Monday, 7 March 2011

Palestin: Apartheid di Era Baru (Bhg.1)


Secara bahasanya, perkataan ‘apartheid’ adalah perkataan dalam bahasa Afrika yang bermaksud ‘pemisahan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mendefinisikan ‘apartheid’ sebagai ‘perbuatan tidak berperikemanusiaan yang bertujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan dominasi suatu kumpulan bangsa ke atas suatu bangsa yang lain, dengan cara penindasan bersistematik’.

Antara skop jenayah apartheid ini termasuklah:
  • Penafian hak untuk hidup dan hak kebebasan
  • Pemaksaan kondisi hidup yang menyebabkan kemusnahan fizikal
  • Penafian hak asasi manusia seperti hak pekerjaan, hak mendapat pendidikan, hak untuk keluar masuk negara, hak kewarganegaraan, hak untuk bergerak bebas dan hak untuk mempunyai tempat tinggal.
  • Pewujudan langkah-langkah untuk membahagikan populasi berdasarkan bangsa, seperti larangan perkahwinan campur dan perampasan hak milik tanah sesebuah bangsa.
Sistem apartheid yang diperkenalkan oleh bangsa imigran kulit putih pada tahun 1948 pernah menghancur-leburkan kehidupan rakyat penduduk asal kulit hitam di Afrika Selatan sehinggalah ia berakhir pada tahun 1990-an. Kini, dunia sedang menyaksikan sebuah lagi siri jenayah apartheid yang belum berkesudahan oleh rejim zionis Israel di bumi anbiya’ umat Islam, Palestin.

Penafian Hak Untuk Hidup: Mati Terbunuh atau Hidup Terseksa


Sejak September 2000, tentera Zionis telah membunuh lebih kurang 6,500 penduduk Palestin di wilayah-wilayah jajahan Palestin (Tebing Barat dan Gaza) melalui pengeboman, pemusnahan rumah-rumah dan pembunuhan bersasar. Tidak cukup dengan itu, ramai rakyat Palestin turut menemui ajal kerana disekat daripada menerima bantuan perubatan. Ibu-ibu Palestin dipaksa melahirkan bayi di pusat-pusat pemeriksaan tentera Israel tanpa sebarang bantuan, dan lebih separuh daripada kes kelahiran ini berakhir dengan kematian.

Sejak 1967, rejim Zionis telah mengawal kemasukan ke wilayah-wilayah jajahan Palestin. Sesiapa yang berhasrat untuk memasuki Palestin akan dipaksa menunggu di pusat pemeriksaan selama berjam-jam sebelum diperiksa, dan seringkali akan dihalau kembali. Wilayah Tebing Barat mempunyai 41 jaringan jalan raya sejauh 700 km yang dikhususkan untuk rakyat Israel sahaja. Kenderaan dari Palestin (yang boleh dikenali melalui nombor plat yang berwarna hijau) tidak dibenarkan melalui jalan raya ini. Sekiranya tertangkap, pemandu kenderaan akan ditahan, dipukul dan kadangkala ditembak tanpa belas kasihan. 

Pada April 2010, sebuah lagi undang-undang baru diluluskan yang membolehkan tentera Zionis menahan, memenjarakan atau menghalau pemegang kad pengenalan Palestin dan pemegang pasport antarabangsa yang berkahwin dengan warganegara Palestin dari kawasan Tebing Barat.

Perampasan Tanah dan Pemenjaraan: Tanah Dijarah, Bumi Berkuah Darah


Rejim Zionis tidak akan pernah puas sehinggalah seluruh bumi Palestin berada di genggaman mereka. Kemuncak kepada sistem apartheid era baru ini adalah terbangunnya Tembok Apartheid Israel pada 16 Jun 2002 yang bertujuan untuk memisahkan penempatan Yahudi dan Palestin di Tebing Barat. Tembok ini ‘membelah’ sebanyak 42 kota dan perkampungan menjadi perkampungan-perkampungan kecil yang terdedah kepada bahaya serangan tentera Israel. Tambah menyedihkan, sebanyak 230 km persegi tanah subur milik rakyat Palestin di Tebing Barat turut di’rompak’, menyebabkan mereka kehilangan sumber pertanian dan sumber air bersih

Pada tahun 2007, rakyat Palestin di Gaza pula dipenjarakan oleh tembok-tembok neraka binaan rejim Zionis yang memisahkan mereka dengan dunia luar, sehinggakan mereka terpaksa membina terowong bawah tanah semata-mata untuk mendapatkan bekalan keperluan asas seperti makanan dan bantuan perubatan. Pemutusan hubungan antara bumi Gaza dengan dunia luar telah memberi ruang kepada rejim Zionis untuk melakukan pembunuhan besar-besaran ke atas rakyat Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009 yang mengorbankan sebanyak 1400 nyawa, dan melumpuhkan seluruh infrastruktur Gaza.

Tahun 2010 menyaksikan rejim Zionis bertindak lebih kejam dengan membina beribu-ribu lagi unit perumahan Yahudi di atas tanah rakyat Palestin di Timur Jerusalem. Dengan perasaan tidak malu, rejim Zionis telah ‘menghalalkan’ jenayah rompakan tanah yang dilakukan dengan menggubal undang-undang pemilikan tanah yang baru berdasarkan undang-undang lama Kerajaan Uthmaniyyah yang menyatakan bahawa ‘sekiranya mana-mana petani tidak mengusahakan tanahnya selama tiga tahun berturut-turut, maka tanahnya berhak diambil oleh kerajaan’. Sungguh aneh undang-undang ini! Kerajaan Israel tidak mempunyai kuasa yang sah ke atas Tebing Barat sebagaimana kerajaan Uthmaniyyah pada zaman dahulu, dan juga mana mungkin petani-petani Palestin boleh mengusahakan, apatah lagi menjejak kaki ke tanah milik mereka yang telah dibentengi oleh Tembok Apartheid yang tinggi itu! 

Wujudkah lagi harapan buat umat Palestin?

Bersambung...

No comments: