Nabi Muhammad saw. Dakwah baginda penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan menyantuni mad’unya sepenuh hati walaubagaimanapun sifat dan sikap mad’unya. Abu Bakar yang lemah lembut, Umar yang tegas, Uthman yang pemalu dan ramai lagi sahabat-sahabat baginda yang berbeza perwatakannya, namun bersatu dalam tujuan yang sama. Dengan akhlak baginda yang indah inilah membuatkan para sahabat sangat mencintai baginda.
Ada satu kisah yang sangat menyentuh perasaan akan cinta sejati terhadap baginda. Mari kita telusuri kisah ini.
Suatu ketika, Umar sedang berjalan bersama Nabi saw. Saat itu Nabi saw memegang tangan Umar dan berjalan, baginda ingin melunakkan hati Umar al Khattab. Umar merasa hairan akan perbuatan baginda, lantas beliau berkata,
“ Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu melainkan diriku.”
Mendengar kata-kata Umar, Rasulullah ingin memberi pengajaran kepada Umar dan untuk kita semua akan cinta sejati terhadap baginda. Maka Nabi saw. bersabda;
“ Tidak (tidak sempurna imanmu), demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sampai aku lebih engkau cintai berbanding dirimu sendiri”
Lalu, umar berkata kepadanya,
“ sungguh, sekarang demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”
Maka Baginda berkata,
“sekarang (telah sempurna imanmu), wahai Umar.” [1]
Perhatikan kisah di atas, bagaimana Nabi tidak redha dengan cinta Umar yang hanya 90%. Itulah cinta Umar , dia jujur dan berterus terang dengan apa yang dikatakannya. Bukan mudah untuk mencintai Allah dan RasulNya, namun setelah baginda memberitahu pada beliau dan kita semua apakah itu cinta terhadapNya, Umar pantas berkata, dia mencintai Baginda melebihi dirinya sendiri. Namun cinta ini tidak akan terlaksana dengan semudah lisan sahaja tanpa cinta itu wujud dalam hati dan teraplikasi dalam amalan.
Mengapa perlu mencintai Baginda melebihi diri sendiri?
Melalui kisah di atas, dalam masa yang singkat Umar terus mengubah cintanya yang hanya 90% kepada peratus yang melebihi dirinya sendiri.
Abdullah b Umar, anak beliau pernah bertanya kepada Umar sendiri tentang rahsia perubahan ayahnya yang cepat dan bagaimana ianya boleh berlaku. Lantas Umar menjawab;
“ Aku bertanya kepada diriku sendiri, kepada siapa yang ia lebih perlukan, kepada engkau (diri Umar) ataupun kepada Rasulullah? Maka aku mendapati bahawa aku dahulu dalam kesesatan, jika Allah tidak memberi aku petunjuk kepadaku melalui Rasulullah, pastilah aku sesat sampai mati. Kemudian aku mengingat kejadian hari kiamat, dan bahawasanya aku tidak akan masuk syurga dengan amalanku, tetapi dengan cintaku kepada Rasulullah. Dengannya aku tahu, aku lebih banyak memerlukan Rasulullah daripada diriku sendiri, maka aku lebih mencintainya melebihi diriku sendiri.”
Begitulah perbualan antara Umar dan putra beliau. Melalui apa yang Umar fikirkan melalui cintanya, kita dapat melihat bahawa Umar ini seorang yang sering memuhasabah diri, berdialog dengan diri akan nasibnya di dunia dan akhirat kelak.
Akhir sekali, di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah saw. Terdapat beberapa faktor yang mampu membantu kita mencintai baginda, secara ringkasnya;
1- Memperbanyak mengucapkan salam dan selawat kepada Baginda.
2- Membaca, menghayati dan mempelajari sejarah Nabi saw.
3- Mengikuti amalan sunnahnya
4- Menziarahi kotanya, Madinah al-Munawwarah.
Masjid Nabawi, Madinah. |
1 Shahih Al-Bukhari, Kitab al Iman wa an nudzur, hadis no. 6142
No comments:
Post a Comment