"Why do muslim women cover their leg?"
"Why do muslim men wear a special hat?"
"Why do we need God?"
"Why do you pray five times a day?"
"Why do women cover their head?"
Inilah antara soalan yang bertubi-tubi ditanya oleh adik-adik kecil Year 2 dari Raddlebarn School. Alhamdulillah, pada Khamis, 16 Jun 2011 yang lalu, kami selaku anak-anak muda Malaysia Selly Oak telah berkesempatan untuk menyertai program lawatan sambil belajar adik-adik comel ini ke Jalalabad Mosque.
"Ada soalan?" Terus beberapa tangan diangkat. |
Ingin cuba menjawab, tidak takut salah |
Disebabkan lawatan yang telah dirancang antara pihak Raddlebarn School dan Imam Jalalabad Mosque ini merupakan program pertama kali seumpamanya dianjurkan di masjid ini, pihak masjid sejak awal lagi telah melakukan persiapan yang rapi untuk menyambut tetamu-tetamu kecil ini. Islam yang indah perlu ditonjolkan, terutama kepada insan kecil yang sentiasa menilai selepas memerhatikan. Beberapa hari sebelum lawatan, skrin untuk LCD projector telah mula diangkut ke sana ke mari di dalam masjid untuk menentukan lokasi terbaik untuk tayangan video. Ada pula anak muda yang ditugaskan untuk ke Green Lane Mosque di Coventry Road untuk bertanya dan belajar daripada masjid yang berpengalaman mengendalikan program seumpama ini, selain mengambil salinan video dan bahan-bahan yang sesuai untuk dipersembahkan kepada anak-anak yang bakal datang nanti.
Sehari sebelum lawatan bersejarah ini pula, pihak masjid dengan kerjasama pemuda-pemuda di Selly Oak ini telah bergotong-royong membersihkan ruang wudhu' dan perkarangan masjid supaya lebih bersih dan kemas. Pada malamnya, mereka yang terlibat secara langsung untuk penyampaian telah beberapa pusingan melakukan latihan bagi melancarkan interaksi mereka dengan anak-anak kecil itu keesokan paginya. Pendek kata, persediaan yang dilakukan serba-serbi lengkap demi memastikan imej Islam ditunjukkan sebaik mungkin. Brother Abdul Latif, seorang pemuda Arab dalam lingkungan 40-an telah mengetua proses persiapan ini A to Z, berdasarkan pengalaman berharganya berguru dengan Sheikh Ahmad Deedat lebih kurang 20 tahun yang lalu. MashaAllah!
Bersama sukarelawan yang terlibat |
Seawal 9 pagi, sukarela yang berjanji untuk hadir memberi bantuan telah mula berkumpul di masjid. Beberapa orang sisters juga telah diundang untuk membantu, terutamanya dalam interaksi dengan guru-guru sekolah yang semuanya perempuan. Antara yang turut meluangkan masa adalah seorang sister undergraduate dan Kak Ainol, isteri kepada seorang postgraduate di sini yang memang tidak dinafikan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan komuniti local di Selly Oak ini. Tambahan pula, anak gadisnya kini bersekolah di Raddlebarn School juga, tetapi dalam Year 6. Dua lagi sisters yang turut membantu adalah reverts, yang kemudiannya telah diminta oleh Brother Abdul Latif menjadi penyampai utama di hadapan anak-anak kecil itu. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa Islam tidak menyekat golongan hawa daripada ke hadapan dalam bidang tertentu, terutamanya pendidikan, dan secara tidaklangsung membuang tanggapan masyarakat barat terhadap kedudukan wanita dalam Islam.
Tepat jam 10 pagi, anak-anak Year 2 itu tiba di perkarangan masjid, dengan diiringi oleh empat orang guru mereka yang sangat profesional. Antara yang amat mengagumkan dan boleh dipelajari daripada guru-guru ini adalah cara mereka mengawal anak-anak kecil itu, yang sudah pastinya sangat aktif dan banyak kerenahnya. Marah, tengking bukan caranya. Pukul, rotan jauh sekali!
"Children, line up please." Dalam suasana yang riuh, hampir semua tidak mengendahkan arahan si guru.
"Alright, let's see who can put their eyes on me. Yes, I can see Daniel (contoh) is looking at me. He is so good! Who else? Amy (contoh) has stopped chatting and now looking at me too. Excellent!..."
Dengan penuh hikmah si guru menarik perhatian anak-anak muridnya, sekali gus menenangkan suasana yang tadinya huru-hara. Naluri si kecil yang sukakan persaingan (siapa yang menoleh ke arah cikgunya dahulu) diraikan, dan si guru amat faham yang kemarahan hanya menimbulkan pemberontakan dan mengeruhkan lagi suasana. Bagaimana pula di Malaysia negara tercinta kita?
Kembali kepada soalan-soalan 'panas' yang ditanyakan anak-anak kecil bijak pandai tadi. Dalam konteks dakwah kepada anak-anak ini, isi jawapan yang tepat tidak cukup, tetapi cara menjawab yang betul amatlah penting. Seorang da'ie perlu bijak 'membaca' mad'unya. Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah da'ie terbaik amat berhati-hati dalam kata-katanya apabila berhadapan dengan individu yang berlainan kapasiti intelek dan pemahaman. Alhamdulillah, sukarela yang hadir telah menjawab semua soalan-soalan ini dengan baik, menggunakan approach yang menarik, dan kelihatannya memuaskan hati si penanya dan hadirin yang lain. Apa jawapannya? Jika anda yang ditanya, apakah jawapan anda? Tepuk dada, tanyalah diri, sudah cukupkah ilmu Islam yang ditimba dan difahami. Jika belum, adakah masih bergoyang kaki?
Sesi pembentangan diakhiri dengan kuiz tentang video yang ditayangkan sebelumnya. Geli hati juga mendengarkan jawapan-jawapan anak-anak kecil itu. Masing-masing berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab, walaupun tidak pasti sama ada jawapan di kepala betul atau tidak. Malah ada yang tiada jawapan pun, tetapi turut berebut ingin menjawab!
"God in Islam is called.....?"
"Me" "Me" "Me" Hampir semua mengangkat tangan ingin menjawab.
"Ale?" "Sorry young man, that's so close! Good! Anyone else?"
"Ani?" "Ops, that's a bit far from the answer. Try again!"
"Is it Anu?" Semua orang gelak kelucuan. "Sorry dear, it's not what I'm looking for."
"It's Allah." Akhirnya seorang adik kecil berkulit hitam menjawab malu. MashaAllah, sebutannya sempurna!
Banyak lagi soalan yang ditanya, dan setiap satunya dijawab dengan baik oleh anak-anak cerdik itu. Ada beberapa anak-anak Muslim yang sangat ghairah ingin menjawab soalan, tetapi peluang yang sama rata diberikan kepada anak-anak lain yang 'belum Islam' tetapi tidak mahu kalah! Teringat pula dengan anak-anak dan adik-adik kita di Malaysia. Apabila ditanya, berat sekali untuk tangan itu diangkat, apatah lagi hendak menjawab. Budaya 'takut salah' sudah ditanam dalamjiwa mereka sejak kecik lagi. Lebih teruk apabila guru tidak pandai memotivasikan dan menggalakkan anak-anak muridnya untuk memberi pendapat, bertanya soalan dan menjawab soalan dengan bebas, penuh berani dan yakin! Apatah lagi apabila perguruan menjadi profesyen sampingan atau pilihan terakhir dalam senarai cita-cita dan pekerjaan impian di Malaysia. Kalau tidak dapat masuk universiti, masuklah maktab perguruan; jika keputusan SPM teruk, jadi cikgulah! Mangsanya adalah anak-anak kita, generasi hadapan yang menjadi tunggak ummah!
Setelah kurang lebih 45 minit bersama, anak-anak itu perlu pulang berjalan kaki semula ke sekolah untuk menyambung sesi pembelajaran mereka. Sebagai kenang-kenangan, setiap satunya termasuklah para guru yang mengiring, telah diberikan bungkusan makanan ringan dan cenderahati, sebelum mereka beratur kemas secara berpasangan, keluar dari ruang solat masjid, mengenakan kembali kasut yang kebiasaanya tidak dicabut apabila masuk ke rumah sendiri, dan beredar sambil melambai manja kepada kami. Alhamdulillah, kepuasan jelas terbayang di raut wajah setiap daripada mereka, seperti juga kami yang bersyukur dan puas belajar pelbagai perkara berharga daripada sesi pendek bersama mereka.
Moga amal yang tidak seberapa ini Allah terima, dan moga manfaat yang diperoleh menjadi panduan pada hari muka insyaAllah. Konsep 'aku hamba' harapnya semakin jelas difahami, kerana pengalaman berharga ini banyak memuhasabah diri, yang tanpa Allah, tiadalah ia bererti.
Wallahua'lam.