tidak Manis!!!!

Anda suka minum teh? Yaa..Saya yakin majoriti anda semua termasuklah diri saya sendiri sangat gemar minum teh.. Lebih-lebih lagi dalam cuaca UK yang sejuk-sejuk nyaman begini,membaca novel cinta (baca:lecture note) sambil menghirup secawan teh panas memanglah satu aktiviti yang sangat mengasyikkan! Lagi feel kalau biskut custard atau biskut Bourbon turut hadir bersama..hehe..

Ok,sekarang saya mahu mengajak pembaca semua untuk menjalankan satu eksperimen, kita namakan eksperimen itu “Eksperimen Teh Lipton”..

Bahan dan radas: Air panas, teh uncang Lipton, gula pasir, cawan, sudu.

Sila ikut arahan seperti yang tertera:

1st Step: Tuangkan 250ml air panas kedalam cawan..

2nd Step: Masukkan satu uncang teh Lipton kedalam cawan itu,biarkan selama beberapa ketika dan kemudian keluarkan uncang itu..

3rd Step: Masukkan 2 sudu teh gula kedalam cawan itu..

4th Step: Minum air tersebut!

****************************************************

Apakah yang anda dapat rasa?


“Eiksss!! Apasal teh ni rasa kelat dan tawar?? Tak rasa manis pon! Takde gula ke dalam air teh ni..Rasanya aku dah letak gula tadi..Ke gula yang aku letak ni memang jenis gula yang tak manis?” Monolog anda bersendirian..

Hurm, setelah anda bermuhasabah kembali step-step yang telah anda lakukan sebentar tadi,barulah anda tersedar yang anda terlupa satu step penting dalam proses pembuatan air teh tersebut, yakni step mengacau (STIR) gula dalam air teh tersebut sebelum diminum.

Hah, setelah anda mengacau gula dalam air teh tersebut secukupnya,barulah anda dapat merasakan betapa manisnya gula dalam teh tersebut.. :)

Dan sekarang,bolehlah anda menikmati teh tersebut sambil menikmati biskut Bourbon bersama rakan-rakan anda yg tersayang.. :D

***************************************************

Cuba kita sama-sama renungkan.. Kita sering mendengar kata-kata hikmah "iman itu manis, lebih manis dari gula","nikmat iman itu cukup lazat", dan sebagainya..Kita semua umat Islam, Insya Allah mempunyai iman (samada lemah ataupun kuat) dalam diri kita, tapi yang peliknya tak dapat pun nak merasai kemanisan iman itu sendiri.. Kenapa ya?

Berbalik kepada eksperimen Teh Lipton itu tadi, kita dapat lihat, walaupun gula itu berada di dalam air teh itu, tapi kalau kita tak mengacau gula tersebut, kita takkan dapat rasa kemanisan gula dalam air teh tersebut..Tak kira lah, berapa banyak sudu gula pun kita masukkan, kalau kita tidak mengacau gula tersebut, air teh tersebut tetap takkan rasa manis! Selepas kita dah mengacau gula tersebut, dan gula itu melarut dalam air teh, kemudian barulah kita dapat merasakan KEMANISAN GULA tersebut..

Samalah juga halnya dengan iman..Iman itu ada dalam diri kita setiap Muslim Insya Allah, Jika kita hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa, maka sukarlah kita untuk merasai iman tersebut..Tetapi setelah kita BERTINDAK untuk mengusahakan iman tersebut, INSYAALLAH, iman itu akan ’melarut’ ke dalam seluruh anggota tubuh badan kita dan hasilnya kita akan dapat merasai KEMANISAN IMAN tersebut..
USAHA ATAS IMAN.. Itulah kuncinya..


Bagaimana caranya?

Baaaanyakkk sangat caranya! Dari sekecil-kecil amalan,hinggalah ke sebesar-besar amalan.. Tilawah Quran, bersedekah, solat jemaah dimasjid, ajak kawan-kawan kepada kebaikan, zikir etc,etc,etc.. Semua itu merupakan antara cara-cara untuk mengusahakan iman dalam diri kita.. Dan yang paling penting, jangan lupa untuk berdoa kepada ALLAH agar Allah mengurniakan nikmat kemanisan iman tersebut kepada kita semua insyaAllah.. Bukankah Allah itu pemilik kepada segala sesuatu?:)

JOM! Sama-sama azam untuk USAHA atas IMAN kita!:D

InsyaAllah..(^.^)V

Sama-samalah kita hayati hadis ini..

Hadis Anas r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.
(Riwayat Muslim)

Wallahua’lam..:)

kredit gambar di sini dan sini.

Sunday, 14 August 2011

90% cinta.

Nabi Muhammad saw. Dakwah baginda penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan menyantuni mad’unya sepenuh hati walaubagaimanapun sifat dan sikap mad’unya. Abu Bakar yang lemah lembut, Umar yang tegas, Uthman yang pemalu dan ramai lagi sahabat-sahabat baginda yang berbeza perwatakannya, namun bersatu dalam tujuan yang sama. Dengan akhlak baginda yang indah inilah membuatkan para sahabat sangat mencintai baginda.

Ada satu kisah yang sangat menyentuh perasaan akan cinta sejati terhadap baginda. Mari kita telusuri kisah ini.
Suatu ketika, Umar sedang berjalan bersama Nabi saw. Saat itu Nabi saw memegang tangan Umar dan berjalan, baginda ingin melunakkan hati Umar al Khattab. Umar merasa hairan akan perbuatan baginda, lantas beliau berkata,

“ Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu melainkan diriku.”

Mendengar kata-kata Umar, Rasulullah ingin memberi pengajaran  kepada Umar dan untuk kita semua akan cinta sejati terhadap baginda. Maka Nabi saw. bersabda;

“ Tidak (tidak sempurna imanmu), demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sampai aku lebih engkau cintai berbanding dirimu sendiri”

Lalu, umar berkata kepadanya,

“ sungguh, sekarang demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”

Maka Baginda berkata,

“sekarang (telah sempurna imanmu), wahai Umar.” [1]

Perhatikan kisah di atas, bagaimana Nabi tidak redha dengan cinta  Umar yang hanya 90%. Itulah cinta Umar , dia jujur dan berterus terang dengan apa yang dikatakannya. Bukan mudah untuk mencintai Allah dan RasulNya, namun setelah baginda memberitahu pada beliau dan kita semua apakah itu cinta terhadapNya, Umar pantas berkata, dia mencintai Baginda melebihi dirinya sendiri. Namun cinta ini tidak akan terlaksana dengan semudah lisan sahaja tanpa cinta itu wujud dalam hati dan teraplikasi dalam amalan.

Mengapa perlu mencintai Baginda melebihi diri sendiri?

Melalui kisah di atas, dalam masa yang singkat Umar terus mengubah cintanya yang hanya 90% kepada peratus yang melebihi dirinya sendiri.

Abdullah b Umar, anak beliau pernah bertanya kepada Umar sendiri tentang rahsia perubahan ayahnya yang cepat dan bagaimana ianya boleh berlaku. Lantas Umar menjawab;

“ Aku bertanya kepada diriku sendiri, kepada siapa  yang ia lebih perlukan, kepada engkau (diri Umar) ataupun  kepada Rasulullah? Maka aku mendapati bahawa aku dahulu dalam kesesatan, jika Allah tidak memberi aku petunjuk kepadaku melalui  Rasulullah, pastilah aku sesat sampai mati. Kemudian aku mengingat kejadian hari kiamat, dan bahawasanya aku tidak akan masuk syurga dengan amalanku, tetapi dengan cintaku kepada Rasulullah. Dengannya aku tahu, aku lebih banyak memerlukan Rasulullah daripada diriku sendiri, maka aku lebih mencintainya melebihi diriku sendiri.”

Begitulah perbualan antara Umar dan putra beliau. Melalui apa yang Umar fikirkan melalui cintanya, kita dapat melihat bahawa Umar ini seorang yang sering memuhasabah diri, berdialog dengan diri akan nasibnya di dunia dan akhirat kelak.

Akhir sekali, di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah saw. Terdapat beberapa faktor yang mampu membantu kita mencintai baginda, secara ringkasnya;
1-  Memperbanyak mengucapkan salam dan selawat kepada Baginda.
2-  Membaca, menghayati dan mempelajari sejarah Nabi saw.
3-  Mengikuti amalan sunnahnya
4- Menziarahi kotanya, Madinah al-Munawwarah.

Masjid Nabawi, Madinah.

 Salam Ramadan, sepuluh  malam fasa kedua kini bersama kita. Fasa ini adalah fasa yang disebut Maghfirah  iaitu fasa pengampunan.


Glosari
Mad'u : Objek dakwah, yang  di dakwah.
Maghfirah: pengampunan

1 Shahih Al-Bukhari, Kitab al Iman wa an nudzur, hadis no. 6142

Rujukan: Amru Khalid, Belajar Hidup Dari Hidup Rasulullah saw.

Monday, 20 June 2011

Dakwah Aulad: Antara Isi dan Kreativiti

"Why do muslim women cover their leg?"
"Why do muslim men wear a special hat?"
"Why do we need God?"
"Why do you pray five times a day?"
"Why do women cover their head?"

Inilah antara soalan yang bertubi-tubi ditanya oleh adik-adik kecil Year 2 dari Raddlebarn School. Alhamdulillah,  pada Khamis, 16 Jun 2011 yang lalu, kami selaku anak-anak muda Malaysia Selly Oak telah berkesempatan untuk menyertai program lawatan sambil belajar adik-adik comel ini ke Jalalabad Mosque. 

"Ada soalan?" Terus beberapa tangan diangkat.
Ingin cuba menjawab, tidak takut salah

Disebabkan lawatan yang telah dirancang antara pihak Raddlebarn School dan Imam Jalalabad Mosque ini merupakan program pertama kali seumpamanya dianjurkan di masjid ini, pihak masjid sejak awal lagi telah melakukan persiapan yang rapi untuk menyambut tetamu-tetamu kecil ini. Islam yang indah perlu ditonjolkan, terutama kepada insan kecil yang sentiasa menilai selepas memerhatikan. Beberapa hari sebelum lawatan, skrin untuk LCD projector telah mula diangkut ke sana ke mari di dalam masjid untuk menentukan lokasi terbaik untuk tayangan video. Ada pula anak muda yang ditugaskan untuk ke Green Lane Mosque di Coventry Road untuk bertanya dan belajar daripada masjid yang berpengalaman mengendalikan program seumpama ini, selain mengambil salinan video dan bahan-bahan yang sesuai untuk dipersembahkan kepada anak-anak yang bakal datang nanti.

Sehari sebelum lawatan bersejarah ini pula, pihak masjid dengan kerjasama pemuda-pemuda di Selly Oak ini telah bergotong-royong membersihkan ruang wudhu' dan perkarangan masjid supaya lebih bersih dan kemas. Pada malamnya, mereka yang terlibat secara langsung untuk penyampaian telah beberapa pusingan melakukan latihan bagi melancarkan interaksi mereka dengan anak-anak kecil itu keesokan paginya. Pendek kata, persediaan yang dilakukan serba-serbi lengkap demi memastikan imej Islam ditunjukkan sebaik mungkin. Brother Abdul Latif, seorang pemuda Arab dalam lingkungan 40-an telah mengetua proses persiapan ini A to Z, berdasarkan pengalaman berharganya berguru dengan Sheikh Ahmad Deedat lebih kurang 20 tahun yang lalu. MashaAllah!

Bersama sukarelawan yang terlibat

Seawal 9 pagi, sukarela yang berjanji untuk hadir memberi bantuan telah mula berkumpul di masjid. Beberapa orang sisters juga telah diundang untuk membantu, terutamanya dalam interaksi dengan guru-guru sekolah yang semuanya perempuan. Antara yang turut meluangkan masa adalah seorang sister undergraduate dan Kak Ainol, isteri kepada seorang postgraduate di sini yang memang tidak dinafikan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan komuniti local di Selly Oak ini. Tambahan pula, anak gadisnya kini bersekolah di Raddlebarn School juga, tetapi dalam Year 6. Dua lagi sisters yang turut membantu adalah reverts, yang kemudiannya telah diminta oleh Brother Abdul Latif menjadi penyampai utama di hadapan anak-anak kecil itu. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa Islam tidak menyekat golongan hawa daripada ke hadapan dalam bidang tertentu, terutamanya pendidikan, dan secara tidaklangsung membuang tanggapan masyarakat barat terhadap kedudukan wanita dalam Islam.

Tepat jam 10 pagi, anak-anak Year 2 itu tiba di perkarangan masjid, dengan diiringi oleh empat orang guru mereka yang sangat profesional. Antara yang amat mengagumkan dan boleh dipelajari daripada guru-guru ini adalah cara mereka mengawal anak-anak kecil itu, yang sudah pastinya sangat aktif dan banyak kerenahnya. Marah, tengking bukan caranya. Pukul, rotan jauh sekali! 


"Children, line up please." Dalam suasana yang riuh, hampir semua tidak mengendahkan arahan si guru.

"Alright, let's see who can put their eyes on me. Yes, I can see Daniel (contoh) is looking at me. He is so good! Who else? Amy (contoh) has stopped chatting and now looking at me too. Excellent!..."

 Dengan penuh hikmah si guru menarik perhatian anak-anak muridnya, sekali gus menenangkan suasana yang tadinya huru-hara. Naluri si kecil yang sukakan persaingan (siapa yang menoleh ke arah cikgunya dahulu) diraikan, dan si guru amat faham yang kemarahan hanya menimbulkan pemberontakan dan mengeruhkan lagi suasana. Bagaimana pula di Malaysia negara tercinta kita?

Kembali kepada soalan-soalan 'panas' yang ditanyakan anak-anak kecil bijak pandai tadi. Dalam konteks dakwah kepada anak-anak ini, isi jawapan yang tepat tidak cukup, tetapi cara menjawab yang betul amatlah penting. Seorang da'ie perlu bijak 'membaca' mad'unya. Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah da'ie terbaik amat berhati-hati dalam kata-katanya apabila berhadapan dengan individu yang berlainan kapasiti intelek dan pemahaman. Alhamdulillah, sukarela yang hadir telah menjawab semua soalan-soalan ini dengan baik, menggunakan approach yang menarik, dan kelihatannya memuaskan hati si penanya dan hadirin yang lain. Apa jawapannya? Jika anda yang ditanya, apakah jawapan anda? Tepuk dada, tanyalah diri, sudah cukupkah ilmu Islam yang ditimba dan difahami. Jika belum, adakah masih bergoyang kaki?

Sesi pembentangan diakhiri dengan kuiz tentang video yang ditayangkan sebelumnya. Geli hati juga mendengarkan jawapan-jawapan anak-anak kecil itu. Masing-masing berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab, walaupun tidak pasti sama ada jawapan di kepala betul atau tidak. Malah ada yang tiada jawapan pun, tetapi turut berebut ingin menjawab!

"God in Islam is called.....?"
"Me" "Me" "Me" Hampir semua mengangkat tangan ingin menjawab.
"Ale?" "Sorry young man, that's so close! Good! Anyone else?"
"Ani?" "Ops, that's a bit far from the answer. Try again!"
"Is it Anu?" Semua orang gelak kelucuan. "Sorry dear, it's not what I'm looking for."
"It's Allah." Akhirnya seorang adik kecil berkulit hitam menjawab malu. MashaAllah, sebutannya sempurna!

Banyak lagi soalan yang ditanya, dan setiap satunya dijawab dengan baik oleh anak-anak cerdik itu. Ada beberapa anak-anak Muslim yang sangat ghairah ingin menjawab soalan, tetapi peluang yang sama rata diberikan kepada anak-anak lain yang 'belum Islam' tetapi tidak mahu kalah! Teringat pula dengan anak-anak dan adik-adik kita di Malaysia. Apabila ditanya, berat sekali untuk tangan itu diangkat, apatah lagi hendak menjawab. Budaya 'takut salah' sudah ditanam dalamjiwa mereka sejak kecik lagi. Lebih teruk apabila guru tidak pandai memotivasikan dan menggalakkan anak-anak muridnya untuk memberi pendapat, bertanya soalan dan menjawab soalan dengan bebas, penuh berani dan yakin! Apatah lagi apabila perguruan menjadi profesyen sampingan atau pilihan terakhir dalam senarai cita-cita dan pekerjaan impian di Malaysia. Kalau tidak dapat masuk universiti, masuklah maktab perguruan; jika keputusan SPM teruk, jadi cikgulah! Mangsanya adalah anak-anak kita, generasi hadapan yang menjadi tunggak ummah!



Setelah kurang lebih 45 minit bersama, anak-anak itu perlu pulang berjalan kaki semula ke sekolah untuk menyambung sesi pembelajaran mereka. Sebagai kenang-kenangan, setiap satunya termasuklah para guru yang mengiring, telah diberikan bungkusan makanan ringan dan cenderahati, sebelum mereka beratur kemas secara berpasangan, keluar dari ruang solat masjid, mengenakan kembali kasut yang kebiasaanya tidak dicabut apabila masuk ke rumah sendiri, dan beredar sambil melambai manja kepada kami. Alhamdulillah, kepuasan jelas terbayang di raut wajah setiap daripada mereka, seperti juga kami yang bersyukur dan puas belajar pelbagai perkara berharga daripada sesi pendek bersama mereka.

Moga amal yang tidak seberapa ini Allah terima, dan moga manfaat yang diperoleh menjadi panduan pada hari muka insyaAllah. Konsep 'aku hamba' harapnya semakin jelas difahami, kerana pengalaman berharga ini banyak memuhasabah diri, yang tanpa Allah, tiadalah ia bererti.

Wallahua'lam.

Tuesday, 8 March 2011

Ujian dan Dugaan

Bismillah ar- Rahman ar – Raheem,

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang,

Ujian itu sinonim dengan kehidupan, andai tiada ujian, tiadalah kehidupan. Ujian itu luas, ada yang diberi ujian melalui nikmat ada pula yang diberi ujian melalui keperitan, kepayahan dalam menjalani kehidupan.

exam di dunia, sangatla berserabut kepala ni kan,
tetapi , apabila dapat keputusan yang cemerlang, maka hilanglah penat lelah yang ada.
Begitulah juga ujian dari Allah yang Maha Esa seandainya kita dapat mengharunginya,
pasti ada ganjaran disebaliknya.=]
kredit gambar

Firman Allah SWT:

Setiap yg bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dgn keburukan dan kebaikan sbg cobaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami. [Al-Anbiya':35]

Mengapa aku diuji? Acapkali soalan ini menjelma tatkala merasa diri diuji olehNya. Allah itu Maha Penyayang, lalu dengan penuh kasih sayang Allah ceritakan pada hamba-hambaNya mengapa mereka diuji melalui kalam suci al-Quran dan hadis yang berkaitan, mari kita selongkar apakah yang Allah mahu kita lihat melalui mata  hati.

1) Apakah manusia mengira bahawa mreka akn dibiarkan hanya dengan mengatakan , “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?[Al-Ankabut:2]

Ujian itu diturunkan untuk Allah menguji hamba-hambaNya yang beriman. Pastilah tidak cukup andai iman itu hanya diucap melalui lidah yang tidak bertulang ini andai tiada amalinya, bagaikan pasangan kekasih, mahukah pasangan kekasih menerima cinta yang hanya melalui kata- kata tetapi perbuatan tidak mencerminkannya? wah, cinta Allah itu melebihi segalanya untuk kita raih, maka bersedialah!

2) Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun, [Al-Mulk:2]

Hidup ini juga umpama pencapaian kita di universiti ataupun dimana-mana sahaja kolej, sekolah yang ada persaingannya, pasti ada ujian untuk kita melihat dimanakah tahap kecemerlanagan kita, maka analoginya kehidupan ini juga Allah susun begitu, ujian dan dugaan itu umpama peperiksaan untuk melihat antara hamba-hambaNya, siapakah yang paling cemerlang?. Ujian juga merupakan galakan untul kita fastabiqul khairat yang membawa maksud berlumba-lumba dalam kebaikan.

4) Dan tidak ada kekuasaan (Iblis) terhadap mereka, melainkan hanya Kami dapat membezakan siapa yang beriman kepada adanya akhirat dan siapa yg masih ragu-ragu tentang (akhirat) itu. Dan Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu. [Saba':21]  

Ujian juga merupakan salah  satu medium untuk Allah membezakan siapakah dari kalangan hamba-hambaNya yang beriman ataupun ragu-ragu akan hari akhirat. Hamba- hamba Allah yang sabar dan bersyukur dalam menghadapi ujian juga akan terpelihara dari godaan syaitan yang  sudah berjanji akan menyesatkan umat manusia dari umat nabi Adam hinggalah kita, umat nabi Muhammad umat akhir zaman.

5) Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yg berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar. [Al-Imran:142]
Harga syurga itu sangatlah mahal dan kita tidak akan mampu masuk syurga dengan hanya amalan-amalan kita, tetapi rahmat Allah yang Maha Pengasih menentukan segalanya. Allah menurunkan ujian untuk menilai hamba-hambaNya yang manakah sabar, sanggup berjihad, tenang dan bersyukur apabila dicuit sekelumit ujian. Apabila diuji, apakah mereka ini melakukan segala perbuatan hanya kerana Allah swt? ataupun berpaling jauh dari jalanNya? 

Melalui ayat-ayat Quran ini, dapat kita lihat Allah menurunkan ujian untuk melihat hamba-hambaNya, adakah hamba-hambaNya sabar, terus berjihad dan melakukan kebaikan, percaya adanya syurga & neraka, hari pembalasan ataupun memalingkan diri dari mengimani Allah swt.

Doa, sabar dan tawakkal pada Allah apabila ujian tiba,
sentiasa motivasikan diri dengan kisah- kisah dalam Quran akan ujian dan
dugaan yang telah menimpa mereka yang terdahulu.
Acapkali juga kita dengar bahawa makin banyak ujian, makin Allah sayang pada hambaNya, makin Allah ingin mendengar rintihan melalui doanya, makin Allah rindu pada esak tangisnya yang hanya pada Allah swt.

Mari kita lihat hadis pula untuk menyelongkar apakah itu ujian dari Allah.

1) Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka dia diuji (dicoba dengan suatu musibah). (HR. Bukhari)

2) Tiada seorang mukmin ditimpa rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Bukhari)


3) Sa’ad bin Abi Waqqash berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah Saw, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cobaannya?” Nabi Saw menjawab, “Para nabi kemudian yang meniru (menyerupai) mereka dan yang meniru (menyerupai) mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau agamnya tipis (lemah) dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa. (HR. Bukhari)

ujian itu tanda Allah sayang pada hambaNya=]
kredit gamba
Melalui hadis- hadis ini dapatlah kita lihat bahawa Allah tidak menurunkan ujian pada hamba-hambaNya tanpa melihat pada kemampuan hamba-hambaNya, Allah juga menurunkan ujian kerana kasih sayangNya. Allah ingin mengampuni dosa-dosa hamba-hambaNya, memberi kebaikan pada kita melalui ujian.

Hati ini mudah berbolak balik apabila ditimpa ujian, maka marilah kita bersama- sama memotivasikan & menguatkan keimanan kita melalui ayat-ayat Quran dan hadis –hadis yang telah diwariskan kepada kita. Betapa indahnya ujian itu andai disulami dengan kecintaan pada Allah dan rasul. Kisah-kisah para nabi, para sahabat, para tabi’in dalam mengharungi ujian keranaNya juga sangat berguna di kala kita merasa sunyi, keseorangan dalam menghadapi ujian dan rintangan, sesungguhnya Allah bersama kita, terpulanglah pada kita sama ada merasai kebersamaan Allah ataupun tidak. Allah bersama kita.


Dikemaskini melalui entri post terdahulu,dari blog rasmi  MSMWESTMIDLANDS. Entri asal, klik disini.