Sunday 6 March 2011

Nahdhah di Palestin - Episod 1

Aku anak kelahiran bumi bertuah Palestin. Kenal Palestin? Cubalah cari nama “Palestine” di peta Google yang masyhur itu, nescaya yang akan diketemu hanyalah sebatang jalan di tanah penjajah, Britain; Palestine Road! Bagaimana ini boleh terjadi? Sebuah negara lenyap begitu sahaja daripada peta dunia! Tiba-tiba pula nama lain menjelma, memadam dan menghapus rakyat jelata tanpa belas rasa!

Izinkan aku bercerita, sekadar pengalaman hayatku yang muda. Kamu mahu baca? Kisah kesakitan, kedukaan dan penderitaan yang membekas di jiwa. Kisah aku, keluargaku, kerabatku, kaumku, negaraku, dan saudara-saudaraku. Kisah kami yang tragis dan penuh malapetaka…

1948: Nakbah

Begini mulanya…

Di dalam kebun moyangku di Lydda atas bumi bertuah Palestin, tumbuh subur beberapa pohon zaitun yang mencecah usia ribuan tahun. Suatu hari dalam usianya 10 tahun, moyangku telah memanjat salah satu pohon zaitun itu dan tertidur lena di atasnya sehingga keesokan subuh. Semua orang tercari-cari moyangku di merata tempat, namun apabila mereka menemuinya, dunianya telah berubah, tidak lagi seperti sebelum dia melelapkan mata…


Ayahku pernah bercerita sambil mengimbas sebutir-sebutir kata datuknya;
“Atuk masih ingat, hari itu adalah 11 Julai 1948. Atuk dikejutkan oleh abang Atuk sambil dia menjerit, ‘Lydda telah kalah, Lydda telah kalah!’. Kami berdua berlari sekuat hati pulang ke rumah. Mak dan kakak Atuk sedang menangis. Tentera Zionis pula sedang menceroboh dari rumah ke rumah, memaksa seisi rumah keluar dengan acuan senapang.

“Semua lelaki dewasa, remaja dan kanak-kanak belasan tahun dikumpulkan dan ‘dipenjarakan’ dalam sebuah masjid. Mereka dianggap sebagai ancaman kerana Lydda cuba melawan dalam proses ‘pengambil-alihan’ kuasa dan enggan menjual tanahnya untuk penubuhan negara haram Israel. Anak-anak kecil dan golongan wanita dibenarkan pulang ke rumah, jadi Atuk juga diizinkan pulang bersama mak  atuk. Sepanjang jalan pulang, Atuk dapat lihat lima kujur tubuh terbiar di atas jalan, semuanya berbuih di mulut. Atuk sangat takut!

“Sementara itu, Abang atuk yang berusia 14 tahun ketika itu, bersama-sama dengan 1500 orang kampung yang lain, telah dibawa ke suatu tempat bernama Jalil, di mana mereka dibiarkan tanpa makanan selama dua hari! Setiap ‘banduan’ disoal siasat, diberi nombor dan diletakkan dalam penjara secara bersesak-sesak. Kami di luar pula terputus hubungan dengan abang Atuk dan lain-lain selama sembilan bulan!

“Kami akhirnya dihalau keluar dari Lydda oleh tentera Zionis yang ingin menubuhkan negara haram Yahudi. Kami dipaksa berjalan di antara dua barisan tentera yang setiap satunya memacu senapang ke arah kami; anak-anak kecil dan wanita. Kami tidak dibenarkan membawa banyak barang, hanya yang mampu diangkat dengan dua tangan sahaja. Berjalan kaki selama berhari-hari, dengan tidur berteduhkan pokok tin dan zaitun, sungguh menyiksakan! Tidak sedikit orang tua-tua yang tersembam pitam di tengah jalan. Lebih teruk lagi, tentera itu mula melepaskan tembakan kepada kami apabila melintasi sebuah kampong. Atuk masih ingat, seorang kanak-kanak lelaki ditembak mati tepat di kepala, namun kami terpaksa tinggalkannya di belakang untuk meneruskan perjalanan.”

Menurut ayahku lagi, semasa peristiwa Nakbah 1948 itu, lebih kurang 750,000 ke 900,000 rakyat Palestin dihalau keluar dari rumah masing-masing. Ada yang dipaksa secara ketenteraan, tetapi ada juga yang melarikan diri sendiri kerana cemas dan takut dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai penduduk kampong seperti di Tantura dan Deir Yassin. Secara total, hampir 450 buah kampong dan bandar telah ‘dinyah-hapuskan’ penduduknya!

Ayah menyambung lagi,
“Setibanya moyangmu di Tebing Barat di kota Ramallah, semua pelarian telah ‘diiringi’ ke kem pelarian Jalazone yang pada asalnya hanya terdiri daripada binaan khemah-khemah kecil. Semuanya serba tidak cukup; wang, makanan dan air!  Mereka terpaksa beratur, merayu untuk mendapatkan bekalan-bekalan asas ini. Apabila dikenang, sungguh memalukan apabila pemilik tanah terpaksa menjadi pengemis di tanah sendiri!

“Pada masa yang sama, rumah moyangmu di Lydda akhirnya dirobohkan, seperti juga yang lain-lain. Kini tapaknya telah menjadi laluan lebuhraya. Kita tidak akan berpeluang semula untuk pulang ke rumah kerana kita tidak memiliki tanah itu, tanah yang sebenarnya kita warisi berabad lamanya!”

Apakah yang akan kamu buat jika dihalau keluar dari rumah sendiri seperti yang berlaku kepada Atuk?!

1967: Pengepungan Gaza dan Tebing Barat

Datukku pula lahir ke dunia tatkala hidup dipenuhi kesusahan dan serba kekurangan. Setiap khemah sesak melimpah dengan manusia! Mahu bernafas pun susah katanya! Oleh sebab keadaan yang lembap dan sejuk, kulat dan bakteria amat mudah membiak, memberi batuk selesema kepada penghuni yang kini sudah berusia dua generasi.

Pada 1967, bertaburan bom udara gugur menyasar rumah-rumah rakyat Palestin. Menurut datukku, dia ketika itu dia dapat melihat rumah jirannya hancur luluh dihentam misil daripada jet pejuang tentera Zionis. Walaupun datukku dan keluarganya kekal di kem yang sama, lebih daripada 400,000 yang lain telah dipaksa keluar dan dihalau kesan keganasan Perang Enam Hari. Sebahagian besar daripada jumlah ini adalah pelarian yang sama pada tahun 1948, yang kini disesar kembali buat kali kedua dalam tempoh tidak kurang dua dekad!

Tentera Zionis terus meluaskan penaklukan ke Tebing Barat, Gaza, Golan Heights dan Semenanjung Sinai. Ketika itu seluruh rakyat Palestin sudah putus harapan dengan masyarakat dunia luar yang seakan-akan hanya menjadi penonton sebuah filem sadis! Ketika itu, kami mula sedar bahawa resolusi-resolusi yang dilekuarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membantu kami pulang ke tanah air sendiri, hanyalah janji-janji manis syaitan bertopengkan haiwan. Ya, tiada kata yang lebih mulia bagi manusia yang sifatnya terzahir tanpa menggunakan akal pemberian Tuhan!

Sementara penempatan Yahudi semakin bertambah di Tebing Barat dan Gaza, membenarkan lebih ramai pendatang haram Zionis ke bumi bertuah Palestin, lebih banyak lagi kem pelarian dibina bagi menampung jumlah pelarian yang berganda secara mendadak. Datukku bersama anak kelahiran kem yang lain terus menunggu dalam keadaan penuh derita ini, sambil berharap untuk pulang ke rumah suatu hari nanti.

Jalazone hanyalah sebuah daripada 19 kem pelarian di Tebing Barat. Terdapat lebih daripada enam juta rakyat Palestin kini bertaburan di sekitar 58 buah kem pelarian di Tebing Barat, Gaza, Jordan, Lubnan dan Syria.

Bersambung…

Apa peristiwa dahsyat yang terjadi pada 1982 di Sabra dan Chatila?

Di mana aku pada 1987 semasa Intifadha Pertama?

Bagaimana terjadinya Intifadha Kedua pada tahun 2000?

Apakah yang berlaku sewaktu pembinaan tembok penjara di Gaza pada 2008?
 

1 comment:

Anonymous said...

bila akan ada bahagian 2? rasa sedih sebab banyaaak benda yang baru tahu. terima kasih, entri ni banyak tambah pengetahuan & kefahaman untuk diaplikasikan pada mengapa kita perlu membantu Palestin.