Friday, 11 March 2011

[reviu buku] Hari- Hari Dalam Hidupku

Penulis : Zainab Al-Ghazali Al- Jubaili

Penterjemah:  Hj. Tahir Daeng Mengati & Mohd. Yamin As-Surur

Mukasurat : 366

Penerbit: Pustaka Salam Sdn. Bhd.


Hari- hari dalam hidupku merupakan kisah benar yang telah ditulis oleh Zainab al-Ghazali al- Jubaili. Apa yang beliau coret merupakan segala pahit, manis liku-liku kehidupan  yang telah beliau  lalui sepanjang tempoh perjuangan beliau menegakkan kebenaran. Berlatarbelakangkan zaman kebangkitan Ikhwanul Muslimin iaitu ketika era pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser.  Beliau yang merupakan salah seorang pemimpin wanita Ikhwanul Muslimin pernah menghadapi beberapa cubaan untuk menjatuhkan beliau termasuk cubaan membunuh, setelah semua perancangan khianat ini tidak berjaya, akhirnya beliau menerima perintah  daripada pihak kerajaan, iaitu:

“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali  al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan keatas seorang lelaki.”

Bayangkan bagaimana perasaan seorang wanita mampu berhadapan dengan seksaan yang pelbagai, dari dipukul dengan cemeti hinggalah direndam didalam penjara berair. Beliau bukan sahaja menghadapi ujian fizikal, bahkan ujian mental apabila beliau sering ditawarkan tawaran untuk menyokong gerakan taghut  dan meninggalkan perjuangan beliau sebagai ketua muslimat Ikhwanul Muslimin. Suka untuk saya garapkan salah satu kepahitan yang telah beliau rasai, peristiwa ini berlaku di bilik tahanan nombor 24 dimana beliau telah dikunci di dalam sebuah bilik yang penuh dengan anjing yang beliau sendiri tidak tahu berapa jumlahnya. Pergantungannya ketika itu hanya pada Allah swt.

“ku baca kalimah demi kalimah. Sedangkan anjing-anjing itu tetap berusaha mencakar-cakar tubuhku. Aku merasakan salakannya memenuhi di atas kepala, di bahu, di punggung, di dada, dan di seluruh tubuhku.’’


“aku menyangka pakaian putih yang aku pakai sudah tentu berlumuran darah. Aku juga yakin bahawa anjing-anjing itu sungguh-sungguh telah mengoyakkan tubuhku. Tetapi aneh! Pakaianku seakan-akan tidak terusik, dan tidak ada bekas cakaran anjing-anjing di tubuhku.’’

Ketika saya membaca kisah ini, air mata saya hampir mengalir kerana betapa berkuasanya Allah swt melindungi siapa yang Dia kehendaki, siapa yang menaruh keyakinan hanya padaNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.  Betapa kentalnya seorang wanita apabila hidup dan matinya hanya kerana Allah swt. Bergaya bukan, membebaskan diri daripada menghambakan diri kepada manusia yang lemah lagi hina lalu mengalihkan seluruh jiwa dan raga kepada Yang Maha Kekal, Yang Maha berkuasa iaitu Allah yang Maha Esa. Buku ini sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat kerana apa yang dikisahkan adalah kisah benar dan kita masih melihat impaknya sehingga kini, tanpa pertolongan Allah swt apakah Ikhwanul Muslimin mampu mengegar dunia dimasa kini? Tanpa pendukung yang yakin pada Allah seperti ini, mampukah Ikhwanul Muslimin menelusuri zaman, membina tampuk perjuangan lantas memarakkan semangat revolusi yang berlaku kini?.  Bukan ikhwanul Muslimin sahaja, tetapi siapa- siapa pun mampu menjadi hebat sebegini andai seluruh hidup dan matinya diserahkan kepada Allah swt. 

Selain itu juga, jalan cerita yang penuh onak dan duri-duri dunia disulami dengan semangat Zainab membuatkan saya bangga dan kagum atas kekuatan zahir dan batin yang beliau miliki, bagaimana beliau boleh memeperoleh kekuatan ini walaupun ditawarkan dengan jawatan yang tinggi, kehidupan yang mewah oleh anjing-anjing Jamal Abdul Nasser. Apabila anda membaca buku ini, tahulah anda dimana kekuatan yang diperoleh beliau dalam mengharungi badai kehidupan yang tidak pernah henti dari memukul dirinya.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (9:111)

Beliau dibebaskan pada tahun 1971. Semangat, kekuatan dan keyakinan yang mantap kepada pertolongan Allah swt dalam meghadapi segala jenis penyeksaan menjadikan beliau teladan (qudwah) kepada generasi pejuang  dalam menegakkan kebenaran di muka bumi ini sehingga hari kiamat.

Anda juga boleh mendapatkan kisah ini dalam bahasa inggeris, judul buku tersebut ialah The Return Of Pharaoh.

Ingin mendapatkan kisah ini dalam bahasa inggeris, klik disini.

Bahasa Melayu: Tiada stok.

Thursday, 10 March 2011

[reviu buku] Israel Is Not Real!

Judul: Israel Is Not Real: Negara Palsu di Tanah Rampasan
Penulis: Anwar M. Aris
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 152
Harga: RM18.00

Tatkala bom dan ledakan fosforus putih menyelubungi Gaza seperti cerawat-cerawat dari langit pada hujung 2008, media dari pelbagai negara terus mewara-warakan tragedi ini sebagai 'konflik Israel-Palestin' yang tak berpenghujung. "Konflik", bukankah itu satu propaganda dunia!? Tidak sepatutnya wujud perkataan itu dalam kamus umat Palestin. Dan kita terus-terusan juga menggunakan istilah itu apabila menceritakan krisis yang melanda umat Gaza. Sedar atau tidak, kata-kata itu melambangkan yang kita telahpun mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Sedangkan, Israel hanyalah perampas tanah orang. Tanah suci umat Islam umumnya; umat Islam Palestin khususnya. Penulis mencanangkan idea ini untuk mengingatkan kita letak duduk perkara sebenar, dan peranan media kini dalam memutarbelit isu. Mungkin nampak remeh, tetapi sedarlah ini satu penghinaan!

Buku ini menelusuri perjalanan umat Yahudi dalam membentuk sebuah negara sendiri. Bermula dengan idea yang dikemukakan oleh seorang lelaki Yahudi bernama Theodore Herzl, idea pembentukan ini diteruskan tahun demi tahun walaupun dia telah mati. Setelah beberapa lama berusaha, akhirnya atas bantuan England, mereka berjaya masuk ke bumi Palestin dan mengganyang negara tersebut. Orang-orang Islam di Palestin terpaksa menjadi pelarian. Dan dari situ bermulalah projek 'pemenjaraan' orang Islam di tanah mereka sendiri. Penjara terbesar di dunia!

Menggamit semula tragedi bersejarah itu, sejujurnya tindakan dan usaha-usaha negara-negara jiran seperti Mesir, Jordan, Syria dan lain-lain untuk menentang pembentukan Israel ketika itu wajar sekali dipuji. Mereka sedaya upaya menentang Israel dengan segala kelengkapan perang yang ada. Perang 6 hari, Perang Abu-Ageila, dan pelbagai lagi perang, kecil ataupun besar berlarutan demi mempertahankan negara umat Islam. Semangat yang kuat dan mendalam akhirnya membawa kepada pembentukan Hizbullah yang membawa gelombang baru penentangan Israel.

Tetapi, sekarang fenomenanya adalah sangat berlainan. Pengkhianatan demi pengkhianatan berlaku. Awal 2009 melihat Mesir tidak mahu membuka sempadan mereka demi menyelamatkan warga Palestin yang tercedera. Lebih menyedihkan, Presiden Mesir Hosni Mobarak sendiri mahukan Israel meledak Gaza. Januari tahun yang sama, Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz As-Syaikh mengharamkan pengecaman ke atas Israel. Orang Arab sendiri, umat Islam khususnya, langsung tidak memberi sokongan kepada Palestin malah lebih teruk lagi menyokong Israel?

Saya masih ingat lagi, isi sebuah buku yang saya baca lama dulu, tajuknya Gerakan Freemasonry: Musuh dalam Menghancurkan Islam oleh Hj. Nik Azran Muhamed dan Hj. Mohd Mahadi Isa. Ketika pemimpin Hamas Syeikh Ahmad Yassin masih hidup, dia melontarkan teguran sinis dalam sebuah amanatnya-- teguran khusus terhadap orang-orang Arab yang hanya berdiam diri, dan bersikap endah tak endah akan isu Palestin ini. Beliau berkata,

"...sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini). Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali mereka menggerakkan (kerusi roda)ku. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah? Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kaliandiam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa??" (hal. 19-26, Gerakan Freemasonry)

Harus diingat, biarpun 'cili' ini khusus untuk 'dimakan' bangsa Arab, kita sebagai umat Islam wajar 'terasa pedasnya' yang tanah suci ketiga kita dirampas sewenang-wenangnya. 


Buku ini juga antara lain memuatkan prakata oleh Dr. Syamsuddin Arif yang menceritakan pengalamannya sedari dalam kapal terbang dari Frankfurt ke Tel Aviv sehinggalah jejak-jejaknya di bandar tersebut. Buku ini terbahagi kepada 3 episod, episod pertama mengenai tangga-tangga menuju penubuhan Israel melalui usaha Founding Father Theodore Herzl, episod 2 ketika berlangsungnya pelbagai perang sekitar Tanah Arab setelah Israel menjejakkan kakinya di Palestin, dan episod akhir mengandungi isu-isu semasa berkenaan reaksi masyarakat dunia terhadap tragedi yang melanda Palestin.

Terkenang pula lawatan saya ke Muzium Negara satu masa dulu, yang mengadakan pameran khas kemerdekaan mengenai Rentetan Darurat di Tanah Melayu bermula 1948. Ketika itu masayarakat Malaya dibunuh, tempat tinggal dihancurkan, dan bas dan keretapi dibakar dan dimusnah. Dan saya teringat...

...seperti itu juga, bermula tahun yang sama kita diisytihar darurat, Yahudi yang jahat itu membina negara haramnya di Palestin!

Tunjukkan solidariti kita, laungkan bahawa Israel IsNOTReal!

Palestin: Apartheid di Era Baru (Bhg. Akhir)

Baca Bahagian 1 di sini.

Perampasan Sumber Air: Pendatang Haram yang Biadab


Penempatan haram Israel merangkumi 40 peratus kawasan wilayah jajahan Israel termasuklah kawasan tanah subur dan sumber perairan. Sumber air dari tanah yang selayaknya dimiliki rakyat Palestin itu telah dialihkan untuk kegunaan penduduk penempatan haram Israel sahaja. Purata air yang diperolehi oleh seorang rakyat Palestin di Tebing Barat hanyalah 83 meter padu air setahun, berbanding penduduk penempatan haram Israel yang mendapat purata air sebanyak 1,450 meter padu air setahun. Malah ada penempatan haram Israel yang mengambil kesempatan menjual kembali air yang dicuri ke kampung-kampung rakyat Palestin! Maka tidak hairanlah apabila Avraham Katz-Oz yang merupakan perunding Israel untuk isu air memberitahu “Tidak ada sebab mengapa rakyat Palestin harus menuntut bahawa hanya kerana mereka duduk di atas tanah itu, mereka berhak ke atas sumber air di situ.” Kompeni besar Israel seperti Carmel Agrexco mengaut keuntungan besar daripada hasil tanaman penduduk penempatan haram Israel yang memerlukan pengairan yang intensif, justeru sekaligus mengeringkan lagi sumber air rakyat Palestin.

Diskriminasi rakyat Palestin di Israel: Dipijak di Tanah Sendiri


20% populasi negara haram Israel adalah penduduk asal Palestin yang masih bertahan sejak 1948. Meskipun diberikan status warganegara Israel, mereka tidak menikmati hak yang sama seperti rakyat Israel berbangsa Yahudi. Undang-undang Israel membolehkan pertukaran hak milik pelarian Palestin kepada kerajaan Israel dan Jewish National Fund (JNF), sehinggakan 90% tanah milik rakyat Palestin telah berkurang kepada 4% pada masa kini. Pertambahan populasi rakyat Palestin di Israel dianggap suatu ancaman, dan ‘pemindahan’ atau ‘pembersihan etnik’ dibincangkan secara meluas di media, universiti-universiti dan di Knesset (dewan perwakilan Israel). Diskriminasi di bidang pekerjaan menyebabkan rakyat Palestin merangkumi hanya 3.7% jawatan kerajaan dan 1% jawatan di fakulti university, 42% hidup di bawah garisan kemiskinan. Sebanyak 100 perkampungan Palestin tidak diiktiraf oleh kerajaan Israel walaupun membayar cukai, menyebabkan ketiadaan servis dan infrastruktur yang mencukupi seperti perkhidmatan pendidikan untuk kanak-kanak Palestin.

Antara Afrika Selatan dan Palestin: Wujudkah lagi Harapan?

[kredit gambar]                                                                

Sistem apartheid di Afrika Selatan oleh bangsa kulit putih dan di tanah Palestin oleh rejim Zionis mempunyai banyak persamaan; kedua-duanya dibina di atas sebuah negara yang ‘asing’, menggunakan hujah-hujah keagamaan sebagai alasan pencerobohan negara dan pemisahan bangsa, melakukan pencabulan berterusan ke atas undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB, menggunakan kuasa ketenteraan, serta mengamalkan sikap acuh dan sombong terhadap musuh politik dengan melabelkan mereka sebagai ‘pengganas’. Bagaimanapun, rejim apartheid di Afrika Selatan hanya bertujuan mengawal populasi kulit hitam, sedangkan rejim apartheid Zionis di Palestin bertujuan untuk menghapuskan populasi Palestin secara keseluruhannya.

Amerika Syarikat dan United Kingdom di bawah pimpinan Reagan dan Thatcher menyokong kerajaan apartheid di Afrika Selatan. Pada 1986, Thatcher mengisytiharkan parti ANC di bawah pimpinan Nelson Mandela sebagai parti pengganas, dan menidakkan peluang ANC untuk membina kerajaan di Afrika Selatan. Meskipun dengan sokongan dua kuasa besar dunia, sistem apartheid akhirnya berjaya ditumbangkan dan ANC diiktiraf sebagai parti kerajaan pada tahun 1990-an. Kejayaan ini tidak akan terlaksana tanpa campur tangan komuniti antarabangsa yang berusaha bersungguh-sungguh menentang diskriminasi dan penindasan di Afrika Selatan melalui pelbagai cara seperti sekatan ekonomi, pemboikotan, tunjuk perasaan dan sebagainya.


Justeru adakah harapan untuk kita menyaksikan tumbangnya rejim Zionis dan sistem apartheidnya di bumi Palestin? Seharusnya kita percaya bahawa Allah telah menjanjikan kemenangan kepada rakyat Palestin. Sepertimana tumbangnya apartheid di Afrika Selatan kerana kebersatuan masyarakat seluruh dunia, sebegitulah perlunya umat Islam seluruh dunia untuk bersatu menumbangkan rejim Zionis, kerana kitalah penegak kebenaran dan penentang kebatilan. 

Allahu Akbar!

Diringkaskan dan diterjemahkan daripada risalah terbitan Palestine Solidarity Campaign berjudul ‘Palestine: The New Apartheid’ dengan bantuan beberapa rujukan lain.