Alhamdulillah,
Masih berpeluang melatih diri di Madrasah Ramadhan sesi 1432H. Hanya 29 hari sahaja untuk sesi tahun ini. InsyaAllah. Petang ini pihak yang berkenaan akan mencerap anak bulan dan pada malam ini juga, penyimpan mohor diraja akan mengumumkan bilakah umat Islam di Malaysia akan menyambut 1Syawal atau hari konvokesyen Madrasah Ramadhan.
Madrasah Ramadhan, ganjarannya adalah taqwa. Namun begitu, untuk mencapai taqwa yang dijanjikan Allah, terdapat beberapa KPI(key perfomance indicator)yang Allah telah tentukan. Ulama telah menyenaraikan beberapa peringkat puasa. Dimanakah peringkat kita?
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Al-Baqarah:183)
Inilah peringkat-peringkat puasa yang akan menentukan, kelas manakah penuntut Madrasah Ramadhan akan ditempatkan.
Peringkat pertama :
Puasa golongan awam, mereka berpuasa sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tidak melakukan persetubuhan. Mereka dalam golongan ini masih lagi melakukan dosa seperti dosa mengumpat, melihat perkara haram dan sebagainya.
Peringkat kedua:
Golongan puasa Khawas, pausa mereka agak kukuh berbanding puasa peringkat pertama. Mereka adalah insan yang melalui peringkat pertama setelah melalui proses mujahadah yang rapi. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan pahala. Hasil dari proses mujahadah, mereka juga berusaha menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan pahala puasa.
Peringkat ketiga:
Golongan Khawas al- Khawas. Agak ekslusif. Mereka ini secara zahirnya boleh dikelaskan sebagai penerima ijazah kelas pertama. Puasa ini adalah puasa golongan ulama al- amilin, solihin dan muqarrabin. Mereka berpuasa bukan lagi kerana dosa dan pahala, tetapi kerana ingin mendekati Allah swt. Jadi, sepanjang berpuasa mereka sentiasa ingat Allah dan hasilnya tiada masa lagi untuk melakukan dosa.
Namun, untuk mencapai peringkat ini, mereka perlu melalui peringkat pertama dan kedua. Oleh itu, semuanya bergantung pada iman dan kesungguhan masing-masing dalam mencapai KPI yang telah ditentukan oleh Allah swt.
Setelah melihat KPI yang telah ditentukan, ayuh kita semak semula diri kita. Dimanakah peringkat kita, adakah semakin meningkat, ataupun sama sahaja seperti tahun sebelumnya. Jika sama sahaja, apakah sebabnya?
Apakah kerana kesungguhan kita untuk berubah? ataupun kualiti ibadah kita. Asalkan sah, cukuplah.
Apa yang sedihnya, apakah tahun depan kita masih diizinkan Allah untuk menjalani latihan di Madrasah Ramadhan?
KPI ini, tidaklah untuk menjatuhkan motivasi kita, namun penilaian inilah yang mencerminkan prestasi kita. Menjadi inspirasi pada kita semua untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Tentunya kita semua tidak mahu berada di puasa peringkat pertama selama-lamanya.
Inilah sunatullah, masa tetap berlalu.
Tidak mampu diberhentikan atau dicepatkan walau sesaat.
Madrasah Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Kami, keluarga IKRAM WM
mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.
Maaf Zahir dan Batin.
Taqabballahu minna wa minkum solehal a'mal
Salam Aidilfitri
Ikram West Midlands
Ikram West Midlands