Thursday 10 March 2011

Palestin: Apartheid di Era Baru (Bhg. Akhir)

Baca Bahagian 1 di sini.

Perampasan Sumber Air: Pendatang Haram yang Biadab


Penempatan haram Israel merangkumi 40 peratus kawasan wilayah jajahan Israel termasuklah kawasan tanah subur dan sumber perairan. Sumber air dari tanah yang selayaknya dimiliki rakyat Palestin itu telah dialihkan untuk kegunaan penduduk penempatan haram Israel sahaja. Purata air yang diperolehi oleh seorang rakyat Palestin di Tebing Barat hanyalah 83 meter padu air setahun, berbanding penduduk penempatan haram Israel yang mendapat purata air sebanyak 1,450 meter padu air setahun. Malah ada penempatan haram Israel yang mengambil kesempatan menjual kembali air yang dicuri ke kampung-kampung rakyat Palestin! Maka tidak hairanlah apabila Avraham Katz-Oz yang merupakan perunding Israel untuk isu air memberitahu “Tidak ada sebab mengapa rakyat Palestin harus menuntut bahawa hanya kerana mereka duduk di atas tanah itu, mereka berhak ke atas sumber air di situ.” Kompeni besar Israel seperti Carmel Agrexco mengaut keuntungan besar daripada hasil tanaman penduduk penempatan haram Israel yang memerlukan pengairan yang intensif, justeru sekaligus mengeringkan lagi sumber air rakyat Palestin.

Diskriminasi rakyat Palestin di Israel: Dipijak di Tanah Sendiri


20% populasi negara haram Israel adalah penduduk asal Palestin yang masih bertahan sejak 1948. Meskipun diberikan status warganegara Israel, mereka tidak menikmati hak yang sama seperti rakyat Israel berbangsa Yahudi. Undang-undang Israel membolehkan pertukaran hak milik pelarian Palestin kepada kerajaan Israel dan Jewish National Fund (JNF), sehinggakan 90% tanah milik rakyat Palestin telah berkurang kepada 4% pada masa kini. Pertambahan populasi rakyat Palestin di Israel dianggap suatu ancaman, dan ‘pemindahan’ atau ‘pembersihan etnik’ dibincangkan secara meluas di media, universiti-universiti dan di Knesset (dewan perwakilan Israel). Diskriminasi di bidang pekerjaan menyebabkan rakyat Palestin merangkumi hanya 3.7% jawatan kerajaan dan 1% jawatan di fakulti university, 42% hidup di bawah garisan kemiskinan. Sebanyak 100 perkampungan Palestin tidak diiktiraf oleh kerajaan Israel walaupun membayar cukai, menyebabkan ketiadaan servis dan infrastruktur yang mencukupi seperti perkhidmatan pendidikan untuk kanak-kanak Palestin.

Antara Afrika Selatan dan Palestin: Wujudkah lagi Harapan?

[kredit gambar]                                                                

Sistem apartheid di Afrika Selatan oleh bangsa kulit putih dan di tanah Palestin oleh rejim Zionis mempunyai banyak persamaan; kedua-duanya dibina di atas sebuah negara yang ‘asing’, menggunakan hujah-hujah keagamaan sebagai alasan pencerobohan negara dan pemisahan bangsa, melakukan pencabulan berterusan ke atas undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB, menggunakan kuasa ketenteraan, serta mengamalkan sikap acuh dan sombong terhadap musuh politik dengan melabelkan mereka sebagai ‘pengganas’. Bagaimanapun, rejim apartheid di Afrika Selatan hanya bertujuan mengawal populasi kulit hitam, sedangkan rejim apartheid Zionis di Palestin bertujuan untuk menghapuskan populasi Palestin secara keseluruhannya.

Amerika Syarikat dan United Kingdom di bawah pimpinan Reagan dan Thatcher menyokong kerajaan apartheid di Afrika Selatan. Pada 1986, Thatcher mengisytiharkan parti ANC di bawah pimpinan Nelson Mandela sebagai parti pengganas, dan menidakkan peluang ANC untuk membina kerajaan di Afrika Selatan. Meskipun dengan sokongan dua kuasa besar dunia, sistem apartheid akhirnya berjaya ditumbangkan dan ANC diiktiraf sebagai parti kerajaan pada tahun 1990-an. Kejayaan ini tidak akan terlaksana tanpa campur tangan komuniti antarabangsa yang berusaha bersungguh-sungguh menentang diskriminasi dan penindasan di Afrika Selatan melalui pelbagai cara seperti sekatan ekonomi, pemboikotan, tunjuk perasaan dan sebagainya.


Justeru adakah harapan untuk kita menyaksikan tumbangnya rejim Zionis dan sistem apartheidnya di bumi Palestin? Seharusnya kita percaya bahawa Allah telah menjanjikan kemenangan kepada rakyat Palestin. Sepertimana tumbangnya apartheid di Afrika Selatan kerana kebersatuan masyarakat seluruh dunia, sebegitulah perlunya umat Islam seluruh dunia untuk bersatu menumbangkan rejim Zionis, kerana kitalah penegak kebenaran dan penentang kebatilan. 

Allahu Akbar!

Diringkaskan dan diterjemahkan daripada risalah terbitan Palestine Solidarity Campaign berjudul ‘Palestine: The New Apartheid’ dengan bantuan beberapa rujukan lain.

No comments: