Sunday, 13 March 2011

Al-Aqsa, Sepanjang Pemenjaraanmu

Detik 1897 merupakan detik bersejarah yang berharga buat rejim Zionis. Namun bagi penduduk Palestin, tercatat di sayap sejarah sebuah permulaan untuk kisah ratusan tahun bersalut duka, suram, tangisan dan nista. Theodor Herzl, bapa gerakan Zionisme moden dengan gah mengatakan “Sekiranya aku dapat mengawal Jerusalem (Baitul Maqdis), akanku robohkan semua tempat suci kecuali tempat-tempat suci Yahudi.”
 

Maka banyaklah pendukung Zionisme menyahut seruan ideologi serta aspirasi Theodor Herzl itu. Sebelum kelahiran ‘negara’ Israel lagi (pada 1948), tangan-tangan kezaliman sudah berani meragut kehormatan al-Aqsa.


Tanggal 1929, pendatang asing Yahudi cuba mempelopori bahagian Barat kawasan al-Aqsa, dan penduduk Palestin lantas bangun menentang. Angin demonstrasi dengan laju meniup semangat ke kawasan berkenaan, lamanya bertahan selama dua minggu. Setahun kemudian, British menubuhkan badan bebas bagi menyiasat isu berkenaan. Kesimpulan dari sisasatan itu menyebelahi pihak Palestin. Badan bebas tersebut juga mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang objek penyembahan yang diletakkan berhampiran masjid al-Aqsa oleh Yahudi tidak boleh dijadikan bukti pemilikan Yahudi ke atas tempat suci itu.

1967: Apabila Israel memulakan pendudukannya di Jerusalem, Israel bukan sahaja mengawal sebahagian dinding al-Aqsa, tetapi berjaya menerobos pemilikan ke atas seluruh kawasannya. Demi memanifestasikan keunggulan Israel, seorang rabbi bernama Shlomo Goren memasuki kawasan masjid dan menyalakan api permusuhan antara pengawal keselamatan Palestin dan Israel. Hal ini disusuli kemudian dengan amaran daripada ketua rabbi Israel pada waktu itu, Isser Yehuda Unterman dan Yitzak Nissim terhadap Shlomo Goren atau mana-mana orang Yahudi sekalipun. “Sejak berabad lama kami memberikan amaran supaya tidak memasuki mana-mana kawasan Temple Mount (al-Aqsa).” [Pada masa itu, Yahudi Orthodoks masih berpegang dengan pengharaman orang Yahudi daripada memasuki al-Aqsa.]

1969: Yahudi menyerang Al-Aqsa. Seluruh bahagian sayap kanan terbakar termasuklah Mimbar Nuradeen yang membawa bersama sejarah silam yang bermakna buat umat Islam, yakni saat di mana Salahuddin al-Ayubi mendirikan serta menegakkan mimbar itu di sana. Individu yang terlibat dibiarkan terlepas dari sebarang perbicaraan setelah dikenakan sekadar tindakan psikiatri kaunseling.

1970: Ahli-ahli ‘Temple Mount Faithful’ memecah masuk al-Aqsa dengan tujuan memusnahkan bangunan di dalamnya. Walaupun dihentikan oleh saudara-saudara Muslim yang berada di masjid ketika itu, namun hasilnya tetap juga dipatahkan oleh tentera Israel yang datang kemudian, membawa senjata lalu melepaskan tembakan.

1976: Mahkamah-mahkamah Israel meluluskan fasal yang mengizinkan Yahudi beribadah di dalam masjidil Aqsa. Setelah mendapat tentangan hebat dari pihak muslimun Palestin, undang-undang ditarik balik.

1979: Ekstremis Yahudi menyekat salah satu pintu masuk ke a-Aqsa sebelum bermulanya solat Jumaat. Setiap muslim yang cuba masuk disambut dengan hunusan senjata.

1980-an: Bermula dari tahun 80-an, pengaiban serta usaha-usaha mensabotaj digalaksuburkan. Bulan Ogos 1981, sebuah helicopter Israel berlegar-legar di ruang udara Masjidil Aqsa bagi mengelakkan orang-orang Palestin mendengar azan dari dalam masjid.

1981: Azan dilarang dilaungkan dari menara mengadap dinding Barat al-Aqsa. Terowong-terowong perhubungan yang digali secara intensif di bawah halaman al-Aqsa dijumpai. Semuanya berpotensi menggugat kestabilan dasar bawahan bangunan masjid tersebut.

1982: Sebuah bungkusan berisi bom palsu yang ditulis di atasnya segala jenis ancaman yang ditandatangani oleh ekstremis Yahudi ditemui di salah sebuah pintu pagar masjid.

Seorang bekas pegawai tentera Israel menembak mati dua orang rakyat Palestin di perkarangan masjidil Aqsa serta meninggalkan bekas-bekas ledakan peluru ke dinding dalam dan dinding luar Kubah Batu (Dome of the Rock).

Seorang rakyat Israel ditahan akibat cuba meledakkan bom di Al-Aqsa. Kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang tindakan diambil.

Beberapa orang Yahudi cuba memasuki al-Aqsa bersama beberapa helai risalah yang menghasut Yahudi untuk mengambil alih masjid.

1983: Tabung Temple Mount ditubuhkan di Israel, Eropah dan Amerika demi mengumpul wang untuk membina semula Jewish Temple di Masjidil Aqsa. Bahan letupan ditemui di pintu masuk ke al-Aqsa dan empat orang askar bersenjata Israel cuba memasuki kawasan masjid. Enam bulan kemudian, mereka dibicarakan di mahkamah Israel tetapi dibebaskan kemudiannya.

1984: Segolongan Yahudi yang fanatik cuba memanjat dinding-dinding al-Aqsa dengan tangga. Mereka beroperasi di tengah malam, membawa bersama beberapa senjata berpeluru.

Askar-askar bersenjata Israel mula berkawal di luar pagar al-Aqsa. Kelakuan dan kehadiran mereka mencemar kesucian masjid.

1988: Tentera Israel menyerbu al-Aqsa, menembak gas pemedih mata ke arah orang-orang muslim yang beribadat di dalamnya. 

Lebih banyak terowong bawah tanah dijumpai dan ini mencetuskan lebih banyak kemarahan dan protes oleh saudara-saudara di Palestin.

1990: Tanggal 8 Oktober. Pasukan bersenjata Israel berhadapan dengan rakyat Palestin yang hanya bersenjatakan batu. Tembakan secara rawak dibuat dan kira-kira 22 orang rakyat Palestin terbunuh manakala ratusan lagi cedera parah.

1996: Israel membuka semula terowong bawah tanah di bawah al-Aqsa, menyebabkan konfrontasi dan lebih 70 kematian rakyat Palestin.

Terowong-terowong menyebabkan retakan yang berbahaya pada al-Aqsa.

Ahli-ahli arkeologi percaya bahawa terowong-terowong itu telah melemahkan struktur bangunan di dalam masjid, hingga ke tahap hanya satu gegaran kecil boleh meruntuhkan seluruh masjid.

1997: Rejim Zionis cuba meletakkan batu seberat 4.5 tan di presint al-Aqsa sebagai lambang perletakan asas kuil mereka. Tetapi mereka berjaya dihalang oleh orang-orang Muslim di sana.

September 2000


 
Ariel Sharon menyerbu ke dalam al-Aqsa dengan dikelilingi oleh kawalan keselamatan. Orang Palestin beramai-ramai bergegas mengelilingi tempat kejadian untuk cuba menghalaunya keluar dari tempat suci umat Islam tersebut. Tentera lantas membunuh dan menyebabkan kecederaan parah ke atas semua yang terlibat dalam mempertahankan masjid itu. Ini menjurus kepada kejadian Intifada al-Aqsa.

Sejak 2000, serangan ke atas al-Aqsa dan orang Palestin bertambah meruncing. Penduduk Palestin berumur bawah 45 tahun dihalang bersolat di masjidil Aqsa.

2004: Pasukan tentera Israel meneruskan kezaliman serta menindas umat Islam Palestin terus menerus dengan melontar gas pemedih mata, bom bingit sertabom tangan (grenade) bila mereka hendak menunaikan solat Jumaat. Al-Aqsa seolah-olah menjadi hak Israel.

2008: Penggalian terowong-terowong bawah tanah masih disambung. Tanah runtuh pernah berlaku berdekatan dinding bahagian barat masjid. Bukaan sepanjang 2 meter dan selebar 1.5 meter dikesan akibat tanah runtuh itu. 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB telah banyak kali meluluskan resolusi mengutuk dan mengecam Israel atas penaklukan Baitul Maqdis Timur serta pengawalan tentera di Tebing Barat. Israel mengendahkan PBB.

Ancaman terhadap al-Aqsa berterusan di saat anda membaca artikel ini dan akan berterusan pada masa hadapan. Bilakah penghujungnya? Apa sumbangan kita sebagai umat Islam dan sebagai manusia?

 

No comments: