Tuesday 13 September 2011

[cerpen] Duta Kecil

Mari reflek akhlak kita
Pada ibu bapa, orang tua dan sahabat…
Semoga bermanfaat =]

Langit cerah dengan sinar mentari yang sederhana teriknya. Memang begini keadaannya setiap hari dalam musim panas di Birmingham.  Suhunya sangat menyelesakan, tidak sejuk dan tidak juga panas. Sesuai untuk para penduduk keluar menyelesaikan urusan masing-masing. Khair Al-Amin juga sama. Hari itu istimewa buat dia dan penganut islam yang lain. Dia dan Ilham Rizki akan ke Greenland Mosque yang terletak di Coventry Road bagi menunaikan solat sunat aidilfitri. Syawal tahun itu pertama kali disambut di perantauan.
“Ramai betul orang.” Ilham Rizki sedikit merungut. Kala itu mereka sedang menunggu bas di hadapan pasaraya Aldi, perhentian bas terdekat dengan rumah mereka untuk ke bandar Birmingham. Untuk ke Coventry Road, mereka perlu menukar bas di pusat bandar dan mengambil bas yang menghala ke Solihull pula. Dia menjeling sedikit pada skrin yang memaparkan perjalanan bas hari itu. Dua minit lagi. Terasa lambat pula. Pondok menunggu bas yang agak padat itu tambah merimaskannya.
“Biasalah. Kau ingat kita je yang nak pergi sembahyang raya?” Bernada usikan, Khair Al-Amin membalas. Usikannya disambut dengan sengihan Ilham Rizki.
“Haah. Entah-entah ada yang satu saf dengan kita nanti.”Jawapan spontan Ilham disambut dengan gelengan dan senyuman Khair. Dia tidak menafikan kata-kata sahabatnya itu. Pernah satu ketika seorang lelaki mat saleh yang berpakaian kasual membetulkan bacaan Alqurannya ketika dia sedang leka bertilawah sementara menunggu kelas seterusnya. Rupa-rupanya lelaki kulit putih itu dari keluarga mualaf.
Selang dua minit, bas yang dinanti tiba.
“ Cepatlah Kay!” Ilham Rizki pantas menarik tangan Khair supaya dia cepat-cepat menuju ke arah pintu bas yang terbuka. Sedaya-upaya dia cuba menyelit di celah-celah orang ramai yang berpusu-pusu untuk tujuan yang sama.
“Hey boy! Let us first, will you?” Separuh menengking suara seorang tua menampar gegendang telinga mereka. Ilham Rizki tersentap. Air liurnya terasa berpasir. Dia berundur ke belakang namun matanya masih tidak lepas memandang susuk tubuh yang sedikit bongkok itu menaiki tangga bas. Jelas riak terkejut di wajahnya.
“Am, meh sini,”panggil Khair Al-Amin yang sedang elok menanti giliran di belakang seorang gadis Pakistan. Ilham Rizki berpaling. Perlahan-lahan dia melangkah menjauh dari tangga bas, rapat ke sebelah Khair Al-Amin.
“Tu pun nak marah.” Keluh Ilham perlahan. Khair Al-Amin senyum segaris. Belakang badan Ilham ditepuk-tepuk buat menenangkannya. Mereka melangkah memenuhi giliran mereka pula untuk mebayar tambang. Tiket Adult Day Saver jadi pilihan memandangkan mereka perlu menukar bas untuk perjalanan pergi dan balik.
“Betul sebenarnya apa yang pak cik tu cakap. Bagilah mereka naik dahulu. Mereka kan lebih tua dari kita. Menghormati mereka tu kan salah satu dari contoh akhlak yang baik,” ujar Khair lembut. Ilham Rizki yang duduk di tepi tingkap bersebelahan dengannya menggumam.
“Aku ke yang salah Kay?”
Khair Al-Amin angkat bahu.
“Bukan salah Cuma tersilap. Mungkin dalam keadaan tadi kau rasa kau patut naik dulu sebab kau yang sampai depan pintu bas tu dulu. Kalau ikut logik betullah. Tapi, kalau ikut islam, kalau kita dahulukan yang memerlukan kan lebih baik. Akhlak terpuji namanya. Macam tulah kalau nak jadi duta islam.”
“ Eh? Sampai jadi duta pula?” Ilham Rizki angkat kening. Rasanya teguran pak cik tadi macam benda kecil je.
“Haah. Benda macam nilah yang membuatkan orang akan nilai kita.” Khair Al-Amin bersandar pada kerusinya sebelum menyambung kata.
“Cuba bayangkan orang perempuan yang tak pakai tudung tengok orang yang pakai tudung mencarut kau rasa apa dia kata? Dia akan cakap tak naklah pakai tudung nanti orang ingat aku suka mencarut. Kalau lelaki pula, jiran sebelah nampak selalu pergi masjid tetapi balik masjid pegang tangan perempuan dia akan cakap tak naklah pergi masjid, sama je dengan orang tak pergi masjid. Pegang tangan perempuan juga.” Khair cuba memberi contoh mudah supaya senang difahami Ilham. Ternampak Ilham Rizki mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar penjelasannya.
“Betul juga. Selalu memang macam tu kan? Kalau kita tak jaga tingkah laku kita, tak kiralah banyak mana pun amal kita atau tinggi mana pun ilmu kita, orang akan pandang apa yang kita bawa tu salah kan?” tambah Ilham pula menyokong bicara Khair Al-Amin. Dia melepas pandang pada pemandangan di luar. Bas baru sahaja melepasi pintu pagar besar University of Birmingham yang berada dalam laluan bas. Keadaan dalam bas pula bertambah padat kerana setiap kali berhenti, jumlah penumpang yang naik melebihi penumpang yang turun.
“ Dalam kes kita, kita bawa islam. Kita dutanya. Apa-apa yang kita buat, orang akan kaitkan dengan apa yang kita bawa. Lagi-lagi, kita ni budak usrah, budak tarbiyah. Setiap apa yang kita buat adalah dakwah,” terang Khair Al-Amin dalam nada bersahaja. Ilham menguntum senyum di bibir. Benar, perbuatan juga adalah salah satu bentuk penyampaian bagi seorang daei.
“Syukur aku aku dapat sahabat macam kau ni. Sentiasa mengingatkan kala aku khilaf. Insya-Allah aku akan lebih berhati-hati dan menjaga perbuatan aku lepas ni.” Penuh rasa rendah diri Ilham Rizki menuturkan kata-kata.  Khair Al-Amin senyum senang.
“ Kau pun sama-samalah ingatkan aku. Aku ni pun kalau tak kerana tarbiyah yang aku dapat masa di Spain, aku pun tak terkongsi hal ehwal duta islam ni dengan kau. “
“Spain? Jauh tempat jatuh tarbiyah Allah nak bagi kat kau Kay. Apa jadi kat Spain?” Ilham Rizki angkat kening. Teruja hatinya untuk tahu lebih banyak.
 Khair Al-Amin menyeringai.

*************

                “Wahhhh!” Lima suara bersuara serentak. Haruman tomyam makanan laut semerbak menyapa deria bau mereka. Lelaki berusia awal tiga puluhan yang meletakkan periuk berwap nipis itu tersenyum.
                “Hah, jemput makan. Apa tunggu lagi?” Abang Alip ramah mempelawa tetamu-tetamunya untuk menikmati makan malam. Mereka berlima sengih besar. Memang tak sabar nak menjamu selera ni.
                “Makan bang!” Laju mereka menerpa mengerjakan periuk berisi tomyam tersebut. Abang Alip hanya menggelengkan kepala, sudah masak dengan perangai budak-budak tersebut setelah tiga hari mereka di situ. Hakikatnya mereka bukanlah tetamunya tetapi mereka adalah pelanggannya. Dia dibayar untuk menguruskan pengembaraan mereka di bumi Sepanyol itu. Malah, dia juga bertindak sebagai tukang masak mereka.
                “Sedap sampai menjilat jari!” Akif Zamani mengangkat ibu jari kanan menunjukkan isyarat bagus. Mereka sama-sama tertawa. Rasa tidak rugi mereka menggunakan perkhidmatan Abang Alip sebagai pemandu pelancong mereka. Semuanya cukup. Tempat tinggal besar, makan cukup dan perjalanan pun selesa. Setelah penat seharian menjelajah daerah Gilbratar atau lebih dikenali sebagai Jabal Tariq tentunya hidangan seperti itu rasanya lazat sekali.
                “ Eh, dah habis?”
                Lima pasang mata menoleh serentak. Abang Alip berdiri di tepi meja dengan mangkuk kecil di tangan. Masing-masing berpandangan. Erk, abang tak cakap pun abang nak sikit.
                “Kami ingat abang tak nak…” Takut-takut Razif menjawab. Yang lain hanya membisu. Mulut terasa berisi batu. Berat untuk menjawab. Masing-masing dihambat rasa bersalah. Tangan yang rancak menyua nasi ke mulut juga terhenti.
                “Abang tak cakap apa pun. Abang ingat kau orang tak perlu dicakapkan. Dah besar kan. Dah boleh fikir sendiri nak tinggalkan tom yam tu sikit untuk abang.” Abang Alip bersuara kecewa. Dia baru sahaja hilang sekejap ke dapur untuk membasuh pinggan. Sekembalinya dia ke ruang makan, hanya tinggal kuah sahaja yang boleh dihirup. Isinya sudah selamat disambar.
                “Kami tak sengaja bang,” Khair Al-Amin berdiri. Dia yang mengetuai kumpulan tersebut rasa bertanggungjawab. Memang salah mereka makan tak ingat orang lain.
                “Kami minta maaf bang.” Abang Alip dilihat menarik nafas panjang. Dia bersandar pada tepi almari di hujung ruang makan.
                “Takpelah abang maafkan. Kemaslah meja makan ni nanti.” Akhirnya dia bersuara perlahan. Cukup perlahan untuk menambah rasa bersalah yang sudah sedia bertimpa-timpa di hati mereka. Figura Abang Alip bergerak dari tempat dia berdiri tadi, menuju ke bilik di sebelah dapur. Khair Al-Amin bangun, cuba mengejar langkah Abang Alip.
                “Sekali lagi maaf bang. Kami betul-betul tak sengaja.” Bersungguh-sungguh Khair meminta maaf. Abang Alip hanya senyum tawar. Dia memandang tepat ke dalam anak mata Khair.
                “Satu je pesan abang untuk Khair dan kawan-kawan. Abang tahu kamu semua ni budak yang baik-baik. Hari tu Rizal ada cakap kamu semua ni budak usrah. Bilik kamu semua atas bilik abang. Tiap-tiap pagi lepas Subuh abang selalu dengar kamu semua buat tazkirah. Tapi pada abang, perkara-perkara macam tinggalkan sikit makanan ataupun tolong orang angkat barang tu semua tak perlu masuk tazkirah Khair. Tu semua kita boleh fikir sendiri. Tu semua jelas Khair. Akhlak bukan sesuatu yang perlu kita belajar. Ia fitrah. Tindakan spontan. Sesuatu yang kita patut bentuk sendiri. Sama ada kita nak pilih yang mahmudah atau yang mazmumah. Budak-budak macam kamu semua ni tentu tahu mana satu nak pilih kan?” Panjang kata-kata Abang Alip singgah di telinganya.
Satu-persatu menjentik hatinya.
“Terima kasih bang atas nasihat abang. Saya akui ada benarnya semua tu. Insya-Allah kami cuba jadi lebih baik.” Hampir tidak dengar suara Khair menyahut nasihat yang diberikan Abang Alip. Dia terkesan dengan bicara lelaki itu sebenarnya. Mereka patutnya sudah tahu semua tu. Tak patut mereka berbuat seperti itu.
“Lain kali jangan ulang kesilapan yang sama. Ingat, kita ni duta islam. Kita tunjuk pada orang apa itu islam. Kalau kita gagal jadi duta yang baik, sia-sialah usaha kita tegakkan islam selama ni,” syarah Abang Alip lagi. Khair Al-Amin mengangguk-angguk. Wajahnya merah menahan malu. Masakan tidak, Abang Alip bukanlah orang yang mengikuti usrah tetapi kata-kata dan buah fikirannya tampak lebih bagus.
“Sudah, pergi masuk tidur.”

******

                “Sebab tu je?” Khair Al-Amin mengangguk. Hanya kerana perisitiwa di bumi Andalus itu, dia sentiasa memerhatikan tingkah laku dirinya. Agar apa yang terpamer nanti menambah keindahan islam bukan memburukkan.
                “Haah. Sejak tu apa yang aku baca dalam buku The Way of The Prophet, semuanya aku cuba praktiskan. Bagus buku tu. Cerita pasal akhlak Rasulullah dalam setiap perkara yang baginda buat. Yela, bak kata satu hadis ni, akhlak Rasulullah tu Alquran, akhlak islamiyah yang sebenar-benarnya. Kalau kau nak, ada jual kat Coventry Road. Kalau tak silap, IKRAM WM pun ada jual juga.” Terangkat kening Ilham Rizki mendengar butir-butir kata yang meluncur keluar dari mulut sahabatnya.
                “Macam menarik. Patutlah sejak balik dari Spain, kau macam dah lain sikit.”
                “Lain? Maksud kau?” Urat di dahi tertimbul.
                “Ye la. Macam baik sikit. Selalu belikan aku banana milkshake. Tolong masak hari minggu…”
                “Dah! Dah! Kau ni kira mengampu ni.” Ilham Rizki tersengih. Bahu Khair Al-Amin ditepuk mesra.
                “Saja nak tengok reaksi kau. Kan akhlak tu!” usik Ilham Rizki. Khair Al-Amin tergelak kecil. Ada-ada sahaja kawannya itu.
                “Eh, jomlah! Kena tukar bas pula ni.” Khair Al-Amin meraih lengan Ilham Rizki untuk turun dari bas. Loceng ditekan. Berhati-hati mereka berjalan di dalam bas yang masih bergerak perlahan menghampiri pondok menunggu bas yang berhampiran. Jam dipandang sekilas. Ada kira-kira setengah jam sahaja lagi sebelum solat sunat aidilfitri dimulakan. Perjalanan dari pusat bandar ke Coventry Road hanya mengambil masa sepuluh minit. Kalau mereka sempat menaiki bas ke sana dalam masa lima belas minit lagi, insya-Allah mereka akan sempat sampai.
                “Am, tengok tu.” Ilham Rizki mengarahkan pandangan matanya ke arah yang ditunjukkan oleh Khair Al-Amin. Kelihatan lelaki tua tadi juga ingin turun. Dia nampak terkial-kial membongkokkan diri untuk mengambil tongkatnya yang terjatuh.
                “Nak jadi duta?” Sengih terhias di wajah tatkala mereka berpandangan.
                “Jom!”

-TAMAT-

p/s:  1)”Akhlak Rasulullah itu Alquran.”-hadis riwayat Aishah r.a.
        2)Seorang lelaki pernah bertanya pada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah itu agama? Jawab          baginda: Akhlak yang baik.

1 comment:

Kay said...

Slm.
baca komen2 kat fb. maaf dipinta andai ada yang terasa. tak bermaksud pun sekadar cebisan kenangan yg hrpnya tidaklah bermanfaat pd org2 yg terlibat shj tp pada para pembaca juga. wallahualam.

p/s 1:kebaikan itu milik semua.
p/s 2: tarbiyah Allah itu blh jatuh di mana shj.
p/s 3: pandanglah pd mesej.