Assalamualaikum wbt~
Alhamdulillah.. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan nikmat dan inayahnya, IKRAM WM dengan kerjasama Malaysian Society(MaSoc) University of Birmingham, berjaya mengadakan program solat hajat dan ceramah motivasi yang bertempat di Cadbury Room, University of Birmingham pada tanggal 7 Mei 2011. Majlis kali ini diceriakan lagi dengan kehadiran Ustaz Amar Sidque Mohd Amin, atase pendidikan (Bimbingan Agama) Education Malaysia yang baru sahaja sampai di United Kingdom pada bulan April yang lalu. Selamat datang diucapkan kepada Ustaz!
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah dan disusuli dengan solat sunat hajat. Dalam kesempatan yang ada, Ustaz Amar sempat untuk berkongsi mengenai fadilat dan kaifiyah solat sunat Hajat berdasar sunnah Rasulullah saw.
Saudara Muhammad Herman Rawi melaungkan azan menandakan masuknya waktu solat fardhu Maghrib
Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan oleh Saudara Mohd Rasydan Baharin, pelajar seni bina dari Birmingham City University mengenai ayat Seribu Dinar.
Saudara Rasydan saat membacakan potongan dari ayat suci Al-Quran
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberi rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sungguh, Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu”
[Surah At-Talaq : 2-3]
Ayat yang dibaca menerangkan konsep usaha dan tawakkal dalam kehidupan seorang muslim. Sering kali disalahfahami bahawa tawakkal itu datang selepas usaha ataupun selepas penat belajar barulah berdoa. Namun, dalam ayat yang lain Allah swt menerangkan bahawa “faiza ‘azamta fa tawakkal ala Allah” yang maksudnya, “Maka apabila kamu berazam( untuk melakukan sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah”. Penggunaan “fa” dalam frasa kedua ayat tersebut menegaskan bawaha kepentingan bertawakkal sejurus berazam atau berniat melakukan kerja tersebut.
Juga, ingin ditekankan dalam ayat yang dibacakan adalah segala keputusan itu adalah berdasarkan ketetapan Allah. Justeru, apa yang perlu difikirkan oleh para hadirin adalah kepada usaha dan menerima segala keputusan yang telah ditetapkan oleh Maha Mengetahui.
Ucapan dari wakil IKRAM WM
Ucapan dari wakil MaSoc University of Birmingham
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan dari wakil IKRAM WM, saudara Wan Anwar Fahmi Wan Mohamad, pelajar Kejuruteraan Kimia University of Birmingham dan disusuli oleh ucapan dari wakil MaSoc, saudara Abdul Hadi Khalim, pelajar Kewangan University of Birmingham.
Kini, tiba giliran tetamu jemputan khas untuk majlis pada malam tersebut, Ustaz Amar untuk menyampaikan ceramah motivasinya yang bertajuk “Persediaan Menghadapi Peperiksaan”. Dalam ceramah motivasi beliau, Ustaz sempat menyentuh beberapa persediaan yang perlu dilakukan sebelum menduduki peperiksaan antaranya persiapan fizikal, persiapan mental, persiapan emosi dan persiapan rohani.
Ustaz Amar Sidque sewaktu menyampaikan ceramah beliau
Moga ceramah yang disampaikan oleh Ustaz sedikit sebanyak mampu mempersiapkan diri para hadirin yang bakal menduduki peperiksaan bermula minggu hadapan.
Juga, antara doa-doa yang dikongsikan oleh ustaz;
a. Doa semasa mengulang kaji pelajaran
"Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu, juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih"
b. Doa sewaktu masuk ke dewan peperiksaan
"Ya Allah, persiapkan kami mengenai dengan urusan kami dengan petunjukMu"
c. Doa ketika lupa
"Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa" (diulang 3 kali)
d. Doa memohon kejayaan (dibaca setiap kali sebelum tidur sehingga mendapat keputusan)
"Ya Allah Kami memohon kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada’ dan kehidupan orang-orang bahagia serta kemenangan mengatasi musuh"
Beberapa gambar sewaktu majlis berlansung:
Pengurusi majlis pada malam tersebut, Saudara Ahmad Shahrul Kamal Hj Syahid
Sebahagian dari peserta lelaki yang hadir
Sebahagian dari peserta perempuan yang hadir
Sesi menyampaikan cendera hati tanda terima kasih kepada Ustaz Amar Sidque kerana sudi menerima jemputan
Bittaufiq wan najah dari IKRAM WM kepada seluruh warga West Midlands~
“…Katakanlah ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’, sungguh mereka yang memperoleh pengajaran adalah (mereka) yang berfikir mengunakan akal yang sihat”
[Surah Az-Zumar : 9]