Friday 29 July 2011

Penyakit apakah ini?

“Bukan urusan saya”

Inilah jawapan yang diberikan oleh seorang ulama besar kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah yang bernama Syeikh Muhammad Sa’ dudin bin Hasan Khan al-Tabrizi (wafat 1008H) apabila ditanya oleh khalifah Usmaniah yang bernama Sultan Ahmad I. Kehebatan beliau membuatkan beliau diberi kepercayaan untuk memangku jawatan sebagai  Mufti Negara yang ke-22 dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Soalan khalifah tersebut berbunyi,

“ Apa kekurangan yang terdapat di Negara ini (sehingga kita mengalami kemunduran dan kekalahan daripada musuh) padahal Allah menjanjikan kememangan bagi umat Islam?”

Jawapan syeikh yang bijaksana ini amat ringkas iaitu,

“Bukan urusan saya.”

Sultan Ahmad amat berang dengan jawapan ini, pelik! Syeikh ini adalah seorang yang hebat, mampu menjawab ratusan permasalahan hukum dan fatwa melalui hafalannya tanpa merujuk kitab terlebih dahulu. Tetapi mengapa apabila ditanya soalan yang begitu serius ini jawapan beliau bagaikan acuh tidak acuh.
Lalu baginda memerintahkan syeikh ini menghadap segera, lalu memarahinya. Baginda bertanya,

“ Mengapa tuan mengabaikan pertanyaanku? Beraninya tuan menjawab ‘bukan urusan saya’ untuk satu masalah yang sangat penting ini?”

Akhirnya, dengan tenang syeikh ini menjelaskan ,

“ Saya tidak mengabaikan pertanyaan tuanku. Sebaliknya saya menjawab pertanyaan tersebut dengan teliti dengan kalimat ‘Bukan urusan saya’. kalimat inilah penyebab utama kemunduran umat Islam. Jika setiap individu, daripada pemerintah hinggalah rakyat bersikap mementingkan diri sendiri, dan berkata ‘bukan urusan saya’ apabila berhadapan dengan masalah umat, maka kemunduran dan kekalahan demi kekalahan akan terus menerus menimpa umat Islam.”

Akhirnya sultan Ahmad pun malu dan meminta maaf pada syeikh tersebut.

Melalui kisah benar diatas, apakah benar jawapan syeikh tersebut? Jika benar, fenomena ‘bukan urusan saya’ ini juga dipanggil sebagai egoism. Inilah hasil daripada ekspresi ketidakpedulian kita pada masalah yang melanda masyarakat.  Melalui fenomena inilah munculnya bibit-bibit perpecahan , bukan setakat perpecahan masyarakat, bangsa, namun perpecahan umat Islam itu sendiri yang seperti mana kita tahu. Umat Islam  adalah saudara seaqidah kita, saudara yang diikat melalui kalimah mengEsakan Allah.

‘Bukan urusan saya’. Ungkapan ini harus dibuang jauh-jauh. Saudara seaqidah kita sangat-sangat memerlukan kita, Palestin, Somalia, Bosnia dan banyak lagi tempat serata dunia hatta tanah air kita sendiri. Ada saudara seaqidah kita yang sedang bergadai nyawa, ada yang ditimpa bencana alam. Ada yang diuji dengan kesusahan, ada yang diuji dengan kemewahan. 

 Melalui  kesempatan ini juga, kami warga Ikram West Midlands ingin mengucapkan:

Selamat tinggal Syaaban, Selamat datang Ramadhan. Semoga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya. Masanya hanya 30 hari namun biarlah kesannya berpanjangan. Amen.

Salam Ramadhan Kareem
Daripada keluarga Ikram West Midlands.


Rujukan : Umar M Noor,Solusi isu 6, hal. 27. Artikel “bukan urusan saya.”


No comments: