Thursday, 21 April 2011

Penanda Buku sempena MPN11 [Edisi Terhad]

Assalamualaikum,

Majlis Perwakilan Nasional 2011 (MPN 11)  akan tiba tidak lama lagi, kami Ikram WM sukacitanya menawarkan kepada anda penanda buku sempena  Majlis Perwakilan Nasional [Edisi Terhad].

Projek Penanda Buku ini merupakan salah satu daripada projek fund rising  kawasan Ikram WM.

Terdapat dua jenis  penanda buku.


PB01
Sempena Majlis Perwakilan Nasional 

Harga:£1



PB02
30 Tahun Majlis Syura Muslimun

Harga : £1

Tawaran Edisi Terhad
Hanya boleh didapati di MPN 11

Pastinya anda mahukan MPN menjadi kenangan  anda. Semoga anda dapat mengabdikan MPN 11 sebagai satu ingatan melalui penanda buku edisi terhad ini. 

Hak cipta terpelihara kedai Ikram WM

Sumber senyuman dikala keletihan

Semua mesti sibuk
dengan
Belajar
Belajar = Akademik
Belajar  = Erti hidup
Belajar = Kerana Allah
Kehidupan ini juga satu subjek, subjek teras dimana peperiksaanya adalah setiap masa
Keputusannya di akhirat sana
Cemerlang = Mendapat keredhaanNya.

Jadi, jom luangkan masa seketika baca dan lihat gambar ni.

Thursday, 14 April 2011

[Cerpen] Seribu Erti Hazumi. [Bahagian 2]

Bahagian 1
Membantu mereka yang memerlukan bantuan,
[kredit gambar]

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.”
(Muslim no. 2699)
Kay bersuara lembut.


Oh dear, I want to go to Nottingham.” 

Nada suaranya lembut juga.  Kelihatannya dia seakan sudah pulih dari terkejut dan sedih. Kay angguk kepala.  Dia mencari-cari nama Nottingham di skrin kecil yang terlekat di dinding. Mujur skrin yang memaparkan informasi platform dan destinasi yang ingin dituju diletakkan juga di sekitar platform. Tak perlulah mereka naik semula ke stesen dan bergantung semata-mata pada skrin paparan di atas.

Yup..There it is. The next train will depart from this platform to Nottingham in about 10 minutes. Hooray! You will be fine then since you are here and the train are not here yet..” 

Kay bersuara gembira sambil mengunjukkan jari telunjuknya pada skrin.  Perempuan tua itu memandang ke arah yang sama. Smile! Terukir senyuman di wajah perempuan tua itu.  Ada kelegaan dan kesyukuran yang terpancar di wajahnya.  Untung juga dia adalah warga emas.  Polisi negara penjajah ini memihak pada mereka di mana rakyat berusia 60 tahun ke atas mendapat pelepasan percuma untuk menaiki mana-mana tren ke mana-mana destinasi.

Oh my... I’m glad you are here. Thank you very much.” 

Tanpa diduga,  perempuan tua itu meraih tangan Kay dan mengenggamnya penuh mesra.  Kay tergamam.  Tak disangka,  ucapan itu bakal diterimanya.

Here. Take this.” 

Sekuntum bunga ros dihulur. Bertambah rasa terkejut di hati Kay.  Namun, pemberian itu diterima juga.  Senyum segaris diukir bahagia.

Value it with your hearts.  You are a good muslim boy.  May you remains a good muslim just like a flower.  Only dies when the god calls for it.”

 Bulat mata Kay mendengar bait-bait perkataan yang keluar dari mulut warga emas itu. Bagai tidak percaya. Pesanan seumpama itu belum pernah didengar lagi waima dari kalangan ikhwah akhawat sendiri pun.  Semoga islammu kekal sehingga bertemu tuhan..seperti bunga musim bunga yang layu setelah tamatnya sunnatullah.

Thanks..

Penuh keharuan.  Kay mengundur diri. Tangannya mengenggam erat kuntuman ros di tangan. Perempuan tua itu senyum. Ketika tren yang ingin dinaikinya menghampiri platform, mata tuanya merenung balik tubuh Kay yang meminta diri terlebih dahulu untuk mngejar trennya pula. 

"May god bless you son."

*********************************************************************************


Bunga bertukar tangan, namun bukan sahaja bunga yang dia dapat,
tetapi apa yang tersirat disebalik sekuntum bunga.
[kredit gambar]






May you remains a good muslim just like a flower. Only dies when the god calls for it.”


    Ayat terakhir itu terngiang-ngiang di kepala. Bagai masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri dan masuk kembali ke telinga kanan.  Kay hela nafas panjang.  Ada satu rasa yang sedang bertapak di hatinya. Rasa keinsafan.  Keharuan yang datang tanpa diketahui dari mana.  Adakah disebabkan kata-kata tadi?
Sepanjang perjalanan pulang, Kay buntu.  Akhirnya, dek kerana gelisah hati yang ingin didesak pergi, sesampai sahaja dia di Birmingham New Street Station kakinya terus dihalakan untuk mengambil tren ke Selly Oak Station pula. Namun, bukan arah rumahnya yang dituju, tetapi rumah Kahfi, rumah yang didiami oleh beberapa abang seniornya.  Salah seorang dari mereka merupakan naqibnya, Abang Ayid.

“Abang, kenapa saya tak boleh hilangkan perasaan ni?”

Kay memandang tepat wajah Ayid.  Lelaki berwajah putih bersih dengan sedikit janggut di dagu itu senyum nipis. Nama sebenarnya Khalid tetapi dia lebih selesa orang memanggilnya Ayid.

“Apa yang Kay rasa bila dapat bunga ni?” 

soalnya kembali sambil jari-jemarinya membelek kuntuman bunga ros yang Kay letakkan di atas meja. Kay angkat bahu. Perasaannya sukar ditafsirkan.

“Entah. saya rasa tergamam. Terkejut jugak. Tersentak pun ada.”

Kepalanya digaru sedikit. Tak tahu bagaimana hendak digambarkan perasaannya saat itu.

“Hmm..ok. Sekarang bagitahu abang dari mana dan kenapa itu perasaan Kay?”

 Bagai seorang kaunselor Ayid mencungkil satu-persatu isi hati adiknya yang seorang itu. 

“Tergamam. Tak sangka perempuan tua itu akan bagi bunga pada Kay. Rasa terkejut tu mungkin sebab saya tak sangka dalam banyak-banyak cara dia nak berterima kasih ialah dia bagi bunga. Tersentak tu...sebab...”

Sekali lagi Kay garu kepala.

“Sebab dia orang putih. Kay tak sangka dia akan pesan macam tu pada Kay?”

Ayid meneka, menghabiskan kata-kata Kay. Kay tersengih. Tak tahu nak jawab apa sebab dia sebenarnya pun tak pasti.

“Entah. Kay rasa Kay malu sebab orang putih yang pesan macam tu pada Kay.  Kay rasa makcik tu nampak Kay baik masa tu tapi dia tak tahu pun Kay ni macam mana di sebalik Kay yang tolong dia kat train station tu...”

Tanpa berselindung Kay meluahkan rasa hatinya.  Namun, reaksi  Ayid nyata mengejutkan.  Ayid gelak besar! Hahahaha...sampai berair-air matanya. Kay tarik muka. Isy...

“Ermm...ops..afwan..afwan..”

Tersedar muka Kay dah lain macam, Ayid membuang sisa tawanya. Dia menarik bahu Kay dan dipeluknya erat. Telapak tangnnya menepuk-nepuk bahu itu mesra, penuh kasih sayang. Ayid sedar pemuda di sebelahnya insan yang sangat sensitif. Setiap detik dalam hidupnya sangat signifikan dan sentiasa dijadikan panduan dalam hidup.  Maka, menjadi tanggungjawabnya membimbing Kay untuk melalui detik-detik itu sebaiknya agar setiap masa itu memandu Kay ke arah jalan hidup yang betul.

“Kay tahu ada orang yang tahu apa yang Kay buat?  Semua benda yang Kay buat dia tahu?”

Ayat bertukar matang semula. Kay angkat kening.  Tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan Ayid.

“Siapa?Abang Ayid hijack life saya ya?”

 Meluru Kay menyerang Ayid.

“Mana ada! Bukan saya tapi..”

“Tapi..?”

“Allah...”

Pendek jawapan Ayid. Kay terdiam. Tiada sangkalan mahupun bantahan.  Benar, Allah maha melihat.  Tiada yang terlepas dari pandangannya.  Kay gigit bibir.

“Apa kaitannya bang?” 

Lemah dia menyoal. Terasa tak bermaya pula tiba-tiba bila diingatkan tentang hakikat Allah yang maha melihat. Kalau tadi dengan orang tua yang tidak tahu apa yang dia buat di rumah pun dia rasa malu bila dikatakan a good muslim kini rasa malu bertambah-tambah bila Allah tahu dia buat baik pada orang tua tapi dalam masa yang sama masih ada lagi kelalaian dan kesia-siaan yang dia lakukan.

“Kenapa abang cakap macam tu? Sebab,  Allah maha melihat dan dia juga maha penyayang.  Dia tahu hambanya yang seorang ni baik sebenarnya.  Kan?Sebab dia sayangkan hambanya tu, bila dia nampak hambanya buat salah dia bagi teguran cara halus. Dialah yang membuatkan orang tua yang Kay jumpa tu menuturkan kata-kata tu pada Kay, dan kerana Dialah juga yang membuatkan Kay terasa dengan kata-kata itu. Supaya Kay terfikir dan berfikir kenapa Allah mengaturkan pertemuan Kay dan perempuan tu..”

 Lembut dan berhemah Ayid memberi jawapan.  Bicaranya yang sedikit itu perlahan-lahan diserap masuk ke dalam hati. Kay tarik nafas panjang.  Kepalanya disandarkan pada bahu sofa dengan belakang bahunya masih lagi berlapikkan lengan Ayid.

“Abang rasa sangat sweet la..sebab mak cik tu titipkan bunga ros ni sekali. Mentang-mentang musim bunga. Tau tak apa yang abang terfikir.?”

“Apa dia?”

"Abang terfikir yang Allah tegur Kay di musim bunga..dengan bunga ros ni supaya bunga ros ni dapat berikan suntikan anaesthetic pada Kay . Jadi, tak adalah Kay sakit atau terasa hati bila ditegur dan dipesan macam tu..”

Kay sengih. Ehem, macam kenal lah ayat tu.

“Abang,  saya tak adalah pelupa sangat tapi bukan ke ayat pasal suntikan anesthetic ni dialog cerita Full House?” 

 Tersengih-sengih Kay membidas.  Matanya sempat dikenyitkan pada Ayid yang tersipu-sipu. Aduh, kantoi!

“Hehe..people make words. I just apply it in my real world!” 

Ayid senyum disambut dengan senyuman Kay. Dua-dua kelihatan lega terutama sekali Kay. Wajahnya yang agak berserabut selama lebih dua jam dari London Ke Birmingham tadi beransur hilang. Hatinya mengakui kebenaran kata-kata Ayid..tentang teguran Allah padanya di musim bunga...manis sebab dihiasi hadirnya sekuntum bunga ros.
**********************************************************************************

“Ok! No more game, no more drama...no more akademi fantasia!”

Kay bersuara keras, yang hanya ditujukan pada dirinya sendiri. Bagai mendapat nafas baru, dia membuat cita-cita baru. Sesuatu yang ingin dicapai dan dikecapi.
Sedikit keazaman yang dipupuk untuk menjadi insan baru yang lebih syumul cara hidup ad-dinnya. Musim bunga baru tiba dan dia disuntik dengan peristiwa bermakna. Kay sedar, perubahan perlu dilakukan.. .agar dia menjadi bunga islam yang mekar.

Because i am a muslim boy.  Saya patutnya jadi bunga yang bukan sahaja cantik dipandang tapi harum baunya.”

Empat pasang mata yang lain memandangnya kagum. Tidak disangka, ada cerita di sebalik ada taman dalam hati sahabat yang seorang ini. Ingatkan Selly Oak ni bertamankan Selly Park je.

Allah is so lovely huh?!” 

Kay senyum.Pandangannya ditebarkan pada bunga-bungaan yang indah menghiasi taman hingga matanya terhenti pada pohon sakura berbunga merah jambu.

Yes, He is! If He’s not, where does these flowers come from?

Semekar bunga di taman..

Sehidup hati manusia..

Berakhir musim bunga..

Yang layu dan gugur hanya bunga..

Sebab itulah sunnah Allah padanya..

Tetapi hati perlu terus mekar kembang..

Sebab masa untuknya belum tiba..

Teruskanlah segar hingga ke syurga..
Rentetan Mabit Musim Bunga 2011
Perubahan itu sukar, namun jangan sukar itu dijadikan ukuran.
mengekalkan perubahan itu memerlukan pengorbanan.
Ganjaran pengorbanan?
Allah sahaja mengetahuiNya.
Wallahualam.





Wednesday, 13 April 2011

[Cerpen] Seribu Erti Hazumi. [Bahagian 1]



Suasana petang di Selly Park

“Kau ni..macam perempuan lah Kay!”


Kay gigit bibir. Kurang ajar punya budak. Suka hati je mainkan jantina aku.

“Suka tengok bulan..suka bunga pulak tu...” 

Berderai ketawa rakan-rakannya petang itu. Di kala itu mereka serumah sedang berkelah di Selly Park, salah satu taman rekreasi yang ada di kawasan perumahan Selly Oak. Hanya sepuluh minit dari rumah mereka. Telatah Kay yang asyik menikmati keindahan landskap di situ mengundang usikan rakan-rakannya. Lebih-lebih lagi dia asyik pula bergambar dengan bunga-bunga di situ.

“Jambu betul gambar kau dengan bunga sakura yang pink ni...ala-ala drama korea...” 


Giliran Hafiz pula bergurau.  Kay sengih, ingatkan nak back up. Sama je dua kali lima dengan yang lain. Macam nilah kawan baik.


“Ok ape..memang orang kata muka aku macam Lee Hyun Ill pun,” balas Kay selamba.
“Ewww” Serentak kawan-kawannya menyahut. Kay senyum lebar. Aku iyakan kata-kata korang dapat eww-eww pula.

“Eh.. tapi Hyun Ill tu pemain badminton la...” 


Sekali lagi berderai ketawa mereka.  Kay garu kepala.  Adoi, tersalah bagi contoh pula.


“Korang tau kenapa aku suka bunga..?” 

Malas melayan usikan, Kay melontarkan soalan.Masing-masing mengangkat kening. Ni sesi kuiz ke?

“Because i am a muslim boy..”
Bunga, membawa seribu erti?
[kredit gambar]

*********************************************************************************
Peak Hour!

   Suasana hingar-bingar di stesen kereta api London Euston. Lautan manusia bersimpang-siur di setiap pelosok.  Semuanya bertolak-tolakan untuk masuk ke dalam tren tanpa mahu menunggu penumpang di dalamnya turun terlebih dahulu.  Huh, manusia.  Di kala keadaan sebegini,  semua melupakan adab sopan. Terbukti salah mereka yang mengatakan manusia dunia barat ini berakhlak terpuji.  Kay, atau nama sebenarnya Khair Al-Amin mengesat peluh di dahi sambil melabuhkan punggung di salah satu kerusi yang ada di bilik menunggu bersebelahan dengan platform 9, di mana kereta api yang ingin dinaikinya akan tiba. Meskipun suhu musim bunga di situ hanya  20 Celcius, kurang 15 Celcius dari kepanasan Malaysia, ia ternyata mampu memercikkan peluh hangat.

    Kay meneguk banana milkshake yang dibeli sebentar tadi buat menemani perjalanan pulangnya ke Birmingham. Ha, terasa ada kedinginan yang mengalir dan menyejukkan tekaknya yang kekeringan. Kay senyum lega. Dia pandang sekeliling. Cermin lutsinar bilik tersebut memberikan pandangan jelas keadaan di luar. Lapisan manusia sedang menanti tren di dua platform yang berbeza.  Satu di paltform 10 dan satu lagi platform 9. Mereka yang berada di platform 9 tentunya akan menaiki tren yang sama dengannya iaitu menuju ke Birmingham New Street.

No! Wait for me!

    Suara halus seorang perempuan tua menarik perhatian Kay.  Pantas dia memanjangkan leher meninjau di balik cermin bilik menunggu.  Ada seorang perempuan kuit putih dalam lingkungan 70-an sedang dinafikan dari menaiki tren.  Sekitar platform 10 sudah kosong. Hanya tinggal dia seorang.  Pegawai yang melepaskan tren tadi untuk berlepas enggan mempedulikan perempauan tua itu. Perlahan-lahan ada air mata yang turun dari hujung matanya. Kay rasa kasihan. Dia tahu di waktu puncak sebegitu tidak ada insan yang benar-benar mahu menolong. Mata pantas melirik jam di tangan. Pukul 5:30 petang. Ada kira-kira dua puluh minit lagi sebelum tren yang ingin dinaikinya sampai. Lalu, dia pantas menyarung beg galasnya dan berkejar keluar ke platform 10.

“Excuse me lady. I saw what happened. Let me help you please. Where do you want to go?”

Terkejut. Sepasang mata bening yang masih bersisa air mata merenung anak muda di hadapannya.  Bagai tidak percaya ada orang yang sudi menghulurkan bantuan. Lelaki asing pula tu. Bukan anak muda tempatan.


The train...the train..” 


Bagai tidak teratur suara yang keluar dari bibir tua itu. Kay tarik nafas. Dia sedar orang tua di hadapannya sedang kalut. Lantas, bahunya diusap lembut, cuba meredakan keresahannya. Bawa bertenang makcik..Perlahan getusan suara itu lahir dari hatinya.

“Calm down, You will be fine. Im here to help you.”  

   Kay melemparkan senyuman manis.  Sedikit kata-kata Kay akhirnya mengendurkan sedikit keresahan di wajah perempuan tua itu.


Oh yeah..”

   Suara lemah itu menyahut.  Kay menghulurkan tangan ingin membantu menjinjing beg bimbit berwarna biru muda kepunyaan perempuan tua itu.  Agakkannya mungkin itu beg pakaiannya. Masya Allah beratnya! Sejurus selepas beg beralih tangan,  Kay merasakan seolah-seolah ada budak berusia 5 tahun sedang bergayut di tangannya. Ya Allah, macam manalah makcik ni boleh cukup kuat memegang beg seberat ini dalam genggaman tapak tangannya?


“May I know what is your destination?” 


Bersambung....
[hakcipta terpelihara Ikram WM]

Tuesday, 12 April 2011

[reviu buku] Sinergi: Merengkuh Hidup Bertarbiah

Judul: Sinergi
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2010
Harga: RM23.00
Bil.mukasurat: 500

Novel kelima Hilal Asyraf kali ini berkonsepkan slice of life komuniti pelajar Melayu di Jordan. Cerita dibawa dari pelbagai sudut pandang ketiga. Memandangkan latarnya sangat benar dan bukanlah fiksi, naskhah ini secara tidak langsung saya pandang juga sebagai semi-fiksyen, kerana penulis menceritakan pengalaman dan berkongsi suasana yang dialaminya sendiri, sebagai salah seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Bukan setakat latar tempat, latar masyarakat, nama-nama yang terlibat juga ada yang benar. Saya menyedari ini kerana banyak di antara nama itu disebutkan di dalam laman sesawangnya.

Sinopsis

Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi. Dua sahabat akrab ini memberi kesan harmoni kepada masyarakat sekeliling mereka, apatah lagi pelajar Melayu yang tinggal di Irbid, Jordan. Namun ujian datang menguji kelangsungan ukhuwwah mereka. Disaster Five, lima pelajar bermasalah hadir dan memanipulasi konflik dua sahabat ini untuk memporak-perandakan semua. Rancangan tersebut diperhebat apabila hadir pihak ketiga bergelar Secret, yang mendendami Irfan atas kematian abangnya. Irfan dan Rasyid pelu mencari jalan untuk menawan hati mereka semula supaya kembali ke arah kebenaran.

Tarbiah Sepanjang Tahun, Oh Bukan, Sepanjang Hidup!

Pembawaan kisah kehidupan pelajar di bumi asing hampir setahun bermula Ramadhan bukan sahaja menelusuri tarbiyyah manusia sepanjang tahun, tetapi sepanjang hidup. Melalui Ramadhan contohnya pembaca diperkenalkan keutamaan taqwa; Iduladha pada mustahaknya pengorbanan dan cinta. Permasalahan yang selalu melayang dalam fikiran remaja khususnya banyak dibincangkan dalam novel ini. Ilmu itu pula, menariknya, disampaikan melalui medium yang bervariasi, dari ayat-ayat Al-Quran sehinggalah bingkisan sirah. Tambah telus bila pengarang bermain dengan analogi, permainan emosi, hati juga psikologi.

Penulis mengajak kita berfikir pada setiap kata-kata yang dilontarkan. Setiap adunan tazkirah dan nasihat adalah bertujuan membangunkan hati-hati yang masih nyedar. Membuatkan setiap apa yang diselitkan dalam program-program seperti usrah dan introspeksi menjadi penting, dan penulis menyuruh kita menyedari itu secara halus. Kalau tidak bangkit 'disimbah air' kesedaran juga, kita masih perlu baiki diri!

Tentang Dakwah

Sinergi merupakan satu buku panduan yang cantik dalam menyampaikan mesej dakwah yang indah lagi halus. Kemunculan Disaster Five, lima orang pelajar dengan bermacam-macam ragam merupakan simbolik kepada mad'u atau objek dakwah yang perlbagai. Setiap individu yang didekati dalam menyampaikan dakwah mempunyai latarbelakang berbeza, masa silam, kelebihan, juga kekurangan yang tidak sama. Tentunya, cara menyentuh hati-hati setiap satu dari ahli Disaster Five ini juga tidak sama. Harith digoncangkan hatinya dengan kekuatan fizikal. Yusuf disuguhi dengan jasa, begitu contohnya.

Aspek lain dalam dakwah adalah seputar usaha. Dakwah tidak dipandang pada hasilnya dahulu, tetapi yang lebih didahulukan sepatutnya usaha yang telah dikerahkan. Sekalipun para mad'u tidak meyahut seruan dai'e, tanggungjawab yang kita pikul itu sudah kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. Hasilnya adalah di dalam tangan Allah jua. Hal ini ditonjolkan dalam usaha Irfan yang tidak putus asa mendekati ahli-ahli Disaster Five.

Dalam menyelami tugas dai'e rasa tanggungjawab perlu dihayati terlebih dahulu. Betapa tugas sebagai da'ie ini bukan mudah. Masalah saudara-mara kita, saudara seagama kita perlu difahami seintim mungkin, bukannya memerhati dari permukaan, tetapi menggulatinya dari dasar. Pengalaman ini telah diceritakan melalui Asid yang resah berfikir mengenai tanggungjawabnya kepada mereka yang masih belum merengkuh hidup bertarbiyyah. Maeve Binchy, dalam novelnya Nights of Rain and Stars, memberi solusi tepat dalam menyelesaikan sesuatu masalah, katanya: Don't just look on it, but be a part of it as well. Dengan itu barulah kita boleh memahami situasi yang melanda.

Selain itu, dinisbahkan juga metod dakwah kepada dua: Dakwah fardiyyah untuk anggota-anggota Disaster Five, dan dakwah berskala besar untuk sesama warga PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid). Uslub yang dipertontonkan pada pembaca semuanya bertunjangkan apa yang dibawa oleh baginda Rasul dan para sahabat, lalu diperhalusi lagi dengan seni dakwah Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat sefikrahnya Ikhwanul Muslimin. Berhikmah, dan tidak putus asa.

Kenapa Sinergi?

Pengarang dengan suka memperkenalkan kepada kita jalur konsep ukhuwwah dengan bancuhan urnanya yang tersendiri. Dalam Sinergi, konsep tersebut merujuk kepada formula 1+1=3, tidak semestinya dua jawapannya. Formula ini mengajar pembaca betapa kesatuan dua individu bakal melahirkan sesuatu yang luarbiasa, kerana tanda campur itu merupakan iman. Gugusan iman yang menyatukan dua saudara ini akan menggerakkan mereka menggenggam tali Allah.

Hablum min an-naas dalam novel ini begitu signifikan sifat dan nilainya, begitu juga seperti yang diutarakan dalam novel-novelnya yang terdahulu. Penekanan cara dan sebab melalui persoalan kenapa dan bagaimana yang sering disuakan kepada pembaca menerusi watak pelajar-pelajar sanfur (gelaran pelajar baru di sana) mengajar kita sebenar letak duduk perkara.

Ukhuwwah dengan sahabat bukan sahaja menuntut kita menggaluri haknya sebagai sahabat. Malah penulis menggarisi adab-adab dan tingkatan ukhuwwah yang perlu dikenalpasti oleh setiap manusia yang punya dan ingin mempunyai sahabat persis Asid dan Irfan, yang karibnya hanya kerana Pencipta.

Watak & Cerminan Diri

Mungkin bagi kita, watak Irfan dirasakan hampir sempurna, hampir tiada cacat cela pada perkataan dan perbuatannya. Tetapi di mana salahnya watak sebegitu? Irfan adalah seorang watak contoh, watak idaman setiap manusia. Pembaca disuluh dengan pemikiran watak ini supaya kita dapat mencontohinya. Sekiranya kalian pernah membaca Ayat-Ayat Cinta karangan Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy), persoalan watak sempurna ini pernah dibangkitkan melalui watak Fahri. 

Watak kurang sempurna masih ada, tentunya dinisbahkan pada komuniti pelajar Melayu di Irbid yakni warga PERMAI sendiri, yang sekejap baik lakunya dan sekejap lagi kurang teliti. Setelah ditegur barulah insaf kembali.

Watak 'kembar' atau sahabat akrab Asid dan Irfan pula menggambarkan kepada pembaca mengenali dua sisi diri: satu menuntut kebaikan dan satu lagi keburukan. Asid bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, tetapi dia kurang stabil emosi dan fikirannya berbanding watak Irfan. Dua watak berbeza ini bukan sahaja mencerminkan sifat dua sahabat, malah seharusnya diimplementasikan dalam figura sendiri.

Dalam hati kita, akan ada emosi yang mengganggu. Hati juga dijamu dengan jalan keburukan dan ketaqwaan. tetapi yang beruntung adalah orang yang memilih jalan kesucian. Ini dibuktikan dalam Al-Quran surah Asy-Syams ayat 8-10, dan tercermin pula pada watak Asid yang berjaya mengelakkan diri dari kefasadan.

Pun begitu, di sebalik kekuatan novel ini, sedikit kekurangan yang boleh diperbaiki ialah rincian yang disertakan dalam buku ini. Kadang-kadang maklumat yang disampaikan agak deskriptif dan teknikal. Watak-watak sampingan yakni pelajar-pelajar Melayu yang disebut namanya di sana-sini juga boleh dikurangkan. Ketika saya membaca novel ini, pembaca boleh terkeliru dengan nama-nama yang banyak. Setiap satunya pula diperincikan dengan jurusan dan tahun pembelajarannya, tambah mengelirukan kadangkala.

Pada awal bab contohnya, pembaca terus diperkenalkan kepada watak yang agak banyak, setiap satunya belum cukup 'dekat' dengan pembaca. Watak-watak utama seperti Asid, Irfan, Syafiq, Erman dan Baha contohnya perlu difokuskan terlebih awal sebelum watak-watak pelajar lain dibabitkan. Setelah pembaca mampu mengikat diri mereka dengan watak utama ini, barulah watak sampingan itu di selitkan sedikit demi sedikit. Atau mungkin juga penulis secara tidak langsung ingin mengatakan bahawa setiap watak itu penting? Hanya penulis saja mampu menjawabnya.

Perkara-perkara kecil juga boleh diperbaiki, antaranya Yusuf, Wafiq dan Harith yang sekejap bertukar ganti dari kata ganti 'saya' kepada 'aku' ketika mereka meluah rasa tentang masa silam mereka, punca mereka memberontak sebegitu rupa pada Irfan, Asid dan rakan-rakan. Dengan penelitian yang lebih, seni penceritaannya pasti lebih sempurna.

Novel ini mengingatkan kita peri pentingnya hidup di bawah wuwungan Allah, dan bagaimana hebatnya jika merengkuh diri kepada sahabat bukan kerana materi, tetapi berpaksi imani. Jika kalian dahagakan curahan tarbiah dari sebuah buku, rengkuhlah Sinergi, nescaya hati akan terisi, Insya Allah.

Sunday, 10 April 2011

Sekitar Misi Kasih Palestin 2011

     Alhamdulillah, hampir sebulan masa berlalu meninggalkan tarikh bersejarah iaitu 18 Mac 2011. Tarikh ini merupakan tarikh berlangsungnya Misi Kasih Palestin yang merupakan aktiviti sulung IKRAMWM.
   
Segalanya berjalan lancar, kami berasa sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh warga West Midlands dari segenap lapisan masyarakat tidak kiralah mereka pra-siswazah, pasca siswazah mahupun adik-adik kecil. Selain warga WM, terdapat juga mereka yang datang dari Cardiff, London, Guilford dan beberapa lagi lokaliti lain diserata UK datang untuk mengimarahkan lagi majlis ini.
Bacaan doa oleh saudara Naufal Jailani

   Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Naufal Jailani, kemudian ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Mas'ul Ikram WM sesi 10/11 iaitu saudara Wan Anuar Fahmi Wan Mohamad.


Ucapan alu-aluan oleh Mas'ul Ikram WM 


   Forum yang bertajuk Palestin dan kita menjadi medium penyampaian informasi kepada para hadirin yang hadir. Pelbagai maklumat, fakta dan sejarah yang ditimba, rasanya memang tidak sia-sia bertandang ke majlis ini. Bagi menjayakan forum Palestin dan kita, seramai tiga orang ahli panel yang telah diundang. Ahli panel tersebut ialah  Ustaz Shamsul Maarif Hj Ismail merupakan YDP IKRAM Selangor, Ustaz Mohd Asri bin Abdullah  merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia- JAKIM sejak 1999 dan juga  Puan Dina Imam Supaat  merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia-USIM. 

Ahli panel.
Dari kiri: Puan Dina, Ustaz Asri dan Ustaz Shamsul.




Menjawab pelbagai persoalan mengenai isu mengenai Palestin bumi anbia.


Palestin dan kita, menyingkap pelbagai persoalan tentang sejarah Palestin, isu ini dimata dunia dan juga apa peranan kita dalam usaha memerangi krisis kemanusiaan ini. Forum yang berlangsung hampir satu jam setengah ini diserikan dengan persembahan anak-anak pasca siswazah di sekitar WM sendiri, aksi mereka yang comel dan juga suara mereka yang bersemangat membuatkan mereka yang hadir terpukau. 


Persembahan nyanyian.
Membuatkan mata yang mengantuk menjadi celik. Hebat.



Sebelum memulakan persembahan, wah bersemangat sungguh adik-adik Tunas Taqwa ni.


Turut menyanyi bersama adik-adik comel ini.
Lagu yang penuh dengan mesej perjuangan Palestin.

    
       Face painting, jaulan amal dan juga Carboot sale  yang diadakan merupakan antara salah satu medium untuk mereka yang hadir menginfakkan wang. Acara face- painting telah dikendalikan oleh Puan Ainol dan juga beberapa orang pembantu yang lain.  Lihatlah hasil face painting yang dihasilkan.


Wah, siapa mereka ni?



Riang sungguh dengan ikan dolphin.:)


    Diakhir majlis, salah seorang wakil Beirut telah diundang untuk menceritakan pengalaman berharga beliau. Oh, ya, pelancaran blog IKRAMWM juga turut menutup tirai majlis ini. Diharap MKP banyak memberi manfaat kepada mereka yang hadir dan menjadi pembakar semangat kita semua dalam terus istiqamah mempertahankan tanah suci umat Islam yang merupakan bumi anbia, bumi Isra'.


   Jutaan terima kasih dari kami, IKRAM WM pada semua yang menjayakan majlis ini secara langsung dan tidak langsung. Semoga majlis seumpama ini dapat diadakan lagi dengan jayanya. 

Monday, 4 April 2011

Belasungkawa

Dukacita dimaklumkan bahawa ibu kepada sahabat kita, Muhammad Hafiezul Hafizz, telah pulang ke rahmatullah pada hari ini, jam 7.00 pagi waktu Malaysia (4 April 2011). Ucapan takziah buat Hafizz dan keluarganya dari kami di West Midlands. Semoga beliau ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman di sana.

Mohon doa dari para pembaca sekalian. 

Al-Fatihah.