Friday 23 September 2011

Rebranding the Muslim Within You - Of AirAsia and Kungfu Panda 2

(Bismillah. Pujian bagi Allah kerana dengan rahmat-Nya tangan ini dapat menulis. Terima kasih Ya Rabbi kerana tanpa nikmat tangan ini, untuk menulis pujian itu sendiri tidak dapat terjadi.)



Kebanyakan daripada kita mesti sekurang-kurangnya pernah walaupun sekali, terlintas akan perkataan re-branding (penjenamaan semula). Di Malaysia, antara kisah re-branding yang paling mendapat liputan meluas ialah kisah yang berlaku sekitar tahun 2001 tatkala AirAsia Bhd. di bawah syarikat DRB-Hicom menghadapi saat-saat nazaknya hingga perlu dijual meski dengan peppercorn payment serendah RM 1. Syarikat yang membeli kontrak tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Tune Air Sdn Bhd yang dikepalai oleh Tony Fernandes.

Pengambilalihan syarikat itu disusuli dengan penjenamaan semula AirAsia secara besar-besaran termasuklah trademark warna merah yang melambangkan darah. Sepertimana merahnya darah yang mengandungi DNA, merahnya warna AirAsia yang baru itu ibarat DNA yang memberikan identiti tersendiri kepada AirAsia. Merah itu gah. Merah itu semangat. Dan sehingga kini merah itu masih hinggap mewarnai ruang angkasa seluruh Asia. Re-branding yang berlaku sejak pengambilalihan itu berjaya menjulang AirAsia yang baru sebagai contoh Blue Ocean Strategy yang berjaya.

Kendatipun bunyinya seakan-akan berkait rapat dengan business, re-branding tidak hanya berlegar dalam aspek perniagaan sahaja. Pernahkah anda ambil tahu akan konsep re-branding dalam kehidupan seorang Muslim dan apa sumbangannya kepada dakwah? Islam menggunakan proses re-branding sebagai strategi untuk menempatkan dan memuatkan ad-Deen ini ke dalam market jahiliyyah yang tinggi demand-nya terhadap keduniaan semata-mata namun semput dan sempit dalam keluasan kedua-dua dunia dan akhirat. JOM! kita saksikan dan teliti ayat-ayat cinta dari Pencipta kita dalam surah al-'Alaq.

Sekalipun dalam keadaan ber-ikthtilaf, pandangan daripada jumhur 'ulamak (kebanyakan 'ulamak) menyatakan bahawa beberapa ayat yang terawal daripada surah al-'Alaq ialah ayat-ayat yang pertama diturunkan ke langit dunia. Jika pandangan tersebut benar di sisi Allah (Wallahu a'lam), kita patut meneliti dengan ketelitian yang paling teliti akan kandungan surah ini.

Sejak sekian lamanya wahyu dihentikan sejak nabi 'Isa, sudah semestinya sambungan wahyu kepada UtusanNya yang bernama Muhammad ini mengandungi isi-isi yang memfokuskan kepada isu-isu yang tertentu terutamanya pada awal-awal waktu penurunan al-Quran. Memandangkan al-Quran diturunkan dalam sistem masyarakat Arab yang mendewakan sastera, ia mengandungi nilai kesusasteraan yang tertinggi yang pernah wujud. Setiap pemilihan diksi yang tertentu dalam al-Quran membawa bersamanya sesebuah konsep yang tertentu.

Awal kenabian Nabi Muhammad menyaksikan penurunan kalimah Iqrak (bacalah) dalam bentuk verb (kata kerja). Allah memerintahkan Muhammad s.a.w supaya membaca. Cuba kita berhenti sejenak dan memikirkan apakah bentuk-bentuk sumber ilmu yang ada di dunia ini? Ilmu boleh dipelajari melalui pembacaan, namun ilmu juga boleh didapati melalui mendengar majlis-majlis ilmu, berjalan dan mentadabbur 'alam, dan juga menggunakan deria-deria yang lain seperti merasa dan menyentuh. Lebih-lebih lagi, al-Quran tidak turun dalam bentuk mushaf (lagi pula al-Quran tidak pernah dibukukan semasa Rasulullah masih hidup). Lalu mengapa Rasulullah, seorang yang tidak tahu membaca, diperintahkan untuk membaca?

Di sinilah kita dapat kenal akan siapa yang memberi kita ilmu. Yang memberi itu tidak lain dan tidak bukan ialah Allah sendiri. Seperti kata Al-Hafiz Mufti Shafi Usmani dalam kitabnya Maarifatul Quran, biarpun Muhammad saw tidak tahu membaca, Allah berkuasa untuk mengilhamkan baginda pelajaran yang tertinggi yang turun dalam gaya penceritaan yang terindah, lantas menjadikan seorang nabi yang ummi ini lebih bijak daripada cendekiawan dan sasterawan pada waktu itu dan juga pada masa akan datang. Begitu hebat kuasa Allah, maka siapakah yang mampu mencabarNya?
Iqra' bismi rabbika al-lazi khalaq.

"Bacalah dengan nama Tuhan kamu (wahai Muhammad), (yakni tuhan) yang Menciptakan!"

Kalimah iqrak, seperti yang dinyatakan di atas, terbit dalam bentuk fi'lun (verb/kata kerja) bermakna ianya suatu perintah. Rasulullah diperintahkan untuk membuat pengisytiharan berdasarkan pembacaan, tetapi baginda tidak tahu membaca. Ini pula merupakan kali pertama baginda melihat Jibril (yang datang dalam bentuk seorang pemuda). Bayangkan kita di tempat baginda. Sudah pasti kita terkejut jika tiba-tiba muncul seseorang yang memeluk erat hingga sukar untuk bernafas. Tidak cukup dengan itu, diarahkan pula untuk melakukan sesuatu yang di luar batas kemampuan. Apakah perasaan yang paling sesuai digambarkan? Cuak? Terkejut gabra? =)

Apapun perasaan yang timbul, semestinya ia bukan sesuatu yang selesa. Tetapi konsep yang kedua selepas konsep kepentingan ilmu yang dibawa oleh ayat pertama ini, jika tidak meredakan perasaan tidak selesa itu pun, sekurang-kurangnya mengalihkan fokus Rasulullah kepada sesuatu yang amat bermakna. Konsep kedua yang disebutkan ini ialah konsep ketuhanan. Baginda diperintahkan untuk melaksanakan sesuatu yang tidak diketahuinya dengan berpandukan Tuhan. (Bacalah dengan nama Tuhanmu ..) Maknanya, Allah sedang menceritakan siapa itu Tuhan (Rabb). Dan kedudukannya sebagai sumber wujudnya segala 'ilmu. Kerana Rabb ini ialah al-Khalaq (...Yang Menciptakan). Ilmu merupakan salah satu daripada makhluk yang dicipta. Jadi untuk mendapatkan ilmu, siapa yang harus kita pandukan? Rabb!

Iqrak bismi rabbika al-lazi khalaq.

Kenapa Allah menerangkan konsep ketuhanan dengan memilih kalimah rabbika yang bermaksud tuhan kamu? (Kamu merujuk kepada nabi Muhammad) Tetapi sebelum itu, kenapa mesti memilih kalimah rabb dan bukannya dengan kalimah nama Allah sendiri? Sedangkan kalimah Allah sungguh dikenali di jazirah 'Arab ketika itu. Sebelum kenabian Muhammad sendiri telah wujud kalimah Allah, malah bapa kepada baginda sendiri bernama ‘Abdullah = Abdu Allah (hamba Allah).

“Dan sesungguhnya jika engkau bertanya mereka, siapa yang telah menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka berkata Allah.” (Surah Luqman: 25)

Sungguhpun nama Allah cukup dikenali, tapi apa ada pada nama? Nama Allah sudah tidak bernilai lagi di sisi kebanyakan mereka. Kalimah Allah diletakkan sejajar dengan nama-nama berhala apabila munculnya pemberian nama kepada anak-anak seperti Abdul Al-Syams, Abdul Lata, Abdul ‘Uzza dan sebagainya. Sedangkan nilai penghambaan hanya sepatutnya didasarkan kepada Allah semata-mata. Disebabkan inilah, Allah memperkenalkan dirinya dengan kalimah rabb. Seperti kata pepatah mat saleh, “First impression is important!” Kalimah Allah yang tiada nilai di hati manusia pada ketika itu digantikan dengan sesuatu yang menjenamakan semula Allah sebagai rabb yang bersifat al-khaliq yang Maha Mencipta. Selain ayat pertama surah al-‘Alaq, kalimah rabb juga muncul di banyak tempat dalam al-Quran, dan pada surah al-An’am ayat 102, sepertimana dalam al-‘Alaq itu tadi, rabb juga dinyatakan bersama-sama dengan sifat Allah yang Maha Mencipta:

“Itulah Allah Rabb kamu, tiada tuhan selainNya, yang menciptakan segala sesuatu. Kerana itu ‘abdikanlah hidupmu kepada-Nya. Dan Dialah yang memelihara segala sesuatu.” (6:102)

Ayat ini memberi tambahan satu lagi sifat Rabb, yakni memelihara. Allah mengingatkan manusia untuk membulatkan segala perasaan takut dan berharap kepada-Nya semata-mata, kerana dialah rabbyang berkuasa untuk memelihara setiap makhluk yang diciptakan. Allah berfirman lagi:

“Allahlah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan kamu kuat setelah berkeadaan lemah itu, kemudian Dia menjadikan setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban.” (Ar-Rum: 54)

Penjenamaan semula siapa Allah menggunakan kalimah rabb mengingatkan kita kembali bahawa sekiranya kita telah sesat dalam kepekatan jahiliyyah dan amat jauh daripada Pencipta sepertimana yang berlaku kepada bangsa ‘Arab sebelum kerasulan Muhammad, kita perlu kembali merujuk kembali kepada-Nya. Setiap insan di bumi ini pernah mempunyai hubungan yang erat dengan rabb sebelum lahir ke dunia lagi.

“Dan ketika Rabb-mu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya): “Bukankah Aku rabb kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

“Atau supaya kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?”

“Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran) dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran). ” (Al-A’raf 172-174)

Lihat bagaimana hebatnya kuasa Allah dan tingginya ilmu Allah. Jika AirAsia memerlukan satu inovasi baru secara besar-besaran untuk menjenamakan semula syarikat itu, proses re-branding yang dilakukan oleh Allah untuk Islam pula tidak memerlukan satu kalimah yang baru, tetapi menggunakan kalimah yang lama yang dahulunya pernah memberi satu erti kepada kehidupan insan. Re-branding yang terhasil membuatkan bangsawan Arab terkesan. Ada yang menyambut baik malahan ada juga yang menyambut dengan sikap yang negatif. Bagi mereka yang terganggu, ini diakibatkan daripada nilai-nilai ketuhanan yang berbeza yang diperkenalkan. Allah yang mereka anggap selama ini sebagai Pencipta tetapi tiada apa-apa kesan kepada kehidupan mereka telah bebas daripada percampuran dengan unsur-unsur yang menyekutukan.

Dengan turunnya surah al-‘Alaq, Allah bukan sahaja Pencipta, tetapi sebagai rabb yang memelihara, menguasai, mentarbiyyah, melindungi, mengajar manusia daripada tidak tahu kepada tahu dan memiliki segala sifat yang berasaskan kemuliaan dan kebesaran!

Pernahkah anda menonton Kung Fu Panda 2? Dalam filem tersebut, diceritakan bahawa Po (watak utama) dahulunya mempunyai sejarah yang sedih dan sadis ketikamana dia masih kecil. Namun filem ini mengajar kita untuk Don’t live in the past. Look to the future!

Kita sebagai insan mesti tidak dapat lari daripada terlupa akan siapa diri kita. Kadang-kadang pemikiran dan tindakan kita tidak melambangkan kita sebagai hamba. Kita kekadang teringin untuk membesarkan diri seperti seorang raja, tetapi kita tidak sedar pada masa itu kita masih lagi hamba, malah lebih teruk lagi – kita sengaja lari atau tidak tersedar telah lari daripada penghambaan Tuhan yang Maha Esa kepada menghambakan diri untuk isi dunia yang tak ke mana.

Oleh itu, nikmat iman ini mesti di re-branded kan!

“Perbaharuilah iman kamu semua.” Sahabat bertanya: “Bagaimana caranya memperbaharui iman kami?” Baginda menjawab: “Perbanyakkanlah ucapan La Ilaha illallah.” (Hadis riwayat Ahmad, “fair chain of isnad”)

“Faith wears out in your heart as clothes wear out, so ask Allah to renew the faith in your hearts.” (Riwayat al-Haakim dalam Mustadrak dan al-Tabaraani dalam Mu’jam dengan sanad yang sahih)

Tertarik dengan quotes menarik di dalam KungFu Panda 2:

"Your story may not have such a happy beginning, but that doesn't make you who you are, it is the rest of your story, who you choose to be.."

Mari sama-sama kita menjenamakan semula siapa kita.


Hasil nukilan Ibnu Akibi

No comments: