baca Episod 1 di sini.
1982: Sabra dan Chatila berdarah!
Tidak dapat aku lupa raut wajah datukku semasa menceritakan kisahnya di kem pelarian Jalazone. Dialah bapa kepada ibuku yang kini telah syahid mempertahan agamanya di bumi bertuah Palestin. Aku juga mahu jadi pejuang sepertinya inshaAllah!
Mahu dengar lagi ceritaku? Bagiku lebih tragis, namun perjuangannya sama, dalangnya sama, mangsanya sama, cuma lokasinya sahaja yang berbeza. Pernah dengar Sabra dan Chatila? Ya, inilah kem pelarian Jaddi, datukku di sebelah ayah. Dia lahir di pelabuhan Haifa di Utara Palestin, namun pada tanggal 29 Februari 1948, dia terpaksa berhijrah ke bumi orang apabila tentera Zionis mengebom perkampungan Muslim di situ, meninggalkan hanya rumah-rumah penduduk haram Israel! Jaddi dipaksa oleh ibu dan ayahnya (moyangku) supaya meninggalkan mereka dan adik kecilnya yang baru sebulan dilahirkan. Jarak yang jauh ke bumi Lubnan tidak memungkinkan mereka ke sana. Hanya seorang adik lelakinya sempat dibawa bersamanya berjalan menuju Lubnan ketika itu, mengikuti gerombolan penduduk Haifa yang lain untuk mencari tempat perlindungan.
Kem ini juga kemudiannya menjadi tempat kelahiran ayahku. Tatkala peristiwa berdarah 1982, ayahku berumur 17 tahun, dan aku masih ingat ceritanya kepadaku saat dia terperangkap dalam tragedi sadis itu.
“Pada September 1982, tentera Israel telah berjaya menembusi Lubnan. Selepas berhasil menawan kawasan di Barat Beirut, mereka menutup semua laluan keluar-masuk kesemua kem pelarian rakyat Palestin di situ. Pada malamnya, perancangan kejam kebinatangan mereka bermula. Seangkatan binatang bertopengkan manusia dikerahkan masuk ke kem kami. Mereka adalah Phalange, proksi kuat tentera Israel di Lubnan yang direkrut daripada komuniti Kristian Maronite. Mereka telah dibayar, dilatih dan dibekalkan senjata oleh kerajaan haram Israel!
“Kem kami pada waktu itu hanyalah dihuni oleh mereka yang tidak bersenjata, majoritinya adalah kanak-kanak dan wanita. Tetapi apabila Phalange itu masuk menceroboh kem kami, semua yang bergerak akan menjadi sasaran tembakan atau pembunuhan yang amat kejam, tidak kira bersenjata atau tidak, kanak-kanakmahupun wanita. Lebih teruk lagi, mereka menyiksa ‘mangsa’ sebelum dibunuh! Ayah masih ingat, ada di kalangan kawan sebaya ayah yang dibelasah sepuasnya, diikat dengan wayar elektrik dan dikorek mata mereka, sementara wanita dan kanak-kanak perempuan diperkosa di khalayak, dan anak-anak kecil diletupkan hidup-hidup!”
Ya Allah. Tak sanggup aku bayangkan suasana ketika itu. Mendengar kisah ngeri daripada ayahku itu sudah cukup membuatkanku tidak henti menitiskan air mata. Aku harus kuat!
Lebih teruk lagi kata ayahku, tentera Israel yang menyaksikan dari luar kem membantu operasi ‘pemburuan’ pada malam itu dengan menembak ke udara mercun cahaya untuk menerangi kem Sabra dan Chatila. Pembunuhan terus berlaku sepanjang malam itu. Matlamatnya hanyalah untuk membunuh sebanyak mungkin rakyat Palestin yang ada di dalam kem itu. Sejurus selepas itu, jentolak besar dibawa masuk ke kawasan kem bagi meruntuh dan ‘melenyapkan’ rumah yang di dalamnya dilonggokkan tubuh tidak bersalah anak-anak Palestin. Tujuannya tidak lain untuk menghapus bukti kekejaman mereka! Namun beberapa ketika selepas malam berdarah itu, sebuah kubur besar telah ditemui di kem itu, yang menempatkan 1000 batang tubuh tidak bernyawa yang dibunuh tanpa belas! Namun lagi, apa yang dibuat dunia? Sudah didakwakah si pembunuh itu? Sudah terbelakah nasib mereka yang tinggal?!
“Ayah telah ditembak tiga kali. Oleh sebab dihempap beberapa mayat yang mati ditembak, ayah pengsan. Mungkin binatang-binatang itu sangka bahawa ayah sudah mati. Tetapi hakikatnya, lebih 2000 orang telah syahid pada malam itu, bersama dengan seluruh ahli keluarga ayah, termasuk datukmu (Jaddi).”
Moga roh Jaddi tenang bersama syuhada’ yang lain…
1987: Intifadha Pertama!
Apabila Jaddi meninggalkan Haifa bersama adik lelakinya, kedua-dua orang tuanya (moyangku) telah berangkat ke Gaza. Mak cikku yang kini di sana masih ingat pengalamannya ketika kebangkitan pertama rakyat Palestin pada 1987. Itulah intifadha pertama kami anak bumi bertuah Palestin!
“Disebabkan pencerobohan di Tebing Barat dan Gaza pada 1967, kami anak Palestin makin tertekan. Saban hari ada sahaja pencabulan hak kemanusiaan berlaku. Bukan sahaja tanah dirampas dan ditukar milik, malah lebih teruk lagi, penindasan dan kekejaman terus berlaku dan semakin dahsyat!
“Kami terus dimalukan dan hak kami terus dicabul! Pembunuhan beramai-ramai, penahanan secara pukal anak-anak muda kami, dan juga perobohan rumah-rumah kami, semuanya terus berlaku di depan mata kami tanpa kamimampu bebrbuat apa-apa!
“Mak cik masih ingat, pada 8 Disember 1987, sebuah trak milik tentera Israel telah merempuh sekumpulan pekerja Palestin dari kem Jabalya di Gaza, lalu membunuh empat orang, sementara tujuh lagi cedera. Memang jelas bahawa insiden itu disengajakan! Lantas keesokan harinya, rusuhan berlaku di kem pelarian Jabalya. Akibatnya, tiga lagi anak muda ditembak syahid!
Menurut mak cikku, selepas peristiwa inilah berlakunya kebangkitan menyeluruh rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalam, menentang pemerintahan kebinatangan Israel. Kebangkitan ini diberi jolokan “peperangan batu” kerana pada masa itu hanya batulah yang menjadi senjata para mujahid dalam menghadapi larasan senjata dan tangki-tangki kebal tentera Zionis.
Seakan-akan mereka yang benar, tentera Zionis itu pula kononnya bangkit ‘mempertahankan diri’. Jentikan dibalas penumbuk! Sekatan jalan semakin diperbanyak, keluar-masuk duit daripada tanah dudukan (Occupied Territorist) mereka disekat, sekolah dan university dipaksa tutup, penahanan beramai-ramai dibuat dan tembakan rambang dilakukan tanpa belas kasihan dan simpati! Hasilnya, lebih 1000 lagi anak Palestin syahid dibunuh!
Apalah nasib kami ini. Dengarnya ada persetujuan damai antara pemimpin kami dan mereka, namun keadaan tetap sama, malah semakin memarah!
“Hoi binatang, kami manusia!”
Bersambung…
Bagaimana terjadinya Intifadha Kedua pada tahun 2000?
Apakah yang berlaku sewaktu pembinaan tembok penjara di Gaza pada 2008?
No comments:
Post a Comment